Selepas dilancarkan buat pertama kali di Malaysia pada tahun 2013, diikuti dengan model facelift pada 2018, berapa kali pernah anda terserempak dengan MPV Honda Odyssey generasi kelima (RC) di jalan raya kita? Walaupun jualannya tidak begitu menyerlah, nampaknya Honda Malaysia mungkin akan terus melancarkan Odyssey facelift terkini ke pasaran tempatan tak lama lagi.
Unit Odyssey facelift kedua yang dilihat sedang diuji di Jalan Klang Lama ini dijumpai oleh pembaca paultan.org, Azhani Azizi. Namun menerusi imej berkenaan, masih lagi sukar untuk dikenalpasti varian Odyssey yang mana akan dibawa ke pasaran tempatan kelak.
Di Jepun, model facelift kali kedua berkenaan tampil dalam dua jenis unit rangkaian kuasa iaitu model petrol penuh dan juga versi janaan sistem hibrid petrol-elektrik. Bagi model petrol, ia masih dibekalkan dengan enjin K24W 2.4 liter DOHC i-VTEC berkuasa 175 PS dan tork 225 Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, serta pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda.
Manakala untuk Odyssey Hybrid, ia menerima sistem Hybrid i-MMD e:HEV. Unit rangkaian kuasa hibrid berkenaan menggandingkan dua motor elektrik dan juga enjin petrol 2.0 liter kitaran Atkinson berkuasa 145 PS/175 Nm.
Dalam kebanyakkan masa, hanya motor elektrik berkuasa 184 PS/315 Nm yang menggerakkan roda hadapan sementara enjin petrol hanya mengecas bateri lithium-ion untuk sistem hibrid tersebut. Namun pada masa-masa tertentu, tayar hadapan turut akan dipacu bersama oleh motor elektrik dan juga enjin petrol.
Model tingkat taraf ini juga menerima pelbagai perincian terkini yang lain antara konfigurasi lapan tempat duduk yang boleh diatur dalam pelbagai tetapan, tempat duduk baris ketiga yang boleh dicabut untuk memberikan lebih ruang storan, pintu gelangsar sisi yang boleh dibuka/tutup hanya dengan gestur tangan dan juga pelbagai lagi.
Ketika dilancarkan di Jepun pada 2020, Honda Odyssey facelift ini dijual pada harga bermula 3.495 juta yen (RM139,208) untuk model petrol penuh, serta bermula dari 4.198 juta yen (RM167,214) hingga 4.58 juta yen (RM182,429) untuk model hibrid e:HEV.
Manakala di Malaysia, model facelift pertama yang dilancarkan pada 2018 ditawarkan hanya dengan pilihan enjin 2.4L, dijual pada harga RM254,800. Agaknya adakah Honda Malaysia akan membawa Odyssey Hybrid e:HEV untuk model 2022 ini nanti kelak?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.