Volkswagen Arteon facelift naik harga hingga RM9k di Malaysia — 2.0 TSI 4Motion R-Line kini RM258,019

Volkswagen Arteon facelift naik harga hingga RM9k di Malaysia — 2.0 TSI 4Motion R-Line kini RM258,019

Kelihatannya seperti Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) diam-diam telah mengemaskini harga bagi model Arteon facelift bulan ini. Malangnya, ia tidak melibatkan penurunan harga, dan perubahannya agak besar.

Varian tunggal 2.0 TSI 4Motion R-Line berkenaan kini RM9,000 lebih mahal berbanding harga tahun lalu, menjadikan harganya kini RM258,019 atas jalan tidak termasuk insuran. Angka ini sudah termasuk sekali pengecualian SST bagi kenderaan CKD, hingga 30 Jun nanti. Ia juga termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis percuma tiga tahun/45,000 km.

Kenaikan harga ini bagaimanapun tidak melibatkan sebarang pertambahan kelengkapan, mahupun kenaikan output janaan dari enjin 2.0 liter turbocas empat-silindernya. Janaannya kekal sama, dengan 280 PS dari 5,100 rpm hingga 6,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,700 dan 5,600 rpm. Kuasa dihantar ke semua roda melalui transmisi DSG klac-basah tujuh-kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat.

Volkswagen Arteon facelift naik harga hingga RM9k di Malaysia — 2.0 TSI 4Motion R-Line kini RM258,019

Kelengkapan standard juga kekal sama. Ini termasuk bodykit R-Line, lampu utama dan lampu belakang LED penuh (di belakang dengan lampu isyarat sequential), rim aloi 19-inci Montevideo dua-tona, sistem tanpa kunci, butang Push Start dan kerusi depan larasan elektrik dengan memori untuk kerusi pemandu — dengan balutan kulit Nappa dan corak gentian karbon.

Selain itu, turut melengkapi kereta ini adalah kawalan pendingin tiga-zon, lampu dan pengilap automatik, cermin pandang belakang anti-silau, skrin sentuh infotainmen Discorver Pro 9.2-inci dengan kawalan gerakan tangan, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, 12-pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 700-watt, penyerap hentak adaptif Dynamic Chassis Control (DCC), kamera 360-darjah dan pintu ruang barangan automatik.

Dari segi keselamatan, Arteon masih sama kekurangan ciri asas seperti brek kecemasan autonomous (AEB), apatah lagi fungsi pemanduan semi-autonomous seperti kawalan melayar adaptif atau bantuan ke tengah lorong. Ia bagaimanapun datang dengan bantuan peninjau titik buta dan bantuan pengekalan lorong dan tujuh beg udara serta kawalan kestabilan.

Volkswagen Arteon facelift naik harga hingga RM9k di Malaysia — 2.0 TSI 4Motion R-Line kini RM258,019

Arteon facelift sebelum ini juga sudah diberikan pembaharuan rekaan gril depan dengan jalur lampu bersepadu yang menghubungkannya ke lampu utama, bukaan udara yang direka semula dan grafik lampi belakang baru berbentuk L terbalik. Di dalam, ada corong udara baru dan jalur perak yang menghiasi kabin depan.

Turut ada adalah suis yang sensitif dengan sentuhan bagi kawalan pendingin hawa (sekali dengan lencana baru VW), dan stereng yang direka semula, serta sistem lampu suasana dengan 30-pilihan warna. Kerusi ErgoComfort padanya pula menampilkan design lebih agresif dengan perehat kepala bersepadu dan logo jahitan R.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required