Boon Siew Honda Sdn Bhd hari ini telah melancarkan satu model EX5 edisi terhad untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga 5,198 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 2,000 unit dan dihasilkan sebagai memperingati ulang tahun ke-35 pengenalan EX5 di Malaysia.
Keistimewaan model ini adalah ia menggunakan warna Extravagant Gold Metallic, dan datang dengan rim spoked aloi (tayar bertiub) berwarna emas. Tempat duduknya menggunakan warna coklat dua tona sementara di bahagian tepi badan pula terdapat pelekat khas warna merah, biru dan putih, bersama tulisan “Limited Edition”.
Perincian teknikal model edisi terhad ini masih sama seperti EX5 biasa, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 109 cc SOHC bersama transmisi manual, menghasilkan 8.5 hp pada 7,500 rpm dan 8.62 Nm tork pada 5,500 rpm.
Kelengkapan lain adalah ringkas sahaja, termasuk brek jenis dram di hadapan dan belakang, tangki bahan api 4.3 liter, pemula enjin elektrik dan tendang, fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dan berat keseluruhan 97 kg. Seperti kebiasaan bagi motosikal Honda, EX5 edisi terhad ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu).