Jeep telah mendedahkan gambar model elektrik pertama mereka, yang akan dilancarkan di Eropah pada separuh pertama tahun 2023. Model yang masih belum mempunyai nama ini menggunakan bentuk sebuah crossover kompak, dan dijangka diletakkan di antara Compass dan Renegade dalam barisan model yang ditawarkan oleh Jeep.
EV Jeep ini berkemungkinan menggunakan platform Stellantis’ STLA (Stella), yang datang dalam tiga versi untuk kenderaan penumpang iaitu kecil, sederhana dan besar. Pada aspek rekaan pula, EV ini dapat dikenali sebagai sebuah Jeep kerana menggunakan gril yang sudah sinonim dengan jenama itu – tetapi tidak mempunyai lubang.
Sebahagian daripada gril itu juga mengasingkan bahagian jalur lampu DRL di atas dengan unit lampu utama di bawah, sementara pada bampar pula terdapat dua bukaan udara, lampu kabus serta skid plate hiasan. Kemasan plastik hitam bukan setakat digunakan pada lengkuk roda, malah juga bahagian bawah pintu dan bampar.
Perkara lain yang boleh dilihat adalah lekuk jelas pada fender, warna dua tona serta pintu belakang yang menggunakan pembuka tersembunyi pada c-pillar. Bahagian belakang juga mendapat skid plate berwarna perak, serta lampu yang mempunyai pencahayaan bentuk X seperti model Jeep lain. Sedikit kemasan biru serta lencana “e” memberi idea ini adalah crossover elektrik, tetapi pemacunya masih belum diberitahu.
EV Jeep ini adalah satu daripada beberapa model yang telah dinyatakan oleh Stellantis dalam pembentangan rancangan masa hadapan mereka, dan syarikat itu juga mensasarkan 100% jualan di Eropah dan 50% di Amerika Syarikat adalah untuk kenderaan elektrik, menjelang hujung dekad ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.