Model Jeep paling kecil iaitu Renegade telah diberikan facelift untuk tahun ini dan ia kelihatan semakin comel. Tidak seperti model Jeep yang lain, Renegade telah dibangunkan bersama oleh sepasukan jurutera dan pereka dari Itali dan Amerika, dan ia menggunakan platform sama seperti Fiat 500L.

Model ini diangkat sebagai sebuah model global pertama Jeep, dan selain di Itali, ia juga dikeluarkan di kilang FCA di Guangzhou, China dan Pernambuco, Brazil untuk pasaran Amerika Selatan. Untuk model 2019 ini, ia akan mula dipasarkan di Eropah pada tahun 2019, manakala di Rusia, Timur Tengah dan Afrika pada hujung tahun ini.

Perhatian utama untuk model yang dipertingkat ini adalah pilihan enjin baru, yang termasuk unit tiga silinder 1.0L berkuasa 120 hp/190 Nm, serta dua pilihan unit empat silinder 1.3L dengan kuasa 150 hp atau 180 hp. Kesemuanya adalah enjin petrol dengan pengecas turbo, dan menggunakan pacuan dua roda hadapan. Untuk transmisi, enjin 1.3L didatangkan dengan unit manual enam kelajuan manakala unit 1.3L pula dengan transmisi klac berkembar DDCT dan unit 1.3L 180 hp dengan unit automatik sembilan kelajuan (bersama pilihan 4WD).

Selain enjin petrol, Renegade facelift ini juga boleh didapati dengan enjin diesel, iaitu yang berkapasiti 1.6L (120 hp, 6MT atau DDCT) atau 2.0L MultiJet II (140 hp atau 170 hp, dengan 6MT atau 9AT). Kedua-dua enjin ini mempunyai sistem Selective Catalytic Reduction (SCR) dan melepasi tahap Euro 6/D. Operasinya juga dijadikan lebih mesra alam dengan suntikan AdBlue.

Renegade boleh didapati dalam dua sistem 4WD iaitu Jeep Active Drive dan Jeep Active Drive Low, pemutus hubungan gandar belakang, kawalan cengkaman Selec-Terrain, Hill Start Assist dan Hill Descent Control. Varian Trailhawk ditawarkan dengan kemampuan off-road paling hebat dengan artikulasi roda maksimum sehingga 205 mm, jarak dari tanah sehingga 210 mm dan mod ‘Rock’ tambahan dalam Selec-Terrain.

Daripada aspek rekaan, Renegade baru ini menerima ‘muka’ baru dengan gril tujuh jalur seperti Wrangler berwarna gelap, serta lampu utama dan lampu kabus baru. Untuk varian Longitude, Limited dan Trailhawk, rel bumbungnya datang dalam warna hitam.

Menurut Jeep sendiri, lampu utama dengan ciri lampu siang, lampu tinggi, lampu rendah dan lampu kabus LED penuh (disediakan sebagai pilihan tambahan bagi Limited dan Trailhawk) bukan sahaja untuk gaya, tetapi juga meningkatkan ciri keselamatan, di mana cahayanya adalah 20% lebih terang berbanding xenon. Lampu belakang juga diperbaharui dengan unit LED untuk varian Limited dan Trailhawk.

Peningkatan bahagian luar kemudiannya dilengkapkan dengan pilihan rekaan rim baru, yang terdiri daripada tujuh rekaan berlainan, bermula dari saiz 16 hinggalah 19 inci. Saiz paling besar tersebut hanya eksklusif untuk varian Limited. Untuk bumbung, terdapat dua pilihan iaitu jenis kaca boleh lungsur elektrik dan MySky yang boleh dicabut dan disimpan dalam but.

Bahagian dalam juga diberikan sedikit peningkatan, di mana ia kini mempunyai konsol tengah baru dengan pelbagai ruang simpanan termasuk untuk peranti elektronik. Soket USB pula diletakkan di tempat baru (di belakang perehat tangan) supaya lebih mudah diakses oleh penumpang belakang.

Untuk sistem infotainmen, Renegade boleh didapati dengan skrin sesentuh lima, tujuh atau 8.4 inci dengan sistem NAV Uconnect. Sistem ini mempunyai pemproses data yang lebih berkuasa sekaligus dapat meningkatkan tindak balasnya. Dua varian tertinggi turut mendapat bahagian menu yang boleh diubah suai dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

Bagi sistem keselamatan, Renegade datang secara standard dengan Lane Sense Departure Warning-Plus (membetulkan kenderaan supaya duduk dalam laluan) dan Intelligent Speed Assist dengan Traffic Sign Recognition. Sistem letak kenderaan automatik juga boleh membawa keluar kenderaan secara sendiri. Turut diberi adalah Forward Collision Warning-Plus dengan Active Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Blind-Spot Monitoring dan Rear Cross Path Detection.