Acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org kembali tahun ini, dengan akan berlangsung pada 19-20 Mac di Setia City Convention Centre (SCCC). Sepanjang dua hari ia berlangsung, anda akan dapat menikmati pelbagai tawaran untuk kereta premium bukan sahaja baru, tetapi juga terpakai.
Bagi yang membeli kenderaan di acara ini, anda bukan sahaja akan disediakan dengan pelbagai kelebihan dan hadiah menarik, tetapi juga yang lebih penting, adalah penjimatan yang diperoleh daripada pengecualian cukai yang masih lagi berlangsung sehingga 30 Jun ini, iaitu 50% bagi kenderaan CBU dan 100% bagi kenderaan CKD.
Jika anda sukakan sesuatu yang lasak dan berminat dengan Defender generasi terbaru, ia juga akan berada di PACE sepanjang dua hari ia berlangsung, dan lebih istimewa lagi, dalam versi Defender 90. Model generasi L663 ini tiba di Malaysia Oktober lalu dalam versi Defender 110 lima pintu, dan sekarang, Defender 90 ini pula menyediakan satu lagi pilihan yang lebih ranggi bagi SUV tersebut.
Untuk pasaran kita, Defender 110 L663 ditawarkan dalam pilihan dua enjin petrol, iaitu 2.0L Ingenium empat-silinder dan 3.0L MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) enam-silinder. Untuk enjin 2.0L, ia mampu memberikan kuasa sehingga 300 PS pada 5,500 rpm dan tork 400 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.1 saat.
Manakala enjin 3.0L MHEV pula, ia menampilkan twin-scroll turbocharger dan supercharger 48-volt yang berkemampuan menghamburkan kuasa yang lebih padu sehingga 400 PS dan tork 500 Nm. dari 2,000 hingga 5,000 rpm. Sekali gus membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 6.1 saat. Kedua-dua varian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dengan transfer-case dua-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke semua roda.
Selain Defender 90 ini, pelbagai lagi model Land Rover akan dibawa ke PACE 2022, dan apabila anda membeli sewaktu acara ini, pelbagai hadiah serta tawaran boleh dinikmati.
Setiap kenderaan yang ditempah di PACE akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.
Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.
Tawaran menarik ini tidak sekadar berakhir di situ kerana selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.
Jenama lain yang akan menyertai PACE 2022 adalah seperti Mercedes-Benz, BMW, MINI (melalui Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Ford dan Hyundai. Bukan setakat kereta, BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan berada di acara ini. Jadi, jangan lupa, 19 dan 20 Mac ini!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.