Yamaha 135LC Fi V8 2022 vs Y15ZR dan Y16ZR – di manakah kelebihan dan kekurangan setiap model?

Yamaha 135LC Fi V8 2022 vs Y15ZR dan Y16ZR – di manakah kelebihan dan kekurangan setiap model?

Pelancaran Yamaha 135LC Fi beberapa hari lepas mungkin menimbulkan pertimbangan semula bagi mereka yang bercadang untuk membeli sebuah kapcai baru. Ini kerana harga RM7,798 yang ditetapkan menjadikan ia semakin hampir kepada Y15ZR yang berharga RM8,168. Sebelum ini masalah itu mungkin tidak timbul kerana 135LC karburetor jelas lebih murah iaitu RM6,868. Semua harga yang kami nyatakan ini adalah harga yang dikeluarkan oleh pengeluar dan tidak termasuk insurans serta cukai jalan.

Jadi, demi memberi sedikit bantuan kepada anda untuk membuat pilihan, di sini kami sertakan perbandingan berdasarkan spesifikasi dua motosikal ini, dan disertakan sekali dengan Y16ZR yang juga boleh dianggap sebagai satu lagi ‘kapcai panas’ daripada Yamaha. Walaubagaimanapun, jelas sekali Y16ZR mempunyai harga yang jauh lebih tinggi berbanding 135LC Fi dan juga Y15ZR, iaitu RM10,888.

Jadi, dengan harga yang dinyatakan, di manakah letaknya kelebihan dan kekurangan semua model ini?

Pertamanya mari kita lihat kepada 135LC Fi. Peningkatan harga hampir RM1,000 (berbanding 135LC lama) yang dibuat adalah disebabkan beberapa ciri baru termasuk enjin suntikan bahan api, lampu LED, panel meter digital LCD serta brek cakera belakang. Kalau anda ada mempertimbangkan untuk pergi terus kepada Y15ZR yang harganya cuma lebih RM370, semua ciri ini juga ada pada moped 150 cc tersebut.

Cumanya, apabila anda berjimat RM370 dengan memilih 135LC Fi, anda juga akan kekurangan pada aspek kapasiti enjin (-15 cc), transmisi (kurang satu kelajuan kerana 135LC Fi cuma empat kelajuan) dan sudah tentu, kuasa (-2.7 hp dan -1.6 Nm). Selain daripada itu, anda juga tidak akan mendapat butang kill switch dan pass light, serta pemijak kaki boleh lipat (menjadi pilihan mereka yang suka mengambil selekoh kerana dirasakan lebih selamat) pada 135LC Fi.

Di sini anda sudah boleh melihat pelbagai kelebihan Y15ZR. Walaubagaimanapun, ada perkara yang boleh memadamkan hasrat untuk orang memilih moped 150 cc ini berbanding 135LC Fi. Pertamanya adalah tuil klac tangan. 135LC Fi walaupun cuma mempunyai empat kelajuan, hadir dengan klac jenis automatik, yang bermakna penunggang tidak perlu menarik klac tangan untuk memasukkan gear (tuilnya memang tak ada). Ini dirasakan lebih mudah bagi sesetengah orang, dalam keadaan tertentu seperti dalam kesesakan trafik atau memegang sesuatu dengan tangan kiri.

Yamaha 135LC Fi V8 2022 vs Y15ZR dan Y16ZR – di manakah kelebihan dan kekurangan setiap model?

Kemudiannya, 135LC Fi juga datang dengan tayar serta rim yang lebih kecil, iaitu bersaiz 70/90 R17 di hadapan dan 80/90 R17 di belakang, berbanding 90/80 R17 di hadapan dan 120/70 R17 di belakang untuk Y15ZR. Satu masa dulu, penggunaan tayar besar memang menjadi trend, tapi sekarang, lebih ramai yang gemarkan tayar lebih kecil dan kita boleh melihat ramai yang melakukannya pada Y15ZR. Satu lagi perkara, rekaan rim seperti Y125ZR pada 135LC Fi memang menjadi pujaan ramai.

Kelengkapan lain seperti suspensi, brek dan sistem bahan api pada 135LC Fi dan Y15ZR adalah sama sahaja, tetapi kekurangan lain Y15ZR adalah tangki bahan api 4.2 liternya adalah lebih kecil berbanding 135LC Fi (4.6 liter) sementara berat juga adalah lebih bagi Y15ZR, iaitu 115 kg, berbanding 109 kg bagi 135LC Fi.

Sekarang kita pergi pula kepada Y16ZR. Harganya yang lebih mahal, iaitu lebih RM2,720 berbanding Y15ZR dan lebih RM3,090 berbanding 135LC Fi adalah disebabkan beberapa kelebihan. Pertamanya, adalah enjin, di mana selain kapasitinya lebih tinggi, iaitu 155 cc, ia juga datang dengan sistem Variable Valve Actuation (VVA) yang menjadikannya lebih berprestasi.

Kuasanya juga sudah tentu lebih tinggi, iaitu lebih 2.5 hp dan 0.6 Nm berbanding Y15ZR, dan lebih 5.2 hp dan 2.2 Nm berbanding 135LC Fi. Enjin pada ketiga-tiga model ini menggunakan sistem penyejukan cecair, SOHC serta sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), tetapi Y16ZR ditambah lagi satu gear pada transmisi (berserta kelebihan klac jenis slip & assist), menjadikannya enam kelajuan.

Y16ZR juga mempunyai pelbagai lagi kelebihan lain seperti sistem kunci pintar, pass light, soket kuasa 12V, angkup brek hadapan dua piston serta tangki bahan api lebih besar (5.4 liter). Dari aspek mana pun kita memandang kepada Y16ZR ini, ia memang mempunyai kelebihan berbanding 135LC Fi dan Y15ZR, kecuali jika ada yang berminat dengan saiz tayar yang lebih kecil.

Jadi, itulah dia perbandingan antara tiga moped terkenal Yamaha, yang mana mungkin boleh membuatkan bakal pembeli lebih jelas tentang perbezaannya. Apa pun, masing-masing mempunyai minat, keutamaan serta kemampuan yang tersendiri dalam memilih model yang akan dibeli, jadi, fikirkanlah mengikut kesesuaian sendiri dan bukannya mengikut orang. Nanti juga kami akan buat perbandingan dengan beberapa model jenama lain seperti Suzuki Raider R150 Fi serta Honda RS-X.

GALERI: Yamaha 135LC Fi


GALERI: Yamaha Y15ZR V2

GALERI: Yamaha Y16ZR


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Y suku auto clutch....150 on Mar 13, 2022 at 7:50 am

    Yamaha lemah sikit bahagian padel brake belakang sebab masih menggunakan padel kacang panjang…. Model 125z perfect kalau diubah padel brake nya ini pasti lagi laris

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 0
  • Choi Sentap on Mar 13, 2022 at 5:50 pm

    Nice

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required