Mazda sekali lagi memaklumkan dengan jelas yang syarikat itu tidak akan menghidupkan semula jenama prestasi MPS (Mazda Performance Series), yang turut dikenali sebagai Mazdaspeed di sesetengah pasaran. Hal ini diutarakan oleh Pengurus Pemasaran Mazda Australia, Alastair Doak yang memaklumkan Which Car?; “Saya fikir arah tuju penawaran prestasi kami akan melonjak dengan CX-60; unit plug-in hybrid berkenaan menghasilkan 234 kW dan tangkas.”

SUV yang dimaksudkan itu didedahkan awal bulan ini dan dibina menggunakan platform pacuan belakang serba baru (Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture) yang sangat penting buat Mazda. Penawaran lain dengan RWD ketika ini ialah MX-5 yang menggunakan platform N Mazda, dan trak pikap BT-50 terkini dari Isuzu.

CX-60 akan diperkenalkan dengan sistem janaan plug-in hybrid pacuan semua roda yang menjana 327 PS (323 hp) dan 500 Nm, menjadikannya kereta paling berkuasa yang pernah di hasilkan Mazda. Enjin enam-silinder akan diperkenalkan kemudian dan mungkin untuk RWD sahaja.

Dengan prestasi atas kertas seperti itu, Mazda tidak merasakan ada keperluan untuk menghadirkan semula sayap prestasi untuk memuaskan hati penggemar jenama itu. Ini termasuk untuk menghasilkan versi prestasi untuk C-5 atau mana-mana model semasa yang ada. “Itu mungkin menarik, tetapi jumlahnya nanti akan jadi terlalu kecil,” ujar Doak.

“Jika kami meningkatkan lagi penawaran prestasi berbanding apa yang ada ketika ini, itu mungkin akan ok, tambahan pula kami ada platform RWD sekali lagi, yang akan menjadi kelebihan kepada kami,” tambah beliau, mencadangkan yang Mazda sudah mempunyai penawaran prestasi yang agak baik untuk model-model akan datang.

Ini tidak bermakna Mazda langsung tiada barisan model prestasi ketika ini. Selain CX-60, syarikat itu juga ada Mazda 3, CX-5 dan CX-30 dengan versi turbocas walaupun semua ini bukan model MPS, yang bertanggungjawab terhadap penalaan model seperti Mazda 3, Mazda 6, MX-5, Protégé dan RX-8, dengan penawaran terakhirnya adalah Mazdaspeed 3 generasi kedua yang telah dihentikan pada 2013 — turut dijual di Malaysia lama dulu.