Mercedes-Benz ambil tanggungjawab penuh jika sistem pemanduan sendiri Tahap 3 alami kemalangan

Mercedes-Benz ambil tanggungjawab penuh jika sistem pemanduan sendiri Tahap 3 alami kemalangan

Sistem bantuan pemanduan Mercedes-Benz Drive Pilot yang ditampilkan pada model generasi W223 baharu S-Class telah pun diberi kelulusan untuk digunakan di Jerman tahun lalu, menjadikan jenama premium berkenaan sebagai pengeluar kereta pertama di negara tersebut yang berjaya untuk mencapai sistem pemanduan autonomi Tahap 3.

Menurut laporan Road & Track, Mercedes-Benz menyatakan bahawa dalam setiap kemalangan yang berlaku, sekiranya ketika itu sistem Drive Pilot ini sedang diaktifkan, mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya dan kesalahan tersebut tidak akan dikenakan terhadap pemandu yang mengaktifkan sistem Drive Pilot berkenaan.

“Sehingga akhir tahun lalu, kami merupakan pembuat kenderaan pertama yang menerima pengiktirafan untuk sistem Tahap 3 antarabangsa. Kami sedang mensasarkan untuk mendapatkan pengiktirafan yang sama untuk California dan Nevada menjelang akhir tahun ini, dan kami sedang meninjau [situasi] di kebanyakkan negeri lain juga,” kata pengurus pembangunan senior Drive Pilot, Gregor Kugelmann kepada Road & Track.

Portal berkenaan turut menyatakan bahawa dengan tidak mengenakan sebarang tanggungjawab terhadap pemandu, Mercedes-Benz mempunyai peluang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh pelbagai pengawal selia. Ini kerana sistem pemanduan autonomi yang lebih tinggi dari Tahap 2 seharusnya tidak memerlukan sebarang pemantauan dari pemandu.

Mercedes-Benz ambil tanggungjawab penuh jika sistem pemanduan sendiri Tahap 3 alami kemalangan

Contohnya seperti sistem SuperCruise dari General Motors dan juga Autopilot dari Tesla, kedua-duanya masih diklasifikasikan sebagai sistem Tahap 2 kerana ia masih memerlukan pemandu memantau operasi sistem tersebut dan sentiasa bersedia mengambil alih pemanduan secara manual sekiranya operasi sistem berkenaan terhenti.

Sistem Drive Pilot dari Mercedes-Benz ini menampilkan lebih banyak sistem sandaran seperti bekalan kuasa tambahan untuk sistem-sistem kritikal, serta ia memberikan amaran awal 10-saat kepada pemandu sebelum sistem berkenaan terpaksa dihentikan dan pemandu perlu mengambil alih pemanduan, menurut R&T.

Operasi pemanduan autonomi yang lebih tinggi serta kesediaan Mercedes-Benz menanggung semua tanggungjawab bermaksud sistem ini perlu mampu untuk mengesan lampu kecemasan dan siren lebih awal bagi memberikan amaran awal 10 saat sebelum pemandu mengambil alih pemanduan.

Dengan amaran awal lebih lama ini juga bermaksud, sekiranya sistem Drive Pilot tersebut sedang diaktifkan, pemandu boleh menumpukan perhatian mereka terhadap perkara lain sepenuhnya. Menurut Mercedes-Benz, ketika kereta berkenaan dipandu sendiri dengan sistem Drive Pilot tersebut, ia mampu menangani situasi seperti ‘dicantas’ secara agresif oleh pemandu lain, jarak memberhenti yang pendek dalam aliran trafik dan juga mengelak serpihan di atas jalan.

Mercedes-Benz ambil tanggungjawab penuh jika sistem pemanduan sendiri Tahap 3 alami kemalangan

Setiap negara berbeza akan menetapkan undang-undang berbeza untuk sistem pemanduan sendiri ini. Contohnya di Jerman, pemandu dibenarkan menggunakan telefon bimbit sekiranya sistem Drive Pilot berkenaan beroperasi, iaitu pertama seumpamanya untuk sistem pemanduan separa autonomi.

Oleh itu, menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya pemanduan kenderaan kepada sistem Drive Pilot hanya boleh dibuat pada situasi-situasi tertentu. Buat masa sekarang, Drive Pilot hanya boleh digunakan pada kelajuan 40 bsj di Amerika Syarikat, atau 60 km/j di Jerman di lebuhraya akses-terhad tanpa lampu isyarat, bulatan atau sistem-sistem kawalan trafik lain, dan tanpa laluan melintasi tapak pembinaan.

Drive Pilot juga hanya boleh diaktifkan pada siang hari, dalam keadaan cuaca cerah, serta tanpa halangan-halangan lain; bermaksud jika ia mengesan cuaca buruk, terowong, zon pembinaan dan kehadiran kenderaan kecemasan, Drive Pilot akan mengeluarkan amaran awal kepada pemandu untuk mengambil alih pemanduan secara manual.

Dengan Mercedes-Benz sedang bersedia untuk melancarkan sistem Drive Pilot ini untuk kegunaan awam di Amerika Syarikat menjelang akhir 2022, sistem pemanduan autonomi dilihat semakin hampir untuk menjadi kenyataan dalam kebanyakkan pasaran, dan kesanggupan dari pengeluar untuk bertanggungjawab terhadap sebarang insiden yang berlaku ketika menggunakan sistem pemanduan sendiri tersebut bakal memberikan lebih keyakinan kepada pengguna dan pihak berkuasa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required