Mercedes-Benz S-Class W223 didedah sepenuhnya – lebih mewah dan maju, versi PHEV tahun hadapan

Mercedes-Benz S-Class W223 didedah sepenuhnya – lebih mewah dan maju, versi PHEV tahun hadapan

Selepas banyak teaser, spyshot dan informasi yang disiarkan sedikit demi sedikit, akhirnya Mercedes-Benz S-Class generasi ketujuh didedahkan secara rasmi. Model ini dipanggil sendiri oleh Mercedes-Benz sebagai “kereta terbaik di dunia”, jadi seluruh bahagian diberi peningkatan.

Penampilan S-Class ini adalah serba baru dan di bahagian hadapan anda akan dapat melihat grilnya lebih besar manakala lampu utama lebih nipis, lebar dan mempunyai DRL LED serta penunjuk arah berbentuk tajam. Tiga bintik lampu di dalamnya pula menggambarkan ini adalah model S-Class (E-Class menggunakan dua bintik).

Lampu ini datang secara standard dengan Multibeam LED, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada Digital Light yang mampu meningkatkan ketepatan Highbeam Assist sehingga 100 kali berbanding Multibeam dan memancarkan pelbagai informasi ke atas jalan seperti simbol amaran, tanda jalan dan panduan apabila melalui kawasan pembinaan.

Lampu ini malah boleh melaras sendiri mengikut keadaan permukaan jalan yang dilalui berdasarkan data navigasi. Sebagai contoh, jika sampai di puncak bukit, lampu akan direndahkan supaya pemandu bertentangan tidak silau manakala apabila berada di bahagian bawah bukit, lampu akan ditinggikan supaya pemandu nampak lebih jelas keadaan di hadapan.

Bagi menjadikan kereta nampak lebih kemas, pemilik boleh mendapatkan pembuka pintu yang tenggelam apabila tidak digunakan manakala rim pula terdiri daripada unit antara 18 hingga 21 inci. Pada bahagian belakang, lampunya menggunakan bentuk segi tiga baru dan mempunyai bintik-bintik yang boleh melakukan pelbagai urutan pergerakan. Di atasnya terdapat jalur krom yang bersambung di bahagian tengah.

Ciri aerodinamik diambil penting pada S-Class ini, dengan kadar rintangan angin kini menjadi 0.22 Cd dan pelbagai lagi bahagian seperti bukaan dan laluan udara, bahagian bawah kenderaan, cermin sisi serta rim direka untuk memperbaiki aerodinamik.

Mercedes-Benz S-Class W223 didedah sepenuhnya – lebih mewah dan maju, versi PHEV tahun hadapan

Bahagian dalam S-Class baru ini banyak mendapat inspirasi daripada rekaan bot mewah. Papan pemuka itu sendiri adalah ringkas dengan tidak mempunyai banyak butang, dan terdapat kemasan kayu lebar yang bersambung dari tengah sehingga ke tepi pintu.

Di tengah, terdapat skrin sesentuh besar yang bentuknya bersambung sekata sehingga ke konsol tengah, dan melaluinya, butang-butang kawalan dapat dikurangkan sehingga menjadi cuma satu baris di bawahnya. Corong pendingin hawa menggunakan bentuk petak yang melintang di tengah dan menegak di tepi.

Lampu suasana 64 warna turut dinaik taraf, kini terdiri daripada 250 LED (sebelum ini cuma 40), menjadikannya lebih terang dan boleh memberi tindak balas kepada pelbagai fungsi kenderaan seperti keluar daripada lorong, pintu dibuka dan amaran perlanggaran.

Mercedes-Benz S-Class W223 didedah sepenuhnya – lebih mewah dan maju, versi PHEV tahun hadapan

Bagi model jarak roda biasa, panjangnya adalah 5,179 mm manakala versi jarak roda panjang pula adalah 5,289 mm. Ini bersamaan penambahan panjang masing-masing 54 mm dan 34 mm berbanding sebelum ini manakala ukuran bahagian lain adalah 1,921 mm lebar (+22 mm), 1,503 mm tinggi (+10 mm), jarak roda 3,106 mm untuk versi biasa (+71 mm) dan 3,165 mm untuk versi jarak roda panjang (+51 mm).

Melalui ukuran ini penumpang belakang akan mendapat lebih banyak ruang dan tempat duduk jenis boleh sandar turut disediakan sebagai pilihan. Ruang bahu bertambah 38 mm bagi pemandu dan 23 mm untuk penumpang belakang, manakala ruang kepala belakang bertambah 16 mm. Ruang simpanan belakang kini 20 liter lebih besar, menjadi 550 liter.

Tempat duduk itu sendiri telah direka semula untuk menjadikannya lebih selesa dan ditawarkan dengan bantal pada penyandar kepala serta pemanas tengkuk. Di dalamnya, terdapat kipas untuk pemanas dan penyejuk, serta beg udara untuk fungsi mengurut. Model baru ini juga menjadi S-Class pertama yang datang dengan fungsi kinetik Energizing yang boleh melaras sendiri tempat duduk pada selang masa tertentu.

Mercedes-Benz S-Class W223 didedah sepenuhnya – lebih mewah dan maju, versi PHEV tahun hadapan

Tempat duduk dan roda stereng telah dilaras kembali untuk memberikan kedudukan memandu lebih baik dan satu lagi fungsi istimewa adalah Adapt. Melalui ciri ini, pemandu cuma perlu memasukkan tinggi dalam sistem MBUX dan apabila mereka masuk dalam kenderaan, tempat duduk, roda stereng dan cermin akan dilaras secara automatik.

Untuk bahagian belakang, pembeli boleh memilih lima tetapan tempat duduk termasuk yang biasa dan boleh sandar. Model jarak roda panjang juga ditawarkan dengan dua tempat duduk yang berasingan, konsol tengah kelas pertama serta tempat duduk eksekutif. Pilihan balutan kulit yang diberi termasuk Lugano dan Exclusive Nappa.

Pembeli disediakan dengan dua pilihan untuk skrin tengah iaitu LCD 11.9 inci atau OLED 12.8 inci. Panel instrumen pula bersaiz 12.3 inci dan ditawarkan dengan kesan tiga dimensi. Anda juga boleh menambah sistem hiburan belakang MBUX dengan dua skrin 11 inci serta tablet 7.0 inci untuk kawalan yang boleh diletakkan pada konsol tengah.

Sistem head-up display datang dalam dua pilihan, dan unit yang lebih besar dilengkapi dengan fungsi augmented reality yang akan memaparkan informasi pada jarak 10 meter di hadapan. Sistem MBUX dipertingkat dengan fungsi yang membolehkan penumpang berkongsi video atau muzik, serta menetapkan navigasi dari belakang. Tetapan tempat duduk boleh disimpan dalam memori dan sistem kenderaan dapat mengesan pemiliknya melalui cap jari, muka atau suara.

Sistem kawalan suaran “Hey Mercedes” kini boleh digunakan dalam 27 bahasa, memahami beberapa arahan secara serentak dan boleh menjalankan operasi tanpa memerlukan sebarang ayat khas. Penumpang belakang juga boleh menggunakan sistem ini.

Satu lagi yang baru adalah integrasi dengan peranti di rumah. Melaluinya anda boleh memeriksa status rumah dan mengawal peralatan tertentu. Ciri MBUX Interior Assistant dinaik taraf dan kini boleh mengenal pasti beberapa pergerakan (jika anda menoleh ke tepi ia akan membuka penghadang matahari di tingkap) dan menggunakan kamera untuk melihat mata pemandu sekiranya mereka tertidur dan mengeluarkan amaran.

Tiga pilihan sistem bunyi disediakan dan dua daripadanya adalah sistem Burmester yang mempunyai sistem komunikasi dalam kenderaan untuk komunikasi antara orang di tempat duduk depan dan belakang. Sistem bunyi paling mewah menggunakan sistem 4D berkuasa 1,750 watt dengan 31 pembesar suara.

Mercedes-Benz S-Class W223 didedah sepenuhnya – lebih mewah dan maju, versi PHEV tahun hadapan

Sewaktu pelancaran, S-Class ini disediakan dalam empat varian dengan tiga daripadanya menggunakan pacuan empat roda 4Matic (untuk satu lagi varian ia disediakan sebagai pilihan tambahan). Bagi enjin petrol, varian S 450 4Matic dan S 500 4Matic dikuasakan unit enam silinder turbo 3.0 liter M256 dengan kuasa masing-masing 367 PS/500 Nm dan 435 PS/520 Nm.

Enjin ini datang dengan starter/generator 48 volt yang menggerakkan satu lagi compressor elektrik dan memberi tambahan kuasa 22 PS dan 250 Nm tork. Hasilnya, S 450 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat manakala S 500 4.9 saat. Varian diesel pula menggunakan enjin enam silinder turbo 3.0 liter OM656, dengan S 350d menghasilkan kuasa 286 PS/600 Nm tork manakala S 400d 4Matic 330 PS/700 Nm.

Mercedes memberitahu, versi yang dipacu enjin V8 dengan sistem ISG 48 volt akan datang tidak lama lagi, manakala versi plug-in hybrid yang menawarkan jarak gerak elektrik sehingga 100 km akan tiba pada tahun 2021. Gambar di atas menunjukkan tempat mengecas PHEV tersebut telah diubah dari di bampar belakang kepada fender belakang.

Mercedes-Benz S-Class W223 didedah sepenuhnya – lebih mewah dan maju, versi PHEV tahun hadapan

Di sebalik badannya, S-Class baru ini dibina dengan kombinasi bahan besi dan aluminium, dan 50% daripada beratnya datang daripada aluminium. Panel aluminium juga menyumbang kepada pengurangan berat sehingga 60 kg berbanding model sebelumnya.

Suspensi hadapan masih menggunakan tetapan four-link manakala di belakang menggunakan multilink. Dalam keadaan standard, kereta ini datang dengan suspensi udara Airmatic dengan penyerap adaptif, sementara sistem E-Active Body Control disediakan sebagai pilihan tambahan bagi menggantikan Magic Body Control sebelum ini.

Antara peningkatan penting pada S-Class adalah rear wheel steering yang kini disediakan dalam dua versi. Selain sistem 4.5 darjah biasa, anda juga boleh memilih tetapan yang memberikan tambahan sudut membelok sebanyak 10 darjah. Dengannya, kenderaan bukan sahaja dapat membelok lebih baik, malah radius pusingan juga menjadi lebih kecil.

Pada bahagian keselamatan, S-Class menjadi kereta pertama yang menggunakan beg udara hadapan untuk penumpang belakang. Ia dipasang pada bahagian belakang tempat duduk hadapan dan mempunyai rekaan yang menjadikannya lebih lembut dan mengurangkan kecederaan. Tali pinggang keledar juga mempunyai beg udara sendiri.

Sistem bantuan pemandu sedia ada turut diberi peningkatan. S-Class baru kini datang terus dengan pelbagai ciri termasuk Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki dan trafik bertentangan yang diperbaiki, Adaptive Cruise Control (kini boleh mengelak perlanggaran sehingga 130 km/j), Lane Centring Assist, Lane Change Assist, Evasive Steering Assist, Active Emergency Stop Assist dan Blind Spot Monitoring.

Satu lagi peningkatan penting adalah sistem Drive Pilot yang menurut Mercedes dapat membenarkan pemanduan separa autonomous Level 3 dalam bahagian lebuh raya tertentu, waktu trafik padat sehingga 60 km/j. Dengannya, pemandu boleh melakukan perkara lain dan membiarkan kenderaan bergerak dan membrek sendiri. Apabila trafik semakin lancar, amaran akan dikeluarkan untuk pemandu kembali mengambil alih pemanduan. Jika tidak, kereta akan berhenti dan diberitahu kepada servis kecemasan. Sistem ini dijangka diperkenalkan bermula dengan di Jerman pada tahun hadapan.

Mercedes-Benz S-Class W223 didedah sepenuhnya – lebih mewah dan maju, versi PHEV tahun hadapan

Sistem Parking Assist kini mempunyai 12 sensor yang dinaik taraf, bersama Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki. Sistem kamera 360 darjah disediakan sebagai pilihan tambahan dan dapat membantu mencari petak letak kereta kosong.

Ciri Remote Parking Assist pula membenarkan pengguna meletakkan kenderaan dari jauh. Ia kini dipertingkat dengan sokongan telefon pintar dan menggunakan sambungan WiFI. Paling menarik adalah Intelligent Parking Pilot yang dapat memberikan fungsi autonomous Level 4 – boleh letak kereta sendiri tanpa pemandu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required