Kebanyakkan model-model baharu terkini sudahpun mempunyai sistem bantuan-pemanduan termaju (ADAS), iaitu sistem pemanduan autonomi yang bukan sahaja membantu pemandu untuk mengelakkan kemalangan dari berlaku, malah dengan sistem yang diklasifikasi pada Tahap 2, ia turut dapat mengurangkan keletihan semasa memandu dengan menyediakan cruise control adaptif serta bantuan stereng untuk mengekalkan kereta dalam lorong.

Sistem berkenaan kini sudahpun mula ‘dinormalisasikan’ pada model-model mampu milik seperti yang dipadankan pada Perodua Myvi facelift 2022 dan juga Perodua Ativa. Namun adakah anda pernah terfikir, ada tak sistem ADAS ini boleh dipadankan secara retrofit untuk model-model lebih lama?

Ini mungkin apa yang anda cari – Kommu, syarikat dari Malaysia telah pun memperkenalkan KommuAssist iaitu sistem ADAS dengan kebolehan fungsi pemanduan autonomi Tahap 2 yang boleh dipadankan secara plug and play terus kepada kereta anda.

Fungsi-fungsi yang dibekalkan oleh KommuAssist ini termasuk cruise control adaptif (ACC) lengkap dengan low-speed follow (LSF), iaitu sistem yang membolehkan cruise control berkenaan berfungsi ketika aliran trafik yang ‘merangkak’ dan berhenti serta bergerak semula, memudahkan anda meredah traffic jam tanpa perlu mengoperasikan pedal pendikit dan padel brek.

Jumlah masa menahan brek dalam kesesakan untuk sistem ini adalah bergantung kepada model kereta. Contohnya untuk model-model Perodua, fungsi LSF ini boleh menahan brek ketika berhenti sehingga tiga saat – selepas dari masa berkenaan pemandu perlu menahan sendiri pedal brek dan melepaskannya selepas trafik mula bergerak semula.

Manakala untuk model-model Toyota yang telah pun mempunyai sistem ACC secara standard (dengan sistem stop & go dan brek parkir elektronik) masih akan mengekalkan sistem tersebut. Namun untuk sistem standard ini, pemandu perlu menekan pedal pendikit untuk bergerak semula – dengan KommuAssist, ia ditambah baik; pemandu tidak perlu menekan pedal pendikit, sebaliknya kereta akan mula bergerak apabila mengesan kereta hadapan sudah mula bergerak.

Menurut Kommu lagi, fungsi ACC ini turut akan membantu kereta membrek sendiri secara lebih aktif sekiranya mengesan objek di hadapan, memberikan fungsi lebih baik terhadap sistem brek kecemasan automatik (AEB) sedia ada yang telah dipadankan secara standard terhadap kereta berkenaan.

Walaubagaimanapun, bukan semua kereta yang dipasang dengan KommuAssist ini mampu untuk menawarkan fungsi tersebut. Kereta-kereta yang tidak dibekalkan dengan sistem AEB dari kilang, ia hanya mampu untuk memberikan fungsi “semi ACC”.

Dengan sistem cruise control separa adaptif berkenaan, kereta masih mampu untuk bergerak secara cruising serta menjadikan kereta hadapan sebagai panduan. Namun ia tidak membrek sendiri apabila mengesan kenderaan hadapan mula perlahan, sebaliknya hanya tidak lagi memberikan input pendikit untuk turut memperlahankan kereta berkenaan berdasarkan jarak yang telah ditetapkan.

Kedua-dua jenis ACC yang ditawarkan dalam sistem KommuAssist ini disasarkan untuk memberikan pemanduan jarak jauh yang lebih selesa kepada pemandu, kerana ia membantu pemandu agar tidak perlu secara berterusan mengawal pedal pendikit dan pedal brek. Walau bagaimanapun, Kommu turut mengegaskan bahawa pemandu masih perlu sentiasa memberikan sepenuh perhatian terhadap jalan raya walaupun KommuAssist sedang aktif beroperasi.

Selain dari fungsi cruise control ini, KommuAssist turut menampilkan sistem kawalan kekal lorong aktif, yang mampu mengekalkan kenderaan bergerak hanya dalam lorongnya, dalam masa yang sama memantau muka pemandu bagi memastikan pemandu sentiasa menumpukan perhatian mereka kepada jalan raya.

Bagi membolehkan fungsi-fungsi ini beroperasi, KommuAssist memerlukan KommuVision yang bertindak sebagai ‘otak’ untuk sistem berkenaan. KommuVision menggunakan perisian BukaPilot yang dibangunkan menerusi agen pemanduan sumber terbuka yang digelar sebagai OpenPilot. Manakala untuk input terhadap sistem tersebut, KommuVision turut dilengkapi dengan kamera yang bertindak sebagai ‘mata’ sistem berkenaan.

Sistem ini juga dibekalkan dengan komponen yang digelar sebagai KommuPower, yang berperanan untuk membekalkan kuasa kepada KommuActuator. KommuActuator ini pula bertindak seakan ‘kaki dan tangan’ kepada sistem ini di mana ia akan menggerakkan sistem stereng kuasa elektrik, brek dan juga sistem pendikit.

Bagi kereta yang menyokong sistem penuh ACC KommuAssist, KommuActuator akan digantikan dengan KommuRelay bagi membolehkan ia berkomunikasi dengan kamera ADAS yang dibekalkan secara standard oleh pengeluar dari kilang.

Seperti yang disebut sebelum ini, sistem KommuAssist berkenaan boleh dipasang secara plug and play kepada kereta anda, tanpa melibatkan sebarang proses pemotongan wayar dan sebagainya. Kommu turut menyatakan bahawa pemasangan sistem ini tidak akan mengubah atau mengurangkan sebarang perincian keselamatan asal kereta tersebut, dan ia boleh dibuka semula dengan mudah.

Kesemua hardware untuk sistem ini akan terus menerima kemaskini perisian dan firmware sekurang-kurangnya selama setahun selepas pelancaran versi generasi terbaharu.

Menurut Kommu, model-model yang boleh dipadankan dengan sistem ACC penuh KommuAssist adalah:

  • Perodua Ativa (AV) 2020-2022
  • Perodua Myvi (AV) 2022
  • Toyota Alphard 2019-2020
  • Toyota Camry 2021-2022
  • Toyota Corolla 2020-2022
  • Toyota Prius 2021-2022
  • Lexus ES 2019-2021
  • Lexus NX 2020
  • Lexus UX 2020-2021
  • Lexus RX 2020-2021

Manakala model-model yang boleh dipadankan dengan sistem separa ACC KommuAssist pula adalah:

Perodua Axia (GXtra, Style, SE and AV) 2019-2022
Perodua Bezza (X and AV) 2020-2022
Perodua Myvi (G, X, H and AV) 2017-2021

Untuk harga pula, KommuAssist dijual pada harga RM3,499 untuk model-model dalam senarai pertama, menampilkan hardware termasuk KommuVision, KommuPower dan KommuRelay. Manakala model-model dalam senarai kedua pula, kit tersebut dijual pada harga RM3,599, dengan hardware yang sama kecuali KommuRelay digantikan dengan KommuActuator.

Kommu turut menjemput mereka yang berminat dengan sistem berkenaan untuk mendaftar bagi memandu uji sistem ini, dan mereka turut akan memberikan beberapa soalan dalam sesi temubual.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, adakah sistem yang ditawarkan oleh Kommu ini sah digunakan menurut undang-undang yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)?

Menurut Kommu, mereka kini sedang bekerjasama dengan JPJ bagi memastikan sistem yang ditawarkan tersebut memenuhi Garis Panduan Kenderaan Berautonomi yang dikawal selia oleh komiti Malaysia Autonomous Vehicle (MyAV) yang diwujudkan oleh Kementerian Pengangkutan, Institut Automotif, Robotik dan IoT (MARii), JPJ dan Futurise.

Bagaimana pula dengan insuran? Kommu menyatakan bahawa untuk perkara ini pemilik kenderaan sendiri perlu memeriksa dengan syarikat insuran masing-masing. Walau bagaimanapun, pernyataan dalam ruang soalan kerap ditanya (FAQ) Kommu ada ditulis “kami tidak pernah diberitahu bahawa kereta yang telah dipasang dengan KommuAssist ditolak untuk perlindungan.”

Jadi apa pendapat anda berkenaan KommuAssist ini? Adakah ia berbaloi dipasang pada kereta anda berdasarkan harga dan fungsi ditawarkan? Kongsikannya dengan kami dalam ruang komen di bawah atau di hantaran pada laman sosial kami.