Tolong, jangan biar anak-anak berlumba basikal lajak

Tolong, jangan biar anak-anak berlumba basikal lajak

Budaya menunggang basikal lajak bukan lagi benda baru di Malaysia. Seingat penulis sendiri yang memang berasal dari Johor Bahru, “sukan” ini telah mula bertapak di ibu negeri Johor berkenaan lebih dari 15 tahun yang lalu.

Mengayuh basikal bukanlah sesuatu yang boleh kita kategori kan sebagai jenayah, tetapi berlumba dengan basikal tanpa brek, menurun bukit dengan kelajuan tinggi tanpa sebarang pelindungan, dan lebih bahaya ia dilakukan oleh remaja bawah umur di tengah-tengah jalan raya utama seperti Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru bermula tengah malam membawa ke subuh, ini perkara yang tidak boleh dipandang ringan – baik dari segi keselamatan, mahupun perkembangan sahsiah remaja-remaja tersebut.

Kemuncaknya berlaku pada 2017, apabila seorang jurujual wanita ketika itu berumur 22 tahun, Sam Ke Ting terlanggar sekumpulan pelumba basikal lajak ini di satu kawasan berbukit Jalan Lingkaran Dalam, berhampiran tanah perkuburan Jalan Mahmoodiah pada pukul 3.20 pagi, 18 Februari dengan Nissan Almera yang dipandunya. Kejadian tersebut menyebabkan lapan orang remaja yang berumur antara 13 hingga 17 tahun dalam kumpulan itu maut di tempat kejadian.

Sam didakwa memandu kereta secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kematian berkenaan di Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru pada 28 Mac 2017, namun dibebaskan oleh Mahkamah pada 28 Oktober 2019. Tetapi dia sekali lagi diperintahkan oleh Mahkamah untuk membela diri atas pertuduhan yang sama pada 18 Februari 2021 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Sam daripada tuduhan tersebut, tetapi pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan berkenaan. Akhirnya Sam Ke Ting yang kini berumur 27 tahun dan bekerja sebagai kerani diperintahkan oleh mahkamah untuk dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, kerana kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak berkenaan.

Tidak mustahil, apa yang terjadi pada Sam ini mungkin akan terjadi pada kita – memandu seorang diri di tengah malam, tiba-tiba terlanggar sekumpulan remaja yang ‘berkampung’ di tengah lebuhraya, terselindung di sebalik titik buta jalan berbukit, dan kemudian dihukum penjara.

Perkara ini telah memanggil pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon untuk bersuara. Dalam laporan The Star, Prof Wong berkata ibu bapa tak sepatutnya membenarkan anak-anak mereka untuk menunggang atau berlumba basikal lajak ini di lebuhraya.

“Ibu bapa perlu menghentikan kegiatan anak-anak mereka yang terlibat dalam aktiviti berbahaya kerana bukan sahaja mangsa yang akan merana, ia juga akan melibatkan keluarga sekiranya terjadi kemalangan,” katanya. “Ini sesuatu yang tak sepatutnya kita sokong. Lebuhraya bukan dibina untuk berlumba basikal. Aktiviti berbasikal lasak seperti ini perlu dibuat di taman khas yang dibina untuknya,” kata Prof Wong.

Jurucakap MCA Chan Quin Er nyata terkejut dengan hukuman yang dikenakan ke atas Sam, dan berkata “keputusan ini meletakkan tanggungjawab yang besar kepada pemandu kerana mereka mesti berhati-hati di jalan raya walaupun mereka tidak mengambil alkohol dan berada dalam had laju. Lebih-lebih lagi dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan telah dibebaskan dua kali oleh Mahkamah Majistret.”

Tolong, jangan biar anak-anak berlumba basikal lajak

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye pula menegaskan bahawa kes ini perlu diadili secara lebih saksama. “Jika mereka katakan ‘memandu secara melulu’, bagaimana mereka maksudkannya? Berapa kelajuan yang dipandu oleh wanita tersebut? Dari satu sudut lagi, kita tidak akan menjangkakan ada kanak-kanak untuk berada di situ khususnya pada masa sebegitu, pada lereng bukit, dan berlumba,” kata Lee.

paultan.org turut berkesempatan untuk bercakap dengan pelumba basikal downhill mountain bike antarabangsa tempatan dengan 15 tahun pengalaman berlumba, Hasnan Badi. Menurut Hasnan, ada beberapa isu yang menyebabkan insiden tersebut.

“Tinggalkan dulu hukuman yang telah dijatuhkan, sistem kehakiman Malaysia telah pun membuat keputusan tersebut. Saya rasa pasukan pembelaan Sam akan terus berusaha untuk rayuan,” katanya. “Tetapi, pertama sekali, apa yang kanak-kanak, semuanya bawah umur, buat di atas jalan raya pada pukul 3 pagi?” tanya Hasnan.

“Yang kedua, isu ini berkaitan dengan keselamatan. Basikal lajak yang mereka tunggang tidak selamat untuk digunakan, tiada langsung keselamatan,” katanya lagi. “Basikal lajak dengan bar pemegang yang telah dipotong dan mungkin tiada brek, dengan posisi tunggangan begitu, tidak akan memberikan kawalan yang sepatutnya,” jelas Hasnan.

Tolong, jangan biar anak-anak berlumba basikal lajak

Walau bagaimanapun, Hasnan menekankan bahawa pemandu seharusnya bertanggungjawab dalam mengawal kereta mereka setiap masa. “Tengok, kita pemandu dan penunggang, kadang kala perkara malang akan terjadi,” katanya. “Tetapi pemandu perlu sentiasa peka dan bersedia untuk mengambil tindakan sepatutnya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” tambahnya lagi.

Hasnan menyatakan bahawa jalan raya bukan tempat untuk basikal berlumba kecuali dalam keadaan terkawal. “Ia berbalik kepada keselamatan dan pendidikan. Jika kanak-kanak tidak dididik berkenaan keselamatan oleh ibu bapa dan ibu bapa tidak peka dengan apa yang dilakukan oleh anak-anak, mungkin perkara ini boleh terjadi lagi.”

Apa pun yang terjadi, nasi sudah menjadi bubur. Apa pun hukuman yang dikenakan terhadap Sam tetapi tidak akan mengembalikan nyawa remaja-remaja berkenaan. Ya, kadang-kala memang sukar untuk mengawal kelakuan-kelakuan remaja yang sedang membesar dalam umur sebegitu – kita juga pernah lalui fasa yang sama, pasti ada sahaja helah untuk mengelak ibu bapa mengesan kesalahan yang kita buat kan?

Oleh itu dalam persekitaran yang serba mencabar ini, sama-sama lah kita jaga anak-anak kita, ambil tahu apa yang mereka buat dengan apa cara sekalipun. Kalau bukan untuk keselamatan orang lain, fikirlah untuk keselamatan anak kita sendiri. Nyawa bukan boleh dibeli semula di mana-mana.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required