Bagaimana bayangannya jika Perodua Myvi generasi terbaru nanti adalah sebuah EV? Pendekatan rekaan yang bagaimana seharusnya digunakan? Untuk ini, Saharuddin Busri yang kerja-kerja rekaan digitalnya selalu kami kongsikan sebelum ini, ada jawapan beliau yang tersendiri.

Merasakan penampilan rekaan Perodua Myvi ketika ini terlalu “sibuk” dengan garis-garis tajam dan berketul yang terserlah dengan agak ketara, beliau tampil dengan pendekatan yang lebih bersih. Ini selari dengan perkembangan rekaan yang kebanyakannya diterapkan pada model-model kenderaan EV sekarang, dengan imej dan garis badan yang lebih ringkas dan kemas — hal yang sama misalnya banyak mengambil inspirasi daripada rekaan kenderaan terkini Volvo.

Bagaimanapun, oleh kerena Myvi adalah sebuah hatchback, ia masih dikekalkan dalam bentuk dan karakter sporty; dalam kes ini, rujukannya adalah model Volkswagen Golf terkini yang memberinya keteguhan dalam imej sporty berkenaan.

Keringkasan yang ingin ditampilkan itu sangat terserlah. Dari depan misalnya, hud depan hanya ada dua garisan hampir lurus yang kemudian menjurus kepada wajah depan yang bersih; dengan jalur lampu LED melintang penuh. Elemen rekaan yang sama ini dilanjutkan ke bahagian cermin sisi, dengan jalur krom menjadi semacam tapak pemegang cermin sisi berkenaan — dengan perumah gentian karbon.

Dari sisi juga rekaan ini nampak gagah, dengan garis baru yang bersih dan ketara memisahkan dua bahagian utama badan kenderaan ini. Satu lagi garis lengkung di badannya memberikan kesan “berotot” untuknya. Rim pula hadir dalam saiz yang besar daripada biasa, membuatkannya nampak seperti mempunyai tapak dan kedudukan yang lebih kukuh dan stabil sebagai sebuah kereta sporty.

Paling “sibuk” mungkin bahagian belakang. Sekali pandang, ia kelihatan mengambil inspirasi daripada bahasa rekaan yang biasa kita lihat pada SUV. Jalur lampu LED melintang menjadikannya nampak lebar, dengan lampu belakang yang minimalis. Satu garis utama membuatkan bahagian belakang ini seperti terpisah dua dengan lekuk yang besar.

Nama Perodua juga disesuaikan dengan unsur keringkasan, sebelum lencana yang tertulis “Myvi 2022” melengkapkan identiti kereta ini. Rekaan bampar juga tampil bersih, dengan dipisahkan kepada dua; pertama ruang hitam yang menempatkan nombor plat serta kedua bahagian ala diffuser hitam di bawahnya.

Apa pandangan anda tentang rekaan bersih ala EV untuk Myvi yang dibayangkan ini? Jauh lagi menarik daripada Myvi yang ada sekarang? Rasa-rasa boleh jadi kenyataan tak, mana tahu kalau Myvi generasi seterusnya nanti akan ada versi elektrifikasi, atau bahkan EV sepenuhnya terus?