Walaupun kerajaan sebelum ini menyatakan bahawa beban kewangan negara kini meningkat kerana perlu menanggung subsidi bahan api berikutan harganya pada peringkat global semakin meningkat, namun subsidi berkenaan diakui mampu untuk mengawal kadar inflasi dalam negara.
Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, subsidi bahan api adalah penting dan ia akan terus disalurkan kepada rakyat, serta termasuk dalam empat barang kawalan bagi mengurangkan kadar inflasi dalam negara. Empat barangan tersebut adalah minyak masak, petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
“Negara kita kini sedang beralih ke fasa endemik dan walaupun menerima sedikit tekanan berikutan kadar inflasi yang tidak menentu, kerajaan masih mampu mengawal kadar berkenaan. Ini adalah kerana usaha kerajaan dan dibantu oleh agensi-agensi berkait,” katanya dalam laporan NST.
“Untuk mengekalkan keadaan ini, kerajaan akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa,” katanya. Beliau turut memberitahu bahawa kadar inflasi dalam negara adalah 2.2% pada Mac lalu, dilihat lebih rendah berbanding Amerika Syarikat yang mencatatkan kadar 8.5% dan Eropah pada kadar 7.5%.
Namun, kadar inflasi sememangnya dijangka akan naik. “Kadar inflasi negara dijangka akan meningkat berikutan kenaikan Indeks Harga Pengeluar (PPI) 11.6% dan kerana tekanan dari kadar inflasi pada peringkat global. Pada Februari, PPI adalah pada 9.7%. Jika kadar ini naik, di mana ia selalunya akan naik, ia akan menyebabkan inflasi…oleh itu, kerajaan akan memantau perkara ini dengan teliti,” kata Mustapa lagi.
Walaupun kerajaan telah memberikan jaminan bahawa subsidi bahan api ini tidak akan dimansuhkan, tetapi strukturnya dijangka akan diubah selepas ini bagi membolehkan ia diberikan hanya pada golongan yang benar-benar memerlukan.
Buat masa sekarang, subsidi yang diberikan oleh kerajaan membolehkan petrol RON 95 dijual pada harga siling RM2.05 seliter.
Walau bagaimanapun dengan kaedah pemberian subsidi sedia ada, kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan yang besar kerana setiap kenaikan US$ 1 pada harga minyak mentah dunia akan menyebabkan negara kehilangan RM410 juta. Oleh itu, kerajaan dijangka akan merubah kaedah pemberian subsidi bahan api sedia, dan bakal memberikannya hanya pada golongan yang benar-benar memerlukan.
Perkara ini telah disebut oleh Mustapa pada bulan lalu dan menurutnya, kerajaan kini masih sedang merangka struktur subsidi bahan api yang baru dan ia dijangka bakal lengkap tak lama lagi.
“Mereka yang berkemampuan perlu membayar lebih dan orang yang tidak layak menerima (subsidi) tidak boleh diberikan subsidi sama sekali. Subsidi adalah untuk golongan miskin, terutamanya B40 (kumpulan pendapatan 40% terbawah). Isunya ialah masa bila ia akan dilaksanakan,” kata Mustapa.
Beliau berkata, subsidi bahan api memainkan peranan penting dalam mengawal kenaikan inflasi di Malaysia, dan kerajaan mampu mengekalkan kenaikan harga antara 2% dan 3% sejak 10 hingga 20 tahun lepas. “Bagaimanapun, ia akan menjadi beban besar pada bajet. Ketika kita mengumumkan bajet kita tahun lepas, anggaran subsidi adalah kira-kira RM5 bilion. Kini anggarannya sekitar RM30 bilion, mewakili peningkatan enam kali ganda dalam jumlah subsidi,” katanya lagi
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.