Great Wall Motors Ora Good Cat memang sudah beberapa kali dilihat di Malaysia. Ia pernah dipertontonkan kepada awam semasa acara Tindakan Pembangunan Bumiputera 2021, dan sebelum itu, dilihat atas jalan sekitar Elmina pada bulan April 2021.
Walaubagaimanapun, dalam kedua-dua kemunculan itu, Ora Good Cat yang ditemui itu adalah versi pemanduan sebelah kiri, yang merupakan unit ujian dari China dan tidak bersesuaian untuk jualan di Malaysia. Versi pemanduan sebelah kanan sebenarnya memang ada dikeluarkan oleh GWM, dan ia sudah dijual di Thailand pada harga 828,500 baht.
Berita baiknya, model pemanduan sebelah kanan ini juga sudah tiba di Malaysia! Ia ditemui sedang dicas di Vision Motorsports, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, menggunakan pengecas DC Pekema. Dalam gambar ini, walaupun sedikit kabur kerana pantulan cahaya, anda boleh melihat sterengnya berada di sebelah kanan. Orang yang mengambil gambar ini juga mengesahkan perkara tersebut.
Dengan ini, ia boleh membawa makna pelancaran Ora Good Cat di Malaysia semakin hampir. Agak menarik untuk kita lihat adakah ia akan menjadi EV paling murah di Malaysia kerana setakat ini, gelaran tersebut dipegang oleh Hyundai Kona Electric e-Lite, yang dijual pada harga RM149,888.
Di Thailand, Ora Good Cat dijual serendah RM105k, iaitu untuk varian Tech yang menggunakan bateri lithium ion phosphate dan bateri 143 PS/210 Nm. Jarak gerak yang mampu disediakan adalah sehingga 400 km manakala laju maksimum pula adalah 125 km/j.
Varian paling tinggi adalah Ultra, dijual pada harga 1.0385 juta baht (RM132k) dan dilengkapi dengan bateri 63.1 kWh untuk memberikan jarak gerak lebih jauh, iaitu 500 km sementara motornya pula masih adalah unit 143 PS/210 Nm yang sama.
Semua varian Ora Good Cat dapat menerima pengecasan AC sehingga 6.6 kW melalui sambungan Type 2 sementara untuk pengecasan pantas DC, ia boleh menerima sehingga 60 kW menggunakan sambungan CCS2, membolehkan tahap bateri naik dari kosong ke 80% dalam masa 45 minit untuk varian Tech dan sekitar satu jam untuk varian Ultra.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.