Baru-baru ini tular bahawa Tesla kini sedang mengambil langkah untuk mengurangkan 10% dari tenaga kerjanya di seluruh dunia. Dan nampaknya pengurangan tersebut bukan hanya melibatkan pekerja yang memegang jawatan-jawatan rendah, malah turut menjejaskan pangkat-pangkat besar.
Antara yang terkesan adalah rakyat Perancis yang memegang jawatan sebagai pengurus bagi Tesla Singapura, Christopher Bousigues. Menurut laporan Straits Times, Bousigues menyatakan tindakan Tesla untuk menggugurkan jawatannya itu adalah sebahagian langkah yang diambil berhubung pengurangan tenaga kerja seperti amaran yang disebut oleh bos besar pembuat kereta elektrik tersebut, Elon Musk awal bulan ini.
Bousigues baru sahaja dilantik bagi menjawat jawatan tersebut kira-kira setahun yang lalu. Beliau yang sebelum ini berkhidmat dengan syarikat seperti firma perisian SAP dan Microsoft telah mengumumkan bahawa jawatannya telah digugurkan oleh Tesla menerusi akaun LinkedIn peribadinya hujung minggu lalu.
“Tesla telah mengumumkan pengurangan tenaga kerja sehingga 10%. Peranan saya telah dipilih untuk digugurkan seperti hari ini,” tulisnya dan menambah bahawa beliau tetap bangga kerana telah terpilih sebagai pengurus peringkat negara pertama Tesla di Asia Tenggara, serta mewujudkan perniagaan jenama tersebut di di Singapura.
“Dalam tahun sebelum ini, pasukan dan saya telah membina perniagaan dari asas, menjadikan Model 3 sebagai sesuatu yang boleh dilihat dengan mudah dalam lanskap kereta Singapura, mewujudkan dua bilik pameran, satu pusat servis (yang selesa saya gelar sebagai Permata Asia), membangunkan jaringan tujuh supercharger merentas pulau serta berjaya melancarkan Model Y semalam (Jumaat lalu) dengan maklum balas yang memberangsangkan,” tulisnya lagi.
Bousigues menyatakan bahawa beliau tidak perlu merahsiakan berkenaan kehilangan jawatannya ini. “Apabila perkara seperti ini berlaku, anda akan berfikir apa tindakan terbaik yang perlu diambil, dan sama ada untuk terus bertindak pintar atau mendiamkannya.”
“Akhirnya, saya tidak dilatih seperti itu. Ketelusan dan kejujuran amat penting saya, jadi berkongsi berita ini dirasakan seperti perkara yang betul untuk dilakukan dengan jaringan kenalan saya. Saya sangat percaya bahawa apabila satu pintu ditutup, pintu yang lebih besar di tempat lain akan terbuka,” jelasnya.
Laporan akhbar ini menyebut sumber yang rapat dengan perkara ini memberitahu bahawa Tesla Singapura tidak akan mempunyai pengurusnya sendiri selepas jawatan Bousigues tersebut digugurkan. Segala urusan operasi Tesla Singapura selepas ini akan dipantau oleh pejabat Tesla Hong Kong, sama seperti situasi bagaimana Audi Malaysia yang diuruskan oleh Singapura, dan operasi Mercedes-Benz Indonesia yang dipantau oleh Malaysia.
Awal bulan ini Elon Musk membuat pengumuman mengejut dengan memberikan amaran kepada semua stafnya agar kembali bekerja di pejabat atau meninggalkan terus syarikat itu. Musk turut memberikan amaran berkenaan risiko kemelesetan dan memberitahu pekerjanya bahawa beliau akan mengurangkan 10% dari tenaga kerja Tesla di seluruh dunia.
Dalam email yang dihantar kepada semua pekerjanya, Musk menyatakan bahawa beliau mempunyai “rasa sangat tidak sedap hati” berkenaan ekonomi, dan syarikatnya akan mengurangkan jumlah pekerja kerana ia telah menjadi “terlebih staf di banyak tempat.” Sehingga akhir 2021, Tesla dilaporkan mempunyai sekitar 100,000 orang pekerja di seluruh dunia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.