Rapid KL telah mengumumkan penambahan laluan bagi bas perantaranya bagi kemudahan para pengguna yang tinggal berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau pun lebih dikenali sebagai Subang Airport, yang ingin ke/dari Terminal Skypark kendalian KTM di lapangan terbang terbabit.
Menurut syarikat terbabit, dua laluan baharu itu melibatkan bas Rapid KL laluan 772 (RKL 772) dan juga bas perantara MRT laluan T804 (MRTFB T804). Bagi bas RKL 772, ia bergerak dari Subang Suria Mah Sing untuk ke hab Pasar Seni KL, yang melalui Kampung Melayu Subang dan Subang Perdana, kemudian akan berhenti di Terminal Skypark sebelum ke Ara Damansara dan laluan seterusnya.
Manakala untuk MRTFB T804 pula, ia melibatkan Stesen MRT Kwasa Sentral ke Subang Perdana, yang juga akan berhenti di Terminal Skypark serta ibu pejabat (HQ) MAS.
Dengan adanya laluan baharu ni, memudahkan orang ramai yang tinggal di kawasan sekitar untuk ke Subang Airport. Malah penumpang MRT yang turun di stesen Kwasa Sentral juga boleh ke Terminal Skypark mahu pun Subang Airport dengan menaiki bas perantara yang disediakan ini.
Pada 9 Jun lalu, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan penurunan kadar tambang bagi perkhidmatan tren KTM di Terminal Skypark itu.
Bagi penumpang tren yang membuat transaksi tanpa tunai, kadar tambang diturunkan dari RM10, kini menjadi RM3.50. Manakala bagi penumpang tren yang membayar secara tunai pula, kadar bayaran yang ditetapkan kini sebanyak RM4, berbanding RM11 sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.