Untuk pengguna pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang, anda kini berpeluang menikmati tambang percuma selama sebulan bermula semalam (16 Jun 2022) bagi semua rangkaian pengangkutan awam kendalian Rapid KL termasuk MRT, LRT, KL Monorel, Sunway BRT dan bas (termasuk bas perantara). Malah KTMB juga memberikan tambang percuma untuk perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang untuk tempoh yang sama.
Tetapi bagaimana sekiranya anda merupakan pemegang pas perjalanan bulanan My50, mungkin anda baru membelinya kelmarin, tup-tup Perdana Menteri mengumumkan tambang pengangkutan di bawah Rapid KL percuma pula untuk sebulan ini. Terasa rugi?
Jawapannya, anda tidak akan rugi. Menurut Rapid KL, anda masih boleh menikmati tambang percuma selama 30 hari, tetapi selepas pas My50 yang dibeli tamat tempoh. Jika anda membeli pas terbabit pada 16 Jun, anda boleh menebus tambang percuma selama sebulan selepas pas anda itu tamat tempoh.
Di mana tambang percuma akan diaktifkan serta-merta bermula dari 23-25 Julai. Untuk mendapatkannya, anda perlu menunjukkan resit pembelian pas terbabit. Tetapi jika tiada resit (hilang atau sebagainya), jangan risau kerana Rapid KL boleh menyemak menerusi rekod pembelian.
Dan bagi pas My50 yang sudah tamat tempoh antara hari ini hingga 15 Julai, tidak menjadi masalah. Anda boleh menebus tambang percuma selama sebulan selepas pas anda tamat tempoh. Ia akan dikredit ke dalam pas anda dan diaktifkan secara serta-merta.
Walau bagaimana pun, anda diingatkan untuk sentuh kad masuk dan keluar station seperti biasa. Tiada penolakan kredit atau caj yang dikenakan, tetapi ia sekadar untuk pemantauan dan rekod sahaja.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.