Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru sahaja membuat pengumuman mengejut sebentar tadi – mulai hari ini, kesemua jaringan pengangkutan awam kendalian Rapid KL akan menawarkan tambang percuma selama sebulan! Pengumuman itu dibuat ketika beliau melancarkan Fasa pertama bagi MRT Laluan Putrajaya yang bakal dibuka kepada umum mulai jam 3 petang ini.
Ini bermaksud bermula hari ini, semua jaringan pengangkutan awam kendalian Rapid KL iaitu tren MRT, LRT dan KL Monorail, serta perkhidmatan bas Rapid KL, bas perantara dan Sunway BRT tidak akan dikenakan sebarang bayaran tambang selama sebulan.
MRT Laluan Putrajaya bagi fasa pertama ini melibatkan jajaran sepanjang 17.5 km dan memiliki keseluruhan 12 stesen, dengan sembilan stesen baharu yang menyertai tiga stesen sedia ada yang bersambung dengan MRT Laluan Kajang.
Tiga stesen sedia ada adalah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh. Dari setsen berkenaan, laluan akan melalui MRR2 ke Kepong. Stesen baharu yang terlibat ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.
Kwasa Damansara merupakan stesen terminal dan pertukaran dengan MRT Laluan Kajang. Manakala dua stesen yang turut disambungkan dengan perkhidmatan KTM Komuter ialah Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur. Di mana stesen Sri Damansara Timur (yang dinamakan sebagai SD) terletak berhampiran KTM Komuter Kepong Sentral, bertentangan dengan Desa Mall.
Tujuh daripada kesemua stesen yang disebutkan ini memiliki fasiliti parkir. Jarak perjalanan dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu di Jalan Ipoh dianggarkan sekitar 24 minit. Laluan baharu ini melibatkan 20 set tren tanpa pemandu, setiap satunya dengan empat gerabak dengan kapasiti 1,200 penumpang. Perkhidmatan tren ini juga disertakan dengan kemudahan bas perantara, dengan 13 laluan, juga bermula hari ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.