Pusingan kedua untuk Festival perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia musim kelima akan berlangsung pada hujung minggu ini, iaitu bermula 25 hingga 26 Jun 2022. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Festival TGR kali ini sudah mula dibuka semula untuk pengunjung bukan sahaja untuk menyaksikan perlumbaan one make Vios Challenge secara langsung, malah turut boleh turut serta dengan pelbagai acara dan persembahan yang disediakan.
Seperti biasa, siri perlumbaan Vios Challenge akan menampilkan empat kategori berbeza iaitu Promotional (untuk selebriti), Rookie (untuk bakat-bakat muda), Sporting (amatur) dan juga Super Sporting (profesional).
Bagi kategori Super Sporting, perlumbaan ini akan tertumpu terhadap antara pelumba-pelumba baharu dan lama terbaik tempatan buat masa sekarang. Antaranya adalah termasuk duta Toyota Gazoo Racing Malaysia sendiri iaitu Tengku Djan Ley, pelumba veteran seperti Eddie Liew dan Boy Wong, serta pelumba-pelumba touring car yang pernah berlumba di pentas antarabangsa seperti Mitchell Cheah, Mark Darwin dan Fariqe Hairuman.
Kategori paling tinggi ini juga menyaksikan bakat-bakat muda yang menyerlah ketika pusingan pertama pada Mac lalu, seperti juara kategori Sporting musim ketiga iaitu Hayden Haikal, pelumba open-wheeler Alister Yoong iaitu anak kepada bekas pemandu F1 negara Alex Yoong, serta Freddie Ang dan Ady Rahimy.
Manakala untuk kategori Sporting, ia juga menyaksikan pertembungan sengit antara pelumba-pelumba muda tempatan, termasuk juara kategori Rookie musim lalu iaitu Naquib Azlan, serta nama-nama lain seperti Bradley Benedict Anthony, Abdul Miqail dan Mirza Syahmi Mahzan.
Dalam kategori Rookie pula, ‘kelas’ tahun ini dibintangi oleh pelumba simulator Muhammad Hamdany Abdul Hamid dan Nabil Azlan, pelumba kart Sharique Zulqarnain dan Muizz Musyaffa, serta pelumba wanita pertama dalam kategori ini iaitu Adele Liew.
Dan untuk kategori Promotional, perlumbaan ini tertumpu kepada saingan antara tiga pelakon lelaki iaitu Shukri Yahaya , Zizan Razak dan Nabil Ahmad. Persaingan antara mereka turut akan ‘dikacau’ oleh selebriti-selebriti lain termasuk pelakon wanita Janna Nick, penyanyi Wany Hasrita, Nabila Razali dan Khai Bahar, pelakon dan pengacara Ain Edruce serta personaliti Ahirine Ahirudin.
“Kami tak sabar untuk mengalu-alukan semula semua peminat dan penonton ke Festival. Sudah dua tahun (kami berlumba tanpa peminat kerana pandemik). Ini sudah tentu akan membuatkan hujung minggu ini penuh dengan keterujaan,” kata Shukri Yahaya.
Festival ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh kugiran rock tempatan, Bunkface pada hari Sabtu, serta buat pertama kali persembahan khas dari artis antarabangsa, Judika dari Indonesia pada hari Ahad.
Bagi mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki di atas permukaan tar Litar Antarabangsa Sepang, ini peluang anda untuk merasai pengalaman berkenaan – acara All-Wheel Fest turut akan dibuat pada pusingan kali ini di mana anda boleh mengelilingi laluan litar sepanjang 2.7 km tersebut menggunakan apa sahaja kenderaan tanpa motor seperti basikal, papan luncur, skuter tolak dan sebagainya.
Selain itu, pelbagai lagi aktiviti lain turut akan dijalankan sepanjang hujung minggu berkenaan, dan pelbagai reruai promosi serta barangan dan permainan-permainan karnival akan diadakan di tapak festival tersebut.
Tiada sebarang bayaran parkir dan bayaran masuk akan dikenakan, namun bagi mereka yang berminat untuk datang, anda perlu terlebih dahulu mendaftar di laman sesawang rasmi Toyota Gazoo Racing Malaysia pada PAUTAN INI bagi membolehkan anda masuk ke festival tersebut.
Bagi yang tidak berkesempatan untuk hadir ke Festival ini, anda masih boleh menonton kesemua perlumbaan Vios Challenge yang disiarkan secara langsung menerusi laman sesawang rasmi Toyota Malaysia pada PAUTAN INI.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.