Pejam celik.. pejam celik.. kalendar sudah pun bertukar muka surat. Hari ini, 1 Julai 2022, bermakna pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembelian kereta baharu yang dilaksanakan sejak 15 Jun 2022, telah pun berakhir. Jika ada yang terlupa, pengecualian SST diimplementasikan sebagai sebahagian daripada langkah untuk merangsang ekonomi negara, yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19.
Pertama kali diumumkan pada 5 Jun 2022, 100% pengecualian SST ini adalah untuk model pemasangan tempatan (CKD) dan 50% pula bagi model import sepenuhnya (CBU). Pada asalnya, ia dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2020, namun tempohnya dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021, dan sekali lagi pada 31 Disember 2021 dan yang terakhir pada 30 Jun 2022.
Jika anda berjaya membuat tempahan semalam, ini bermakna anda masih dapat menikmati penjimatan cukai selagi kereta baharu anda didaftarkan sebelum 31 Mac 2023. Perkara ini telah diumumkan oleh kerajaan pada 20 Jun 2022 lalu. Dengan berakhirnya ‘cuti SST’ ini, maka syarikat kereta sudah mula mengeluarkan senarai harga baharu dengan SST penuh, iaitu 10% untuk kedua-dua model CBU dan CKD.
Untuk jenama Peugeot, Bermaz Auto Alliance (BAASB) selaku pengedarnya di Malaysia, telah mengeluarkan harga baharu untuk tiga model yang berada di pasaran, iaitu 2008, 3008 dan 5008 . Bermula dengan 2008, varian tunggal 1.2 PureTech ALlure kini berharga atas jalan RM131,103 tanpa insurans, di mana ia lebih RM4,350 berbanding harga dengan ‘cuti SST” pada RM126,753.
Manakala untuk 3008, varian 1.6 THP Allure naik harga sebanyak RM5,671.34 iaitu kini menjadi
RM167,288. Untuk 5008 1.6 THP Allure pula menyaksikan kenaikan harga yang paling tinggi, mencapai RM5,976.10 iaitu kini RM183,288. Semua model baharu Peugeot didatangkan dengan waranti lima-tahun, 100,000 km dan penyelenggaran percuma (termasuk buruh, alat ganti dan minyak pelincir) seperti mana yang diumumkan oleh BAASB baru-baru ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.