Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

Versi kemaskini terbaharu untuk SUV segmen-C Proton iaitu XC70 MC 2022 sudahpun dilancarkan bulan lalu, dan perubahan paling besar ditampilkan adalah sebahagian besar variannya kini dijana oleh enjin 1.5L turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI), sama seperti model lebih kecil Proton X50.

Serentak dengan pelancaran model berkenaan, Proton turut mengumumkan bahawa enjin 1.5L TGDI tersebut kini sudah pun dihasilkan di kilang mereka di Tanjong Malim, membolehkan X70 kini mempunyai kandungan komponen tempatan mencecah 70%. Hari ini, syarikat berkenaan berbesar hati untuk menjemput sekumpulan media termasuk paultan.org untuk melihat sendiri operasi kilang pemasangan enjin berkenaan.

Enjin tersebut dipasang di Fasiliti Enjin dan Powertrain Proton Tanjung Malim, dengan barisan pemasangan meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi. Barisan produksi berkenaan mampu untuk menghasilkan 180,000 unit enjin setahun dengan operasi tiga syif.

Fasiliti ini ditingkat taraf bagi membolehkan enjin yang dikenali dengan kod dalaman GEP3 (Global Engine Petrol 3) dengan kos sebanyak RM1.8 bilion, dan menurut Proton ini merupakan fasiliti pertama diluar China yang memasang enjin 1.5L Turbo yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo tersebut.

Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

Secara keseluruhan, 30% kandungan dalam enjin 1.5L GEP3 yan dipasang di Tanjung Malim ini dibekalkan oleh vendor dari Malaysia. Secara spesifik, 72 komponen dibekalkan oleh 19 vendor Malaysia, dan turut melibatkan 4 vendor dari Rantau ASEAN.

Selain dari itu, fasiliti ini juga dibina dengan sasaran untuk membangunkan bakat-bakat tenaga kerja baharu, di mana ia dioperasikan oleh 202 pekerja dengan usia purata hanya 24-tahun.

Proton turut memberitahu bahawa kelengkapan pada fasiliti ini adalah hampir sama dengan kelengkapan pemasangan enjin di Kilang Enjin Baoji Geely di China, menampilkan tahap automasi yang mencapai tahap 47% menggunakan etos IR 4.0; ia mempunyai 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual.

Selain dari itu, kilang berkenaan sentiasa dalam persekitaran yang bersih dengan suhu bilik yang terkawal dan mempunyai stesen anti-statik untuk membolehkan pelepasan elektrik statik untuk melindungi komponen elektronik berteknologi tinggi.

Barisan pemasangan baharu in menggunakan sistem talian pemasangan bergerak pada sistem penghantar yang bukan sahaja lebih lancar tetapi juga lebih bersih, lebih tahan lama dan lebih murah untuk dikendalikan daripada yang menggunakan rantai.

Apa yang menarik lagi, kawalan kualiti pada barisan pemasangan ini menggunakan teknologi Internet of Things (IOT). Dengan teknologi ini, setiap data-data bacaan kualiti yang diambil pada komponen yang telah dipasang pada setiap stesen akan dikumpulkan secara intensif dan dianalisis untuk memastikan kualiti memenuhi piawaian yang diperlukan dan dikekalkan.

Data-data berkenaan turut dikutip oleh 207 kawalan Error Mistake Proofing (EMP) dan 34 kamera pintar resolusi tinggi yang dipasang pada barisan pengeluaran untuk mengelakkan kecacatan proses dan pemasangan serta mengurangkan masa henti dengan keupayaan pengesanan kecacatan dengan kadar segera.

Semua pekerja di barisan pemasangan telah menjalani latihan yang luas dengan Geely serta pembekal mesin yang digunakan seperti ABB, COMAU, FEV China, FEV India, WiBeda dan Hangxin.

Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

Enjin 1.5L TGDI dengan kod JLH-3G15TD berkenaan menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Proton turut menawarkan enjin tiga-silinder turbo dari keluarga yang sama tetapi hanya dengan sistem suntikan pelbagai titik (PFI) menghasilkan kuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm, yang dipadankan pada X50 varian Premium dan ke bawah.

Selain Geely dan Proton, enjin dari keluarga yang sama turut digunakan oleh pelbagai jenama lain di bawah payung Geely Auto Group termasuk Volvo dan Lynk & Co, serta dihasilkan dalam pelbagai varian termasuk dipadankan dengan sistem hibrid ringkas dan plug-in hybrid (PHEV) – kesemuanya menepati piawaian emisi Euro 6. Sehingga kini, ia telah digunakan oleh 750,000 unit kenderaan yang dijual di seluruh dunia.

“Barisan pemasangan enjin baharu Proton menunjukkan bahawa syarikat mengotakan janjinya kepada pihak berkepentingannya. Apabila perjanjian dibuat untuk bekerjasama dengan Geely pada tahun 2017, salah satu komitmen kami adalah untuk melabur dalam industri automotif Malaysia dari segi kewangan dan melalui pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi. Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat ini di samping memberi laluan kepada Proton untuk menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif dan Syarikat di masa hadapan,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Kualiti adalah keutamaan barisan pemasangan enjin baharu kami. Kami tahu bahawa kami perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa Proton mampu membina produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai, jadi kami tidak meninggalkan apa-apa kepada peluang. Selain daripada langkah pemantauan kualiti yang digunakan pada barisan pemasangan, kami juga bekerja rapat dengan rakan sejawatan kami di Geely untuk menyelesaikan masalah dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha kami untuk menghasilkan enjin bertaraf dunia,” tambah Roslan lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required