Semasa didedah buat kali pertama bulan lepas, tidak banyak perincian yang dikeluarkan sekali dengan Ioniq 6. Semasa itu kita cuma membuat jangkaan dengan melihat kepada Ioniq 5, tetapi kini Hyundai telah mendedahkan perincian pentingnya.
Untuk saiz, ia mencatat panjang panjang 4,855 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak roda 2,950 mm. Ini menunjukkan ia adalah lebih besar berbanding Ioniq 5 dengan lebihan panjang 220 mm dan jarak roda 50 mm, sementara lebar dan tinggi pula berkurangan masing-masing 10 mm dan 110 mm.
Menggunakan bateri 77.4 kWh, Ioniq 6 disediakan dengan pilihan tetapan satu motor elektrik yang memacu roda belakang, atau dua motor elektrik yang memberikan pacuan semua roda. Kuasa paling tinggi dihasilkan oleh versi AWD, dengan jumlah 239 kW (320 PS) dan 605 Nm tork, membenarkannya untuk memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat. Menurut Hyundai, dalam kitaran WLTP, Ioniq 6 boleh mencatat jarak gerak sehingga 610 km.
Sama seperti Ioniq 5, Ioniq 6 juga dibina atas platform E-GMP untuk kenderaan elektrik, dan ini membenarkan ia untuk menggunakan kedua-dua pengecas 400 V dan 800 V. Apabila mengecas pada kadar 350 kW, bateri Ioniq 6 boleh naik dari 10% ke 80% dalam masa 18 minit.
Di bahagian dalam, Ioniq 6 menggunakan papan pemuka mendatar, dengan panel instrumen digital 12 inci dan panel infotainmen sesentuh 12 inci di tengah, bersama sokongan Android Auto, Apple CarPlay serta Bluetooth yang boleh disambung dengan beberapa peranti dalam masa sama. Navigasi menggunakan sistem Bluelink manakala pembesar suara semuanya ada lapan, daripada Bose.
Sistem infotainmen pada Ioniq 6 dapat menyediakan peta dengan jarak perjalanan waktu sebenar mengikut tahap bateri yang ada, manakala sistem sambungan dalamnya pula akan membantu membuat rancangan perjalanan terbaik dengan mengambil kira kedudukan stesen pengecas di sepanjang jalan.
Semua tempat duduk dalam Ioniq 6 adalah dibuat khas untuk model EV, dengan bentuk 30% lebih nipis berbanding tempat duduk kereta biasa bagi menjadikan ruang lebih luas, sementara unit Relaxation Comfort pula cuma disediakan sebagai pilihan tambahan. Di dalam kereta terdapat satu soket USB Type-A dan empat USB Type-C.
Pemandu boleh memilih mod pemanduan dan membuat tetapan sendiri melalui sistem yang dipanggil sebagai EV Performance Tune-up, di mana kuasa stereng, kuasa motor elektrik, tahap sensitif pedal minyak serta mod penggerak boleh diubah. Kereta ini juga disediakan dengan e-ASD, yang boleh mengeluarkan bunyi “seperti kapal angkasa” di dalam kabin.
Berkenaan sistem bantuan pemandu, Ioniq 6 mendapat SmartSense terkini oleh Hyundai, yang termasuk Highway Driving Assist 2, Smart Cruise Control dan Forward Collision Avoidance Assist. Bagi varian SEL dan Limited yang lebih tinggi, ia akan ditambah dengan Junction Crossing, Lane-Changing Oncoming dan Lane-Changing Side, serta Evasive Steering Assist.
Ciri semi autonomous lain yang disediakan adalah termasuk Intelligent Speed Limit Assist dan High Beam Assist, manakala ciri lain adalah seperti Blind Spot View Monitor, Blind Spot Collision Assist, Avoidance Assist, Forward/Side/Reverse Parking Collision-Avoidance Assist dan Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist.
Menurut Hyundai, pengeluaran Ioniq 6 akan bermula pada suku ketiga tahun ini manakala pelancaran untuk pasaran pula akan diumumkan kemudian. Ia akan ditawarkan dalam 12 warna luar dan empat kombinasi warna dalaman.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.