Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

Hyundai Ioniq 6 akhirnya didedah sepenuhnya, dan menjadi model elektrik terbaru jenama itu, mengikuti Ioniq 5 yang diperkenalkan Februari lalu. Membawa rekaan serba lain, Ioniq 6 ini diberitahu mencatat kecekapan rintangan angin cuma 0.21, dan merupakan yang paling rendah berbanding model-model Hyundai yang lain.

Selain bentuk asas melengkung seperti yang boleh dilihat dalam gambar, penyumbang lain kecekapan aerodinamik ini adalah seperti bampar tirus, sirip udara aktif, penutup ruang roda, kamera digital menggantikan cermin sisi, spoiler atas but, bahagian bawah kenderaan yang tertutup sepenuhnya serta sirip angin di beberapa bahagian lain.

Mengikuti Ioniq yang lain, Ioniq 6 ini juga menggunakan elemen Parametric Pixels, yang boleh didapati termasuk pada lampu hadapan, lampu belakang, sensor bawah di hadapan, hiasan pada corong pendingin hawa, konsol tengah serta lampu brek ketiga.

Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

Di sebalik badannya adalah platform Electric Global Modular Platform (E-GMP) sama seperti Ioniq 5, Kia EV6 dan Genesis GV60. Spesifikasi teknikal Ioniq 6 ini masih belum didedahkan tetapi menurut Ars Technica, ia adalah lebih kecil berbanding Ioniq 5 dengan jarak roda kurang 50 mm.

“Inilah rekaannya, dan sejujurnya, inilah apa yang kami mahu di pusat rekaan. Tetapi, bahagian jualan dan pemasaran memutuskan 4,485 mm (jarak roda Ioniq 6) adalah saiz yang sepatutnya,” kata ketua rekaan Hyundai, Lee Sangyup kepada Ars Technica, merujuk kepada jarak rodak Ioniq 6 yang kini lebih pendek berbanding Ioniq 5.

Memandangkan platform adalah sama, kita boleh menjangkakan pakej kuasa Ioniq 6 juga adalah sama seperti Ioniq 5. Dengan pakej bateri 77.6 kWh, Ioniq 6 dijangka boleh mencatat jarak gerak 482 km, dan melihat kepada Ioniq 5 yang menggunakan bateri ini, dan paling berkuasa, ia boleh menghasilkan 302 hp/605 Nm, melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat dan mencecah kelajuan maksimum 185 km/j.

Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

Menurut Hyundai, bahagian dalam Ioniq 6 menggunakan rekaan “berbentuk kepompong” untuk menyediakan ruang peribadi tersorok, sementara bateri yang terletak di bawah lantai menjadikan ruangnya lebih luas dan selesa. Terdapat lampu suasana dengan pilihan 64 warna di dalam kereta ini dan di bahagian tengah stereng terdapat lampu Interactive Pixel.

Panel pintu hadapan direka untuk tidak mempunyai sebarang butang kawalan demi “memberikan lebih ruang bernafas”, manakala kemasan lutsinar pada beberapa bahagian menurut Hyundai adalah untuk meningkatkan lagi rasa luas di dalam kabin.

Selain penggerak tanpa emisi, Ioniq 6 juga cuba memperkuatkan ciri mesra alamnya dengan penggunaan bahan seperti pigmen cat kitar semula, plastik PET, lapik papan pemuka bio TPO, fabrik bio PET untuk lapis bumbung, jala kitar semula untuk lapik kaki serta cat bio daripada minyak sayur. Perincian selanjutnya berkenaan Ioniq 6 ini akan didedah bulan hadapan oleh Hyundai.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required