Kia Carnival 2022 versi pemasangan tempatan (CKD) sudahpun dilancarkan pada pasaran Malaysia semalam. Berbanding versi diimport sepenuhnya (CBU) sebelum ini yang ditawarkan dalam versi 11-tempat duduk, model yang dipasang di Kulim, Kedah ini hanya hadir dalam versi 7- dan 8-tempat duduk.
Walau bagaimanapun, pengerusi eksekutif Bermaz Auto Datuk Seri Ben Yeoh menyatakan bahawa Carnival CBU 11-tempat duduk berkenaan masih akan dijual sekali dengan model CKD 7- dan 8-tempat duduk kerana ia masih mendapat permintaan. Menurutnya, model 11-tempat duduk tersebut akan memenuhi keperluan pelanggan yang mahu membawa lebih penumpang atau dalam industri servis, manakala model 7- dan 8-tempat duduk pula untuk mereka yang mahukan MPV keluarga yang luas atau untuk mereka yang mahukan alternatif selain MPV mewah Toyota Alphard dan Vellfire.
Namun Yeoh turut memberitahu bahawa Kia sudahpun memulakan program CKD untuk versi empat baris tempat duduk berkenaan. Jadi selepas ini model dengan 11-tempat duduk tersebut akan turut diproduksi di Malaysia bukan sahaja untuk memenuhi pasaran tempatan, malah turut akan dieksport ke pasaran ASEAN lain bagi mengambil manfaat atas skim perdagangan bebas (AFTA) untuk rantau ini.
Mengapa tidak dimulakan lebih awal bersama model 7- dan 8-tempat duduk ini? Ini adalah kerana kekangan produksi dan juga masalah jaringan bekalan. Menurut Yeoh, kapasiti penghasilan Kia Carnival ini di kilang Inokom Kulim adalah sebanyak 5,000 unit setahun.
Kia Carnival CKD ini dijual pada pasaran tempatan dalam tiga varian berbeza, bermula dengan model 2.2D 8-tempat duduk Mid dijual pada harga RM231.228, diikuti model 2.2D 8-tempat duduk High dijual pada harga RM247,228. Untuk yang mahukan ruang lebih besar dan perincian lebih mewah, anda boleh memilih varian paling tinggi iaitu 2.2D 7-tempat duduk High dijual pada harga RM261,228.
Sebagai perbandingan, Kia Carnival CBU dengan 11-tempat duduk dijual pada harga RM196,340. Model yang diimport terus dari Korea tersebut dapat dijual lebih murah kerana kenderaan dengan 11-tempat duduk dapat diklasifikasikan sebagai kenderaan perdagangan yang membolehkan ia dikenakan cukai yang lebih rendah.
Untuk lebih perincian berkenaan Kia Carnival CKD, anda boleh baca laporan pelancarannya semalam pada PAUTAN INI. Kami juga sebelum ini telahpun memandu uji Kia Carnival dalam versi CBU, dan laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
GALERI: Kia Carnival 11-tempat duduk CBU 2022
GALERI: Kia Carnival 7-tempat duduk CKD 2022
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.