Tiga model baru dari KTM baru sahaja dilancarkan oleh Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd untuk pasaran Malaysia, iaitu 890 Duke R, 890 Adventure dan RC 200 2022, dengan masing-masing berharga RM75,800, RM96,800 dan RM15,888 tidak termasuk insurans.
Kedua-dua 890 Duke R dan 890 Adventure menggunakan asas enjin dua silinder selari 889 cc yang sama, dengan padanan transmisi enam kelajuan, tetapi ditala (dan mempunyai beberapa barangan dalam yang berlainan) untuk menghasilkan kuasa yang berbeza iaitu 121 hp/99 Nm untuk 890 Duke R dan 103 hp/100 Nm untuk 890 Adventure. Empat mod tunggangan disediakan iaitu Sport (Offroad untuk 890 Adventure), Street, Rain dan Track (Rally untuk 890 Adventure).
Jika dibandingkan pula 890 Duke R dengan 890 Duke biasa, ia mempunyai spesifikasi lebih tinggi, dengan kelengkapan seperti angkup brek Brembo Stylema dengan cakera 320 mm berkembar di hadapan, pam brek Brembo MCS, fork WP 43 mm boleh laras sepenuhnya serta ergonomik yang diubah menjadi lebih agresif.
Walaupun tidak didatangkan dengan quickshifter (pilihan tambahan), KTM telah mempertingkat kotak gear model ini untuk memberikan penukaran yang lebih pantas dengan jarak pergerakan tuil yang lebih rapat serta spring yang lebih pantas. Untuk memastikan enjin selamat dibelasah, sistem penyejukan turut diperbaiki dengan radiator yang lebih besar. Secara keseluruhannya, 890 Duke R mempunyai berat 166 kg (-3 kg berbanding 790 Duke) dan dilengkapi dengan Motorcycle Traction Control (MTC), ABS, panel paparan TFT serta lampu LED.
Untuk 890 Adventure yang direka untuk jelajah dan lebih lasak pula, ia datang dengan fork WP Apex 43 dan monoshock WP Apex yang mempunyai jarak gerak 200 mm, serta rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang. Tangki bahan api model ini adalah berkapasiti 20 liter (890 Duke R 14 liter) dan berat keseluruhannya adalah 196 kg.
Selain ABS dengan mod Offroad, 890 Adventure juga datang dengan Motorcycle Traction Control, Cornering ABS dan meter TFT berwarna penuh lima inci. Cruise control dan sambungan kepada telefon pintar disediakan sebagai pilihan tambahan.
Melihat pula kepada RC200, ia adalah model terbaru yang disediakan oleh KTM dengan antara peningkatannya adalah seperti lampu penunjuk arah bersepadu, lampu utama baru, tempat duduk penunggang dan penumpang baru, bahagian berhampiran lutut yang lebih sekata dan besar, kotak udara 40% lebih besar, rim 3.4 kg lebih ringan dan kerangka 1.5 kg lebih ringan.
Penggeraknya masih lagi unit satu silinder 199.5 cc yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan tork maksimum 19.5 Nm. Berat keseluruhan model ini adalah 151 kg dan didatangkan dengan tangki bahan api 13.7 liter.
Kelengkapan lain RC200 2022 adalah fork WP Apex 43 mm, monoshock WP Apex, brek cakera tunggal 320 mm dengan angkup empat piston di hadapan, cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang, ABS dengan mod Supermoto serta panel paparan LCD.
GALERI: KTM 890 Adventure 2022
GALERI: KTM 890 Duke R 2022
GALERI: KTM RC200 2022
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.