Puspakom alukan pemantauan lebih kerap JPJ ke premisnya, semak semula kaedah pemeriksaan

Puspakom alukan pemantauan lebih kerap JPJ ke premisnya, semak semula kaedah pemeriksaan

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) menyatakan sokongannya terhadap cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat bagi item yang melibatkan tahap keselamatan yang tinggi seperti pemeriksaan kecekapan brek, keselamatan tayar dan komponen lain, untuk mengurangkan jumlah kemalangan melibatkan kenderaan berat yang dilihat semakin kerap berlaku buat masa sekarang.

Menurut Puspakom, pihaknya akan menyelaras semula pemeriksaan yang akan dibuat berdasarkan keputusan yang dibuat oleh JPJ selepas kaedah pemeriksaan sedia ada yang digunakan buat masa sekarang iaitu Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pemeriksaan Berkala, Kelengkapan dan Standard Pemeriksaan) 1995 disemak semula. Walau bagaimanapun, perubahan yang bakal di buat tersebut tidak akan melibatkan peralatan pemeriksaan sedia ada.

“Dengan pengalaman yang ada, Puspakom akan memberi kerjasama yang sepenuhnya terhadap cadangan ini untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan sesebuah kenderaan berat semasa berada di atas jalan raya,” kata Puspakom dalam kenyataan berkenaan.

Selain itu, Puspakom turut mengalu-alukan pihak JPJ untuk datang membuat pemantauan di semua 54 pusat-pusat pemeriksaan di seluruh negara dengan lebih kerap.

Puspakom alukan pemantauan lebih kerap JPJ ke premisnya, semak semula kaedah pemeriksaan

“Pada masa ini, pemantauan oleh pihak JPJ adalah dilakukan secara berkala. Hasil daripada pemantauan tersebut, tindakan susulan yang bersesuaian telah diambil serta merta oleh Puspakom. Pada tahun 2021 sahaja, JPJ telah menjalankan 741 pemantauan terhadap pusat-pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh negara.

“Pemantauan oleh pihak JPJ ke atas Puspakom adalah selaras dengan Perjanjian Konsesi Pemeriksaan Kenderaan Puspakom dengan Kerajaan Malaysia di mana tahap pencapaian KPI perlu dipatuhi oleh Puspakom yang meliputi aspek-aspek penyampaian perkhidmatan yang baik kepada orang ramai, keselamatan kenderaan di jalan raya dan model perkhidmatan yang mampan,” jelas Puspakom.

Puspakom turut menyatakan bahawa sehingga kini ia telah secara berterusan mencapai skor melebihi keperluan yang ditetapkan di bawah Perjanjian Konsesi.

“Penilaian dalaman yang dilaksanakan dan pemantauan serta penambahbaikan berterusan terutamanya dalam aspek automasi dan pendigitalan dalam operasi pemeriksaan Puspakom telah membolehkan skor KPI Teknikal Keseluruhan Puspakom meningkat daripada 91.2% pada 2012 kepada 95.8% pada 2016 dan 97.1% pada 2021. Dengan meningkatkan lagi kekerapan pemantauan dan disamping pemantauan dalaman yang dijalankan oleh Puspakom sendiri, langkah ini dapat memastikan tahap kualiti pemeriksaan kenderaan yang dijalankan sentiasa berada di tahap yang tinggi pada setiap masa,” tulis kenyataan itu lagi.

Puspakom alukan pemantauan lebih kerap JPJ ke premisnya, semak semula kaedah pemeriksaan

Dalam aspek pencegahan rasuah dan meningkatkan integriti, Puspakom menyatakan bahawa usaha-usaha penambahbaikan adalah dilaksanakan secara berterusan terutamanya dari aspek-aspek seperti polisi dan prosedur kerja, penggunaan teknologi terkini berkaitan sistem dan proses serta memupuk budaya kerja berintegriti tinggi di kalangan kakitangan sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Rangka Kerja Pematuhan Integriti Puspakom (PICF).

“Ini adalah selaras dengan Pelan Anti-Rasuah Nasional yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan pensijilan ISO: 37001 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah,” kata Puspakom.

Tambah Puspakom, ia berpendapat bahawa usaha-usaha untuk menyemak semula tahap keselamatan kenderaan berat perlulah seiring dengan langkah-langkah pencegahan kemalangan jalan raya yang lain seperti sikap pemandu dan pemilik kenderaan untuk menjaga dan menyelenggara kenderaan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang selamat.

“Pemeriksaan kenderaan secara berkala yang dijalankan oleh Puspakom adalah bertujuan sebagai langkah pencegahan awal dalam mengurangkan jumlah kenderaan yang tidak selamat berada diatas jalan raya. Memandangkan pemeriksaan yang dijalankan oleh Puspakom hanyalah pada setiap 6 bulan, adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pemandu kenderaan berat dalam tempoh tersebut untuk memastikan setiap kenderaan milik mereka adalah selamat sebelum memulakan sebarang perjalanan,” kata Puspakom.

Syarikat tersebut turut memberitahu bahawa dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022, ia telah menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap sejumlah 270,385 buah kenderaan berat. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15.8% atau 42,772 kenderaan berat gagal mematuhi piawaian pemeriksaan yang ditetapkan oleh JPJ termasuk 4.6% atau 12,339 kenderaan berat adalah gagal ujian kecekapan brek. “Mana-mana kenderaan yang gagal, perlu menjalani pemeriksaan semula sebelum dapat dilesenkan oleh JPJ,” tegas Puspakom.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required