smart #1 Brabus didedahkan – lebih 400 hp, AWD, bakal buat kemunculan sulung di China 26 Ogos ini

smart #1 Brabus didedahkan – lebih 400 hp, AWD, bakal buat kemunculan sulung di China 26 Ogos ini

April lalu, jenama smart yang sebelum ini milik sepenuhnya Daimler AG, secara rasmi dihidupkan semula, dan kini ia merupakan jenama kereta elektrik penuh (EV) selepas smart #1 didedahkan secara rasmi. Rekaan untuk model-model baharu smart ini masih dibuat oleh Mercedes-Benz tetapi pembangunannya kini dibuat oleh Geely termasuk menggunakan platform modular khas untuk kereta elektrik Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dihasilkan oleh gergasi automotif China berkenaan.

Pada bulan yang sama, satu gambar intipan tersebar yang menunjukkan sebuah smart #1 dengan rupa lebih garang dijumpai; ia didakwa menampilkan prestasi lebih baik dan bakal menggunakan jenama penala yang dikaitkan dengan Mercedes-Benz iaitu Brabus. Khabar tersebut kini menjadi realiti – ini dia smart #1 Brabus telah didedahkan secara rasmi, dan ia akan membuat kemunculan sulung dikhalayak ramai di Chengdu Motor Show bermula 26 Ogos ini!

Model berprestasi tersebut menampilkan rupa yang lebih agresif pada sebelah luar. Pada bahagian muka, smart #1 Brabus ini diberikan dua liang udara tambahan pada bahagian muncung bonet hadapan. Liang udara pada sisi bampar hadapan juga berbeza, menampilkan sirip melintang yang lebih panjang, bersama gril bampar yang nampak lebih garang.

Manakala kemasan skid plate pada bawah bampar pada smart #1 biasa digantikan dengan panel seakan spoiler bersama serlahan jalur merah. Ia turut diberikan kemasan merah yang sama pada bahagian bumbung, penutup cermin sisi, jalur pada bawah skrit sisi dan juga pada angkup brek.

Di belakang, smart #1 Brabus ini menerima spoiler bumbung lebih besar juga diberikan kemasan merah bersama diffuser di bahagian bawah bampar. Rupa luaran model ini dilengkapkan dengan pemadanan set rim aloi 19-inci kemasan dua-tona.

Masuk ke kabin, model ini menamampilkan tema warna hitam dengan kemasan-kemasan aloi serta serlahan-serlahan merah, sementara pemandu menerima roda stereng balutan Alcantara/kulit dengan logo Brabus di tengah. Tempat duduk EV kompak ini menerima upholsteri sued gentian mikro, serlahan benang merah, serta perehat kepala dengan kemasan merah pada sisi bersama logo Brabus di tengah.

Perincian lain yang turut boleh dilihat pada kabin smart #1 Brabus ini termasuk tali pinggang keledar berwarna merah serta set pedal dari material aloi.

Berbeza dengan smart #1 standard yang hanya dibekalkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang untuk memacu roda belakang yang berkuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan tork maksima 343 Nm, Brabus smart #1 ini dipadankan dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan, menjadikan ia sebuah model pacuan semua roda.

Tiada lagi perincian rasmi berkenaan angka prestasi untuk model Brabus ini, tetapi ada laporan mengatakan bahawa konfigurasi tersebut akan menghasilkan kuasa keseluruhan 428 PS (422 hp), membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat. Angka berkenaan jelas sangat pantas berbanding smart #1 biasa yang hanya mampu mencatatkan masa 6.7 saat untuk pecutan sama.

Selari dengan kuasa lebih besar dibekalkan, dijangka model Brabus ini juga akan menerima bateri dengan kapasiti lebih tinggi. Pada model smart #1 biasa, ia menerima bateri lithium-ion 66 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 440 km (kitaran WLTP) untuk satu cas penuh.

smart #1 Brabus didedahkan – lebih 400 hp, AWD, bakal buat kemunculan sulung di China 26 Ogos ini

smart #1 standard juga memerlukan masa sekitar tujuh jam setengah untuk mengecas bateri sehingga 80% penuh menggunakan wallbox 7.5 kW AC, namun untuk model pasaran Eropah ia mampu menerima cas dari pengecas AC 22 kW membolehkan cas yang sama mengambil masa hanya di bawah tiga jam. Dengan pengecas pantas DC 150 kW pula, bateri dapat dipenuhkan semula dalam masa hanya 30 minit.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, versi standard untuk smart #1 sah akan dilancarkan di Malaysia untuk mengambil manfaat atas pengecualian cukai keatas model EV CBU (diimport sepenuhnya) yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini. Namun smart bukan lagi akan dijual oleh pengedar Mercedes-Benz seperti sebelum ini, sebaliknya ia akan dijual oleh Proton Edar untuk pasaran tempatan.

Proton Edar bukan hanya menjual smart #1 ini di Malaysia, malah turut diberikan hak untuk memasarkan jenama smart berkenaan di pasaran Thailand. Ini bukan sahaja membolehkan Proton belajar dan bersedia untuk menjual dan menyediakan khidmat selepas jualan untuk model-model elektrik penuh sebelum menghasilkan EV dengan jenamanya sendiri kelak, malah turut akan membantu jenama automotif Malaysia berkenaan untuk kembali bertapak di Thailand. Agak-agak model prestasi smart #1 Brabus ini akan dibawa sekali ke sini nanti?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required