SUV elektrik smart #1 baru sahaja didedahkan pada peringkat global di Berlin tempoh hari. Buat permulaan, SUV yang direka oleh Mercedes-Benz, dibangunkan oleh Geely menggunakan platform Sustainable Electric Architecture (SEA) tersebut ditawarkan dalam versi satu motor elektrik berkuasa 272 PS/343 Nm memacu roda belakang.
smart #1 yang anda lihat dijumpai oleh pengguna Weibo, Jason Ferrari di China ini nampak lebih garang dari versi yang didedahkan sebelum ini kan? Ya, ia bukan sahaja nampak lebih sporty, malah menurut CarNewsChina, ini adalah varian prestasi untuk SUV tersebut, dan bakal menerima lencana penala Mercedes-Benz iaitu Brabus!
Prototaip tanpa sebarang pelekat penyamaran berkenaan diberikan dua liang udara tambahan pada bahagian muncung bonet hadapan. Liang udara pada sisi bampar hadapan juga berbeza, menampilkan sirip melintang yang lebih panjang, manakala kemasan skid plate pada bawah bampar digantikan dengan panel seakan spoiler bersama serlahan jalur merah.
Ia turut diberikan kemasan merah yang sama pada bahagian bumbung, penutup cermin sisi, jalur pada bawah skrit sisi dan juga pada angkup brek. Model ini dilihat menerima pembuka pintu berwarna hitam, set rim dengan rekaan berbeza serta spoiler belakang yang lebih besar.
Juga, ia dilihat diberikan perincian tambahan pada bahagian fender hadapan dan pada bumbung yang berkemungkinan adalah perumah untuk kamera.
Menurut CarNewsChina lagi, smart #1 Brabus ini turut bakal menerima satu lagi motor elektrik untuk memacu roda hadapan, menjadikan ia sebuah model pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 406 PS (400 hp atau 299 kW)! Dan sudah tentu, ia pasti akan menerima bateri lebih besar. Sebagai perbandingan, model standard smart #1 hadir dengan bateri lithium-ion 66 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 440 km mengikut kitaran WLTP.
Ini sebenarnya bukan model pertama smart yang mendapat suntikan Brabus. Sebelum ini gandingan dua jenama tersebut pernah menghasilkan Brabus 92R yang diasaskan dari smart EQ fortwo cabrio. Namun model berkenaan hanya menghasilkan 92 PS dan tork maksima 180 Nm dari sebuah motor elektrik, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.9 saat.
Jika kesemua fakta berkenaan #1 talaan Brabus ini menjadi kenyataan kelak, ia tentunya bakal menjadi model produksi paling berkuasa dan paling pantas pernah dihasilkan oleh smart.
Bagi yang belum mengetahui, smart #1 bakal hadir ke pasaran Malaysia mungkin pada tahun ini juga bagi mengambil manfaat dari insentif pengecualian cukai dan duti untuk kereta-kereta elektrik penuh (EV) yang diimport sepenuhnya. Namun berbeza dari sebelum ini di mana smart dijual oleh pengedar-pengedar Mercedes-Benz, kali ini smart bakal dijual di Malaysia oleh Proton Edar.
Ia adalah susulan dari memorandum perjanjian (MoU)yang ditandatangani pada awal tahun ini, menyaksikan Proton Edar dilantik sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan untuk kenderaan smart bukan sahaja di Malaysia, malah untuk pasaran Thailand.
GALERI: smart #1
GALERI: smart #1 Launch Edition
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.