Givi Asia Sdn Bhd telah melancarkan sebuah helmet baru iaitu M35.0 Scudo, yang akan mula berada di pasaran Malaysia September nanti. Helmet jet/openface ini ditawarkan dalam lapan warna, dengan harga jangkaannya sekitar RM360 untuk warna biasa (plain) dan RM410 untuk grafik bercorak.

Keistimewaan utama helmet ini adalah ia mendapat penarafan ECE R22.06, iaitu ujian homologasi keselamatan dan ketahanan helmet motosikal terkini Eropah. Ujian yang dilalui untuk mendapat penarafan ini juga adalah lebih ketat dan ditetapkan pada tahap lebih tinggi.

Helmet ini menggunakan dua saiz cengkerang (shell), dengan saiz yang lebih kecil dikongsi untuk saiz helmet S,M dan L, sementara cengkerang yang lebih besar digunakan untuk saiz XL dan 2XL. Kemudiannya, untuk keselesaan, bahagian dalam M35.0 turut dibangunkan khas untuk pengguna Asia, yang mana seperti ramai tahu, kebanyakannya mempunyai bentuk kepala berbeza berbanding orang Eropah atau Barat.

Di sebalik penghadang muka hadapan (visor) lutsinar anti calar helmet ini terdapat satu lagi penghadang cahaya matahari lebih gelap, yang boleh diturun dan dinaikkan menggunakan tuil di sebelah kiri helmet. Berat keseluruhan helmet ini adalah 1,370 gram.

Pelapik bahagian dalam helmet ini boleh dicabut untuk dibasuh, sementara pengikatnya pula menggunakan klip “micrometric” yang mudah dan pantas digunakan, tetapi masih lagi tegap dan tidak mudah tertanggal. Menambahkan lagi keselesaan helmet ini adalah dua salur udara di hadapan dan satu di belakang.