Kalle Rovanpera (FIN) Jonne Halttunen (FIN) of team Toyota Gazoo Racing are seen performing during the World Rally Championship New Zealand in Auckland, New Zealand on 30, September // Jaanus Ree / Red Bull Content Pool // SI202209300558 // Usage for editorial use only //

Bintang muda Kejohanan Rali Dunia (WRC) pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Kalle Rovanpera hari ini mencatatkan satu lagi rekod – kali ini beliau sah sebagai juara keseluruhan paling muda kejohanan tertinggi dalam disiplin rali berkenaan selepas menamatkan pusingan ke-11 musim ini iaitu Repco Rally New Zealand 2022 di kedudukan pertama!

Kalle, yang juga anak kepada bekas pemandu WRC Finland pasukan Peugoet, Harri Rovanperä, disahkan sebagai juara dunia ketika berumur 22 tahun satu hari (ya, sehari selepas hari jadinya semalam!), memecahkan rekod yang dipegang oleh pemandu Subaru, mendiang Colin McRae yang sebelum ini bergelar juara dunia ketika berusia 27 tahun dan 89 hari pada 1995.

Pemandu muda yang dibantu juru arah Jonne Halttunen tersebut mempamerkan pemanduan yang sangat konsisten musim ini dengan bergelar juara di Rally Sweden, Rally Crotia, Rally Portugal, Rally Safari di Kenya, dan Rally Estonia. Berbaki lagi tiga pusingan musim ini, Kalle hanya memerlukan tujuh mata di Rally New Zealand bagi meleburkan terus peluang pemandu Hyundai i20 N yang juga juara WRC 2019, Ott Tänak bagi sekali lagi bergelar juara dunia.

Kalle Rovanpera (FIN) and Jonne Halttunen (FIN) of team Toyota Gazoo Racing celebrate on the podium after winning their maiden FIA World Rally Championship title in Auckland, New Zealand on 2.10.2022 // Jaanus Ree / Red Bull Content Pool // SI202210020114 // Usage for editorial use only //

Ott Tänak mempamerkan pemanduan yang menyakinkan ketika bermula dengan mendahului SS1. Pemandu dari Estonia berkenaan beberapa kali berada di kedudukan paling atas sehingga ke SS7. Namun akibat beberapa masalah termasuk diberikan penalti kerana terlebih menggunakan boost elektrik pada sistem hibrid, kedudukan Tänak mula goyah.

Berlainan pula dengan Kalle yang pada asalnya turun ke New Zealand dengan sasaran hanya untuk mengutip tujuh mata atau sekurang-kurangnya menjarakkan jurang mata dengan Tänak bagi berada lebih selesa di atas, beliau kemudiannya nampak yakin pada hari terakhir rali ini.

Kalle mula mendahului rali ini pada SS9 sehingga berakhir cabaran pada hari Sabtu. Dan pada empat SS terakhir hari Ahad, penguasaan Kalle terus dominan tanpa boleh digugat oleh mana-mana pemandu. Toyota GR Yaris Rally1 yang dipandu Kalle menamatkan Rally New Zealand 2022 ini 34.6 saat di hadapan juara dunia lapan-kali yang juga rakan sepasukannya, Sebastien Ogier. Manakala Ott Tänak hanya berpuas hati di tempat ketiga, ketinggalan hampir 50 saat di belakang.

Ott Tanak (EST) Martin Jarveoja (EST) of team Hyundai Shell Mobis are seen performing during the World Rally Championship New Zealand in Auckland, New Zealand on 1, October // Jaanus Ree / Red Bull Content Pool // SI202210010115 // Usage for editorial use only //

“Ia agak melegakan selepas musim yang begitu baik dan akhirnya kami berada di sini,” kata Kalle. “Ia adalah satu penantian kecil selepas beberapa rali yang sukar, tetapi ucapan terima kasih terbesar ditujukan kepada pasukan – mereka yang hasikan ‘roket’ (GR Yaris Rally1) ini tahun ini. Walaupun selepas semua rali yang sukar, mereka percaya kepada kami dan memberikan sepenuh sokongan.”

Turut menunjukkan emosi pada pencapaian Kalle Rovanperä hari ini adalah prinsipal pasukan TGR WRT sendiri iaitu Jari-Matti Latvala. Ini bukan hanya kerana pemandu pasukannya yang merangkul gelaran juara tahun ini dan juga bergelar juara WRC paling muda dalam sejarah, Latvala yang juga dari Finland dan juga bekas pemandu WRC lega kerana Finland akhirnya melahirkan semula juara WRC.

Pada era 70’an, 80’an dan 90’an, Finland terkenal melahirkan ramai juara WRC, namun ia berakhir selepas dua pemandu Perancis – Sebastien Loeb dan Sebastien Ogier – mendominasi kejohanan berkenaan dengan masing-masing merangkul sembilan dan lapan gelaran juara. Kali terakhir pemandu Finland merangkul gelaran juara dunia WRC adalah pada 20-tahun lalu menerusi Marcus Grönholm.

Jari-Matti Latvala (FIN) of team Toyota Gazoo Racing celebrates on the podium after Kalle Rovanpera (FIN) and Jonne Halttunen (FIN) winning their maiden FIA World Rally Championship title in Auckland, New Zealand on 2.10.2022 // Jaanus Ree / Red Bull Content Pool // SI202210020143 // Usage for editorial use only //

“Sebenarnya saya ingin menangis, tetapi saya tidak boleh menangis di sini,” kata Latvala. “Apa yang telah Kalle lakukan ini adalah sangat penting. Pertama sekali, adalah menakjubkan bagi seorang pelumba yang berusia 22 tahun untuk memecahkan semua rekod dan merangkul kejuaraan.

“Pada masa yang sama, ia sangat penting untuk Finland kerana sudah 20 tahun dan itu adalah masa yang sangat lama. Saya sangat bersyukur kerana Kalle melakukannya – dia adalah seorang adiwira,” tambahnya lagi.

Selepas rali di atas permukaan batu kerikil di New Zealand ini, WRC akan kembali ke rali di atas jalan tar di Rally de Espana, Sepanyol pada 20 hingga 23 Oktober ini. Manakala pusingan terakhir akan berlangsung di Rally Japan pada bulan November nanti. Walaupun Kalle Rovanperä sudah disahkan sebagai juara dunia kategori pemandu, persaingan untuk gelaran kategori pengeluar masih terbuka terutamanya untuk dua pasukan teratas iaitu Toyota dan Hyundai.