Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) bakal dibuka. Seperti juga Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baru dilancarkan bulan lalu, DASH juga merupakan projek yang dibangunkan oleh Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas), dan ia juga adalah “lebuhraya terapung” di bina merentas kawasan-kawasan sesak bagi menyuraikan trafik kawasan sekitar.

Untuk DASH, ia dibina merentas Puncak Alam menerusi Persimpangan Mokhtar Dahari dan berakhir di “Persimpangan Spagheti” yang menghubungkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Penchala Link dan Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) di Penchala, berhampiran Taman Tun Dr. Ismail dan juga kawasan tumpuan seperti Bandar Utama Damansara, Damansara Utama serta Mutiara Damansara.

Laluan utama jajaran DASH sepanjang ini adalah sejauh 20.1 km, namun jika diambil kesemua jarak termasuk susur persimpangan, Lebuhraya ini secara keseluruhannya adalah sejauh 55.4 km. Sama seperti SUKE, DASH juga menampilkan jalan tiga lorong dua hala, dengan setiap lorong berukuran 3.5 meter bersama lorong kecemasan selebar 3 meter, serta 90% adalah jalan raya bertingkat dan hanya 10% berada di atas tanah.

Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

DASH menampilkan tiga plaza tol iaitu Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (Kwasa Damansara) dan Plaza Tol DASH Kota Damansara, serta mempunyai 13 persimpangan iaitu Persimpangan Puncak Perdana, Persimpangan Alam Suria, Persimpangan Denai Alam, Persimpangan Kampung Melayu Subang, Persimpangan Pinggiran Subang, Persimpangan Subang 2, Persimpangan Subang Airport, Persimpangan RRIM (Kwasa Damansara), Persimpangan Surian, Persimpangan Seksyen 5 Kota Damansara, Persimpangan Sunway Damansara, Persimpangan Damansara Perdana dan Persimpangan Penchala.

Selain menyediakan ‘jalan pintas’ dari Shah Alam ke Damansara dalam masa hanya 30 minit berbanding 90 minit melalui laluan sedia ada, menurut PROLintas DASH turut bakal menyuraikan trafik di Persiaran Mokhtar Dahari sebanyak 39%, Jalan Sungai Buloh sebanyak 33% dan Persiaran Surian sebanyak 43%. Selain itu, DASH juga didakwa bakal menjadi penyelesaian penyuraian trafik untuk beberapa kawasan pembangunan baharu seperti Kwasa Damansara, Elmina dan di sepanjang Shah Alam ke Damansara.

Lebuhraya ini juga akan menjadi penghubung antara bahagian timur dan barat Lembah Klang, dan merupakan laluan alternatif penduduk Shah Alam dan Puncak Alam untuk ke Persiaran Surian di Kota Damansara, Lapangan Terbang Subang, Damansara Perdana, Penchala dan menuju ke Bandaraya Kuala Lumpur.

Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

default

Malah untuk mereka yang hendak ke Utara tanah air, Lebuhraya DASH ini turut berhubung dengan Lebuhraya Guhtrie bagi membolehkan pengguna ke Lebuhraya Utara Selatan menerusi susur keluar berhampiran dengan Rawang.

Walaupun dengan jarak yang tidak jauh, PROLintas turut bakal menyediakan dua kawasan Rehat dan Rawat yang terletak di kedua-dua arah di Plaza Tol Denai Alam (RSA Denai Alam), dan juga dua hentian sebelah di kedua-dua arah di Plaza Tol RRIM.

Dengan rekaannya yang merentas pelbagai kawasan urban yang sesak, DASH turut menampilkan pelbagai ciri unik. Antaranya penghadang bunyi keseluruhan (termasuk bahagian atas) di laluan berhampiran Persimpangan Damansara Perdana sepanjang 260 meter kerana perlu ia melalui ‘celah-celah’ bangunan-bangunan kondominium di kawasan berkenaan.

Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

PROLintas menyatakan bahawa ia adalah perincian pertama digunakan oleh Lebuhraya di Malaysia. Syarikat berkenaan telah juga membina tanjakan susur masuk khas di Persimpangan Damansara Perdana, Ramp 12A, untuk memudahkan trafik di Jalan PJU 8/1 masuk ke lebuhraya berkenaan menuju ke TTDI tanpa melalui sebarang plaza tol, memanfaatkan 12,000 penduduk sekitar.

Pihak PROLintas turut memberitahu bahawa kesemua Plaza Tol di sepanjang Lebuhraya DASH ini sudahpun bersedia untuk menggunakan sistem kutipan tol tanpa palang Multi Lane Free Flow (MLFF). Sebelum ini Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof sudah mengumumkan bahawa jemaah menteri sudah pun bersetuju untuk menggunakan sistem berkenaan menjelang 2025.

Antara perincian-perincian lain yang ada pada Lebuhraya DASH ini termasuk dilengkapi 37 CCTV, 18 telefon kecemasan, 30 sistem pengesanan kenderaan dan kemalangan (VIDS), 10 papan tanda mesej pelbagai (VMS) di sepanjang jajaran dan 100% berlampu dengan 2,441 lampu jalan LED.

Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

Malah semua bangunan yang dibina sepanjang lebuhraya ini adalah menepati Indeks Bangunan Hijau (GBI) bersepadu dengan dilengkapi panel solar, penuaian air hujan, bumbung dengan tanaman di bangunan operasi plaza tol.

Pembinaan projek DASH ini sudah bermula sejak Ogos 2016 dengan tempoh konsesi bermula pada 25 Disember 2014 dan berakhir pada 24 Disember 2069 (55 tahun tempoh konsesi). Ia sudahpun siap pada 30 September 2022 dengan kos keseluruhan pembinaan bernilai RM4.2bilion.

PROLintas masih lagi belum menyebut bila tarikh sebenar Lebuhraya DASH ini akan dilancarkan dan dibuka untuk orang ramai, namun syarikat tersebut mengesahkan bahawa ia bakal dilancarkan pada minggu ini juga.

Kemaskini: Lebuhraya DASH sudahpun dilancarkan pada 13 Oktober 2022, dan ia mula dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula 12.01 tengah malam 14 Oktober 2022. Kadar tol masih belum diumumkan, namun orang awam boleh menggunakannya secara percuma sehingga 30 November 2022. Perincian penuh berkenaan pelancaran lebuhraya DASH ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required