Hari ini, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) telah dilancarkan secara rasmi dengan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis yang berlangsung di Plaza Tol Denai Alam yang berada dalam jajaran lebuhraya tersebut.
Dalam majils pelancaran ini, Ismail Sabri mengumumkan bahawa DASH bakal dibuka untuk pengguna bermula tepat jam 12.01 tengahmalam pada 14 Oktober 2022. Malahan kadar tol untuk DASH adalah PERCUMA mulai esok sehingga 30 November 2022.
Seperti Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baru dilancarkan sebulan yang lalu, DASH turut dikendalikan oleh Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas), dan ia juga merupakan “lebuhraya terapung” yang dibina merentasi lokasi-lokasi sesak sebagai alternatif bagi penyuraian trafik di kawasan sekitar.
DASH dibina merentasi Puncak Alam menerusi Persimpangan Mokhtar Dahari dan berakhir di “Persimpangan Spagheti” yang menghubungkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Penchala Link dan Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) di Penchala, berhampiran Taman Tun Dr. Ismail dan juga kawasan tumpuan seperti Bandar Utama Damansara, Damansara Utama serta Mutiara Damansara.
Laluan utama jajaran DASH sepanjang ini adalah sejauh 20.1 km, namun jika diambil kesemua jarak termasuk susur persimpangan, keseluruhan jaraknya mencecah 55.4 km. Sama seperti SUKE, DASH juga menampilkan jalan tiga lorong dua hala, dengan setiap lorong berukuran 3.5 meter bersama lorong kecemasan selebar tiga meter, serta 90% adalah jalan raya bertingkat dan hanya 10% berada di atas tanah.
Selain itu, lebuhraya ini memiliki tiga plaza tol iaitu Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (Kwasa Damansara) dan Plaza Tol DASH Kota Damansara. PROLintas memaklumkan bahawa kesemua plaza tol di lebuhraya ini bersedia untuk menggunakan sistem kutipan tol tanpa palang Multi Lane Free Flow (MLFF). Sebelum ini Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof sudah mengumumkan bahawa jemaah menteri sudah pun bersetuju untuk menggunakan sistem berkenaan menjelang 2025.
Bagi kemudahan akses yang lebih optimum, DASH menyediakan 13 persimpangan iaitu Persimpangan Puncak Perdana, Persimpangan Alam Suria, Persimpangan Denai Alam, Persimpangan Kampung Melayu Subang, Persimpangan Pinggiran Subang, Persimpangan Subang 2, Persimpangan Subang Airport, Persimpangan RRIM (Kwasa Damansara), Persimpangan Surian, Persimpangan Seksyen 5 Kota Damansara, Persimpangan Sunway Damansara, Persimpangan Damansara Perdana dan Persimpangan Penchala.
Menurut PROLintas, selain menyediakan ‘jalan pintas’ dari Shah Alam ke Damansara dalam masa hanya 30 minit berbanding 90 minit melalui laluan sedia ada, DASH turut bakal menyuraikan trafik di Persiaran Mokhtar Dahari sebanyak 39%, Jalan Sungai Buloh (33%) dan Persiaran Surian (43%). Selain itu, DASH juga didakwa bakal menjadi penyelesaian penyuraian trafik untuk beberapa kawasan pembangunan baharu seperti Kwasa Damansara, Elmina dan di sepanjang Shah Alam ke Damansara.
Bukan itu sahaja, lebuhraya ini juga akan menjadi penghubung antara bahagian timur dan barat Lembah Klang, dan merupakan laluan alternatif penduduk Shah Alam dan Puncak Alam untuk ke Persiaran Surian di Kota Damansara, Lapangan Terbang Subang, Damansara Perdana, Penchala dan menuju ke Bandaraya Kuala Lumpur.
Bagi yang ingin ke utara tanah air, DASH turut dihubungkan dengan Lebuhraya Guthrie bagi membolehkan pengguna ke Lebuhraya Utara-Selatan menerusi susur keluar berhampiran Rawang.
Seperti mana lebuhraya lain, PROLintas bakal menyediakan dua kawasan Rehat dan Rawat yang terletak di kedua-dua arah di Plaza Tol Denai Alam (RSA Denai Alam), dan juga dua hentian sebelah di kedua-dua arah di Plaza Tol RRIM.
DASH turut menampilkan pelbagai ciri unik, antaranya penghadang bunyi keseluruhan (termasuk bahagian atas) di laluan berhampiran Persimpangan Damansara Perdana sepanjang 260 meter kerana ia merentasi ‘celah-celah’ bangunan-bangunan kondominium di kawasan berkenaan. Menurut PROLintas, ia adalah perincian pertama digunakan oleh lebuhraya di Malaysia.
Selain itu, tanjakan susur masuk khas turut dibina di Persimpangan Damansara Perdana, Ramp 12A, untuk memudahkan trafik di Jalan PJU 8/1 masuk ke lebuhraya berkenaan menuju ke TTDI tanpa melalui sebarang plaza tol, sekaligus memanfaatkan 12,000 penduduk sekitar.
Antara perincian lain yang ditampilkan pada lebuhraya ini termasuklah dilengkapi 37 CCTV, 18 telefon kecemasan, 30 sistem pengesanan kenderaan dan kemalangan (VIDS), 10 papan tanda mesej pelbagai (VMS) di sepanjang jajaran dan 100% berlampu dengan 2,441 lampu jalan LED.
Malah semua bangunan yang dibina sepanjang lebuhraya ini adalah menepati Indeks Bangunan Hijau (GBI) bersepadu dengan dilengkapi panel solar, penuaian air hujan, bumbung dengan tanaman di bangunan operasi plaza tol.
Pembinaan projek DASH ini sudah bermula sejak Ogos 2016 dengan tempoh konsesi bermula pada 25 Disember 2014 dan berakhir pada 24 Disember 2069 (55 tahun tempoh konsesi). Ia sudah pun siap pada 30 September 2022 dengan kos keseluruhan pembinaan bernilai RM4.2 bilion.
- default
- default
- default
- default
- default
- default
- default
- default
- default
- default
- default
- default
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.