Tindakan ‘cop parking’ bukan perkara baru di Malaysia – ia dilakukan oleh segelintir yang pentingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Kelakuan ini nampak naik satu lagi tahap di sini – sudah ada pemilik kenderaan elektrik (EV) yang ‘cop pengecas EV’ awam.

Kejadian ini berlaku di pengecas EV Pusat Membeli-belah 1 Utama baru-baru ini, dan ia disuarakan oleh seorang pengguna EV dalam Facebook Group MyEVOC. Menurutnya, ketika dia mahu mengecas kereta elektriknya pada satu slot yang kosong, ada sebuah MPV Toyota Alphard menghalang laluan masuk petak tersebut.

Pemilik EV itu memberikan lampu isyarat membelok dan membunyikan hon kepada pemandu Alphard berkenaan menandakan ia mahu menggunakan fasiliti tersebut. Namun apa yang terjadi, pemandu Alphard berkenaan turun dan memberitahunya bahawa “ada sebuah kereta yang mahu menggunakan pengecas tersebut kerana pengecas di sayap satu lagi pusat membeli-belah tersebut sudah penuh”.

Pemilik EV berkenaan memberi jawapan balas menyatakan tindakan tersebut adalah tidak adil kerana dia yang sampai dahulu ke slot pengecas itu, dan kemudian pemandu MPV itu kembali ke kenderaannya dan membuat panggilan telefon (mungkin menelefon pemilik EV kenalannya yang sedang dalam perjalan itu).

Nasib baik pemandu Alphard berkenaan mengalah dan beredar dari slot tersebut serta tidak berlaku sebarang petengkaran.

Sama seperti petak parkir, undang-undang slot pengecas EV terbuka ini adalah sama – siapa cepat dia dapat. Kecualilah sekiranya anda menggunakan fasiliti pengecas yang memberikan fungsi menempah seperti yang disediakan oleh ParkEasy.

Tahukah anda, walaupun nampak remeh, perbuatan ‘cop parking’ atau ‘cop pengecas EV’ ini sebenarnya satu kesalahan di Malaysia yang membolehkan anda dikenakan hukuman? Menerusi perkongsian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam akaun twitternya sebelum ini, ‘cop parking’ dengan cara seperti meletakkan kerusi/kon/pasu bunga/ampaian baju, berdiri atas petak parking dan sebagainya merupakan kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Akta berkenaan jelas menyebut “Jika mana-mana orang melainkan dengan kuasa yang sah, berada di atas mana-mana jalan atau di mana-mana tempat letak kereta bagi maksud mendesak mana-mana orang lain berkenaan dengan penjagaan atau pencucian sesuatu kenderaan motor, atau bagi maksud mengarahkan mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor berkenaan dengan meletakkan kereta di atas jalan atau di tempat itu, dia melakukan suatu kesalahan.”

Menurut JPJ, undang-undang ini turut diguna pakai di semua kawasan sama ada di tempat awam mahupun di premis swasta termasuk pusat membeli-belah, dan hukuman bagi pesalah cop parking ditetapkan dibawah Seksyen 119 yang membawa penalti tidak lebih RM2 ribu atau penjara tidak lebih 6 bulan bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi kesalahan seterusnya.