BMW, Shell dan ParkEasy bekerjasama sediakan petak mengecas kenderaan khas yang boleh ditempah

BMW, Shell dan ParkEasy bekerjasama sediakan petak mengecas kenderaan khas yang boleh ditempah

BMW Malaysia telah bekerjasama dengan Shell Malaysia dan ParkEasy untuk menyediakan lot mengecas kenderaan Reserve + Shell Recharge di beberapa tempat bawah pengurusan Sunway Group dan ia boleh ditempah menggunakan aplikasi ParkEasy (boleh dimuat turun secara percuma untuk peranti Android dan iOS).

Di Sunway Pyramid, tiga lot mengecas ini diletakkan dalam kawasan Preferred Parking (tingkat CP2) yang dikenakan bayaran tambahan, sementara di Sunway Pinnacle dan Sunway Velocity masing-masing mempunyai tiga dan dua lot mengecas Reserve + Shell Recharge yang sama. Melalui kerjasama ini, setiap lot tersebut dipasang dengan sistem mengecas BMW i Wallbox dengan penghasilan kuasa sehingga 3.7 kW (16A single-phase).

Menurut BMW, bermula pada bulan Julai, pemilik kenderaan plug-in hybrid BMW akan diberi hak istimewa untuk lot Reserve + Shell Recharge ini. Ia termasuk pek permulaan elektronik untuk pemilik PHEV BMW baru dan kad hadiah elektronik untuk pemilik PHEV BMW sedia ada (boleh digunakan pada lot tersebut). Sementara itu, bagi pemilik mana-mana kenderaan PHEV atau elektrik lain, mereka boleh menggunakan kod promo BMWMY untuk menebus lima kredit ParkEasy untuk digunakan pada lot ini sehingga 31 Julai dan terhad untuk 2,000 pengguna pertama.

Walaupun aplikasi ParkEasy ini percuma untuk dimuat turun, mereka mengenakan caj melalui kredit yang ada dalam aplikasi tersebut untuk membuat tempahan, dan setiap kredit bernilai RM1. Pengguna boleh menambah kredit dengan menggunakan kad kredit ataupun perbankan atas talian.

Setakat ini, aplikasi ini boleh digunakan untuk menempah petak letak kenderaan di IOI City Mall, Ativo Plaza, Quill City Mall, Shaftsbury Square, TNB Jalan Timur dan Khind (Mistral), sebagai tambahan kepada Sunway Pyramid, Sunway Pinnacle dan Sunway Velocity yang telah dinyatakan tadi. Untuk lot yang mempunyai pengecas kenderaan, ia ditandakan warna kuning dan merah.

Bayaran yang dikenakan adalah berbeza bergantung kepada tempat, dan tempahan untuk bahagian tertentu seperti LG Level di IOI City Mall hanya boleh dibuat pada hujung minggu sahaja. Untuk melihat lebih lanjut cara menggunakan aplikasi ParkEasy, tonton video di bawah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required