Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

Perodua Myvi Generasi ketiga milik pasukan JV Motorsport yang dipandu oleh Fariqe Hairuman, Faiz Sulaiman dan juga Shafiq Rosli mencatatkan sejarah bukan sahaja sebagai Myvi pertama menyertai perlumbaan Sepang 1000 KM (S1K), malah turut direkodkan sebagai Myvi pertama menghabiskan perlumbaan endurance ulung tempatan berkenaan!

Myvi G3 JV Motorsport tersebut ‘dilanyak’ selama 8 jam 35 minit untuk menamatkan perlumbaan itu, dan ia berjaya menduduki kedudukan ke-10 dalam kelas SP2 V (sebelum ini dikenali sebagai SP2), dan tempat ke-38 secara keseluruhan. Sebanyak 68 kereta yang memulakan perlumbaan S1K 2022 ini pada pukul 9.30 pagi Ahad lalu, namun sejumlah 13 kereta tidak berjaya melepasi garisan penamat apabila perlumbaan ini berakhir sekitar pukul enam petang hari yang sama.

Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, Perodua Myvi AV pre-facelift JV Motorsport tersebut menampilkan enjin dan juga kotak gear automatik empat-kelajuan standard, tanpa sebarang ubahsuai bagi layak bertanding dalam kategori SP2 V tersebut.

Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

Ia juga masih menggunakan banyak komponen standard dari kilang kecuali suspensi khas yang dibangunkan oleh FTuned Suspension, brek hadapan lebih besar dibekalkan oleh NThree dan juga rollcage serta kelengkapan perlumbaan lain yang diluluskan oleh Persekutuan Automobil Dunia (FIA).

Dalam sesi kelayakan yang berlangsung pada hari Jumaat, Myvi JV Motorsport ini mencatatkan masa purata 3 minit 0.567 untuk ketiga-tiga pemandu bagi membolehkan ia bermula dari petak ke-49, dan ia adalah lebih pantas dari sebahagian jentera seperti Honda Jazz, Toyota Vios dan Suzuki Swift kelas SP2 V dan SP2 G.

Bagi memastikan Myvi ini berjaya menghabiskan perlumbaan tersebut, semua komponen haus dan lusuh (wear & tear) Myvi ini telah ditukar dengan alat ganti asli Perodua selepas habis sesi kelayakan, dibekalkan oleh DMM Performance, iaitu divisi sukan permotoran pengedar terbesar Perodua di Malaysia iaitu DMM Sales Sdn Bhd.

Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

Kotak gear standard 4AT Myvi ini juga telah menggunakan minyak gear Titaniumatic Automatic Transmission Fluid keluaran JV Auto Lube, dan ia telah terbukti mampu bertahan dalam situasi ekstrim seperti perlumbaan S1K ini.

Menurut ketiga-tiga pemandu pasukan ini, tidak dinafikan Myvi yang dipandu mereka merupakan jentera yang paling perlahan pada laluan lurus berbanding pesaing yang lain. Walau bagaimanapun, ia masih boleh memberikan saingan dengan pemanduan bersih tanpa kesilapan dari mula sehingga tamat perlumbaan.

“Berlumba dalam perlumbaan ini memerlukan sedikit kekuatan mental kerana ia memberi tekanan. Apabila melihat cermin sisi, kereta kami dipotong dan kami juga terpaksa mematuhi bendera biru untuk membiarkan kereta yang lebih laju memotong. Inilah cabaran berbeza untuk perlumbaan ini,” kata Faiz Sulaiman.

Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

Keadaan cuaca ekstrem Litar Sepang turut memberi sedikit kebimbangan kepada pasukan, memaksa Fariqe Hairuman mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan Myvi berkenaan berjaya menghabiskan perlumbaan.

“Kereta ini berada dalam keadaan agak panas semasa saya memulakan tugas kedua, dan saya fikir ini adalah disebabkan oleh keadaan trek di mana permukaan trek dilihat sangat panas. Saya terpaksa perlahan sedikit untuk mengekalkan suhu minyak, tekanan minyak dan suhu air,” kata Fariqe.

JV Motorsport juga bermain dengan strategi di mana kereta dipanggil untuk masuk ke pit ketika safety car keluar, membolehkan mereka mendapat posisi yang lebih baik selepas itu.

Safety car keluar selepas kejadian di T11 dan ketika itu, saya berada di jalan lurus sebelum T15. Kami membuat panggilan pit yang tepat untuk menukar pemandu dan mengisi bahan api. Keputusan itu telah meletakkan kami sehingga ke kedudukan P10 dalam kelas dan kami mengekalkan kedudukan tersebut sehingga ke garisan penamat,” kata Shafiq Rosli.

Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

Berbanding pendahulu perlumbaan iaitu pasangan Tengku Djan Ley dan Naquib Azlan dari pasukan Toyota Gazoo Racing Malaysia yang menghabiskan 181-lap dengan Toyota Vios spesifikasi MTC yang jauh lebih berkuasa, Myvi JV Motorsport ini menamatkan perlumbaan dengan jumlah lap 158 pusingan.

“Ini sudah melebihi jangkaan kami. Sasaran kami adalah untuk menamatkan perlumbaan, tidak kira apa kedudukan kami. Dan yang mengejutkan kami dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, kami berjaya mendapat P10 dalam kelas, dan P38 secara keseluruhan. Perasaan itu melebihi apa yang saya rasai berbanding mendapat podium dan ia sesuatu yang tidak akan saya lupakan,” tambah Shafiq.

Menurut JV Motorsport, dengan objektif utama mereka yang telah tercapai dalam S1K 2022 ini, mereka bercadang untuk sekali lagi memberikan cabaran dalam S1K 2023. Pasukan tersebut kini turut sedang berbincang dengan SIC bagi melayakkan Myvi berkenaan untuk bertanding dalam Malaysia Championship Series (MCS) tahun hadapan menggunakan kotak gear manual.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required