Perodua Myvi G3 S1K JV Motorsport – kotak gear 4AT, enjin standard 1.5L, makmal bergerak untuk R&D!

Perodua Myvi G3 S1K JV Motorsport – kotak gear 4AT, enjin standard 1.5L, makmal bergerak untuk R&D!

Saban tahun berlangsungnya perlumbaan ketahanan Sepang 1000 KM (S1K) yang sinonim dengan dominasi pasukan Proton R3, mesti ada sahaja pertanyaan sinis “King Myvi mana? Tak masuk lumba sekali ke?” Tapi nampaknya tahun ini berbeza – Proton Iriz pasukan R3 masih lagi ‘tidur’ untuk tahun kedua berturut-turut, tapi Perodua Myvi generasi ketiga akhirnya membuat kemunculan sulung dalam perlumbaan S1K!

Myvi yang anda lihat ini merupakan kereta lumba pasukan JV Motorsport, iaitu divisi perlumbaan JV Autolube – pakar kotak gear dan juga pengeluar minyak transmisi tempatan. Ia didedahkan secara rasmi semalam di 204 Autoworks, Puncak Alam dan bakal dipandu oleh juara S1K 2018/2019 Fariqe Hairuman (ketika itu bersama pasukan Proton R3 memandu Iriz SP1), Faiz Sulaiman dan juga Shafiq Rosli.

Tidak seperti Proton Iriz R3 yang dibina dan bertanding dalam kategori MTC (Production Modified), Myvi G3 JV Motorsport dihasilkan untuk bertarung dalam kelas SP2 iaitu kelas untuk jentera stock production. Walaupun ia adalah jentera yang hampir standard kilang, Myvi ini sebenarnya sebuah “makmal bergerak” untuk pelbagai syarikat kejuruteraan tempatan bagi mengutip data bagi pembangunan R&D produk masing-masing!

Perodua Myvi G3 S1K JV Motorsport – kotak gear 4AT, enjin standard 1.5L, makmal bergerak untuk R&D!

Jentera ini diasaskan dari Perodua Myvi G3 pre-facelift dalam varian tertinggi AV, jadi ia menggunakan enjin asal 2NR-VE 1.5 liter Dual VVT-i digandingkan bersama kotak gear automatik empat kelajuan 4AT standard – ya, anda tidak salah baca dan kami tidak salah tulis, Myvi ini masih guna transmisi 4AT.

Enjin pada Myvi ini juga masih lagi standard dengan kuasa sekitar 102 hp dan tork maksima 136 Nm, dengan ubahsuai ringan mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam kategori SP2 iaitu menukar sistem ekzos dan penuras udara lebih berprestasi (kotak udara standard dari kilang masih perlu digunakan).

Oleh itu, ruang enjin Myvi S1K SP2 ini masih lagi nampak sama dengan Myvi tuan-puan diluar sana dengan pelbagai komponen asal dari kilang termasuk radiator, kipas penyejuk, hatta sekali dengan pemampat pendingin hawa kerana ia masih lagi ada aircond di dalam kabin.

Perodua Myvi G3 S1K JV Motorsport – kotak gear 4AT, enjin standard 1.5L, makmal bergerak untuk R&D!

Selain dari header ekzos yang berkilat bersembunyi di bawah pelindung panas standard, perkara ‘asing’ yang boleh dilihat pada ruang enjin Myvi ini hanyalah pemancut sistem pemadam api yang diwajibkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk perlumbaan bertaraf nasional seperti S1K.

Kenapa pilih Myvi untuk S1K? Boleh ke Myvi ‘ikut’ jentera SP2 lain yang jauh lebih berpotensi seperti Suzuki Swift, Honda Jazz, Honda City dan sebagainya? Menurut JV Motorsport, Myvi merupakan model yang paling laris, paling banyak berada di atas jalan raya Malaysia, malah kotak gear yang digunakan juga adalah keluaran kilang Akashi Kikai di Sendayan, Negeri Sembilan.

Jadi Myvi ini merupakan platform terbaik bagi mereka menguji minyak transmisi keluaran JV Autolube, dan mengutip sebanyak data yang terhadap kotak gear 4AT yang dibelasah secara ekstrem dalam perlumbaan mengelilingi litar Antarabangsa Sepang dalam jarak 1,000 km tersebut.

Projek ini juga sebenarnya mendapat sokongan dari pengedar terbesar Perodua di Malaysia iaitu DMM Sales Sdn Bhd menerusi divisi sukan permotoran yang baru sahaja ditubuhkan diberi nama DMM Performance. Dalam kerjasama ini, DMM Performance bukan sahaja akan berkongsi pengetahuan teknikal mereka berkenaan Perodua Myvi, malah turut akan membekalkan komponen-komponen alat ganti asli Perodua untuk jentera lumba itu.

Pada sebelah luar, Myvi ini masih kelihatan seperti sebuah Myvi. Ia hanya dibekalkan dengan kit badan standard Myvi 1.5 High/AV biasa, bersama rekaan grafik perlumbaan yang disudahkan bersama Reban Blackbird dan Wrap Autowerk. Perasan nombor perlumbaan ’83’ yang digunakan pada Myvi ini? Ia adalah nombor perlumbaan yang sama digunakan Fariqe ketika berlumba dengan pasukan R3, dan ia telah ‘diabadikan’ oleh Proton pada model edisi terhad Iriz R3 yang dilancarkan tahun lalu.

Lampu kabus asal telah dicabut dan diganti dengan corong seakan mengalirkan udara ke ruang roda hadapan. Cangkuk perlumbaan juga sentiasa terpasang di bampar hadapan dan belakang bagi memudahkan kerja-kerja recovery sekiranya berlaku apa-apa ketika berlumba di litar nanti.

Rupa Myvi S1K ini dilengkapkan dengan rim 15-inci, dibalut dengan tayar Yokohama Advan Neova AD08 R bersaiz 195/50R15. Dan pada roda hadapan, brek asal Myvi telah dicabut bagi digantikan dengan set brek lebih besar bersama angkup empat omboh dari Brembo yang dibekalkan oleh pakar sistem brek, NThree.

Badan Myvi ini direndahkan lebih dekat ke permukaan jalan raya dengan menggunakan set suspensi boleh laras juga keluaran tempatan iaitu FTuned Suspension. Buat masa sekarang FTuned sudahpun menjual set suspensi GT Series untuk Myvi G3 ini, namun ini pertama kali mereka menghasilkan set suspensi untuk sebuah Myvi yang digunakan untuk perlumbaan sebenar.

Set suspensi ini tidak sama dengan set yang dijual dalam pasaran dan ini merupakan komponen baharu yang dibangunkan oleh FTuned. Sekali lagi, data-data yang akan dikumpul dari Myvi S1K ini sepanjang perlumbaan nanti akan digunakan oleh FTuned bagi menghasilkan suspensi lebih baik untuk Myvi G3 pada masa akan datang.

Perodua Myvi G3 S1K JV Motorsport – kotak gear 4AT, enjin standard 1.5L, makmal bergerak untuk R&D!

Dalam kabin, boleh dilihat masih banyak komponen standard masih digunakan termasuk papan pemuka, meter instrumen, roda stereng, konsol terowong tengah dan juga panel-panel pintu. Namun kesemua karpet dan pelapik bumbung serta semua tempat duduk asal telah dicabut keluar bagi dipadankan dengan set rollcage – bukan sebarang rollcage, tetapi ia merupakan rollcage yang dibina menepati piawaian FIA seperti yang disyaratkan untuk perlumbaan berkelas nasional.

Tiga meter tambahan dari Works Engineering diletakkan pada bahagian tengah papan pemuka memberikan bacaan suhu air, serta suhu dan tekanan minyak pelincir enjin. Turut boleh dilihat peranti untuk merekod catatan masa dilitar Aim Solo 2 diletakkan sebaris dengan meter ‘tiga beradik’ tersebut.

Myvi ini juga diberikan skrin infotainmen berasaskan android bagi menggantikan pemain audio asal. Tetapi ini bukan untuk pemandu bersantai mendengar lagu ya, sebaliknya ia sebenarnya telah dipasang dengan perisian yang membolehkan ia memaparkan data-data dari soket OBDII kotak komputer Myvi ini.

Perincian keselamatan lain yang turut kelihatan pada kabin Myvi S1K JV Motorsport ini termasuk tempat duduk perlumbaan bucket penuh dari OMP, tali pinggang perlumbaan dari Beltenick serta kill switch untuk mematikan bekalan kuasa elektrik yang diletak pada ruang storan konsol tengah serta pemadam api di sebelah pemandu – kedua-duanya diperlukan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Sasaran utama JV Motorsport dalam S1K 2022 ini hanyalah untuk menghabiskan perlumbaan, bagi membolehkan mereka menggunakan data-data yang dikumpul untuk pembangunan R&D. Namun sudah tentu untuk pelumba, menjadi juara atau sekurang-kurangya berada di atas podium turut menjadi sasaran.

Faiz Sulaiman memberitahu bahawa ada ruang lagi untuk mengerah kuasa enjin Myvi ini iaitu dengan membuat talaan semula pada enjin menggunakan kotak komputer piggy back yang dibenarkan dalam kategori SP2 ini, namun ia tidak sempat untuk dibuat kerana pasukan hanya mempunyai masa dua bulan bagi melengkapkan kereta lumba ini.

Shafiq Rosli pula menyatakan bahawa selepas S1K, JV Motorsport berminat untuk membawa Myvi ini ke perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) bagi musim 2023, juga dalam kategori SP2. Malah JV Motorsport juga berhasrat untuk membangunkan jentera lumba Myvi G3 ini dalam versi kotak gear CVT (model facelift 2022) selepas projek Myvi 4AT ini sempurna kelak.

Perlumbaan S1K 2022 akan bermula pada hujung minggu ini, di mana sesi latihan rasmi akan bermula pada hari Khamis, 17 November diikuti sesi kelayakan akan berjalan pada hari Jumaat 18 November. Perlumbaan sebenar akan bermula pada hari Ahad 20 November di mana pelumba akan dilepaskan secara rolling start pada pukul 9.30 pagi, dijangka berakhir pada pukul 6.30 petang selepas kereta pertama melepasi garis penamat dengan menghabiskan sebanyak 181 lap.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required