Hanya berpuas hati di tempat kelima tahun lepas, nampaknya tahun ini serba menjadi bagi pasangan pemandu dari Johor – Farique Hairuman a.k.a Wak Tempe dan Syafiq Ali, yang memandu Proton Iriz untuk pasukan Proton R3 dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) yang berlangsung hujung minggu lalu.

Proton Iriz R3 berkenaan yang bermula di grid kedua berjaya mendahului perlumbaan dan menjadi juara setelah mengharungi perlumbaan dengan 181-lap di Litar Antarabangsa Sepang, meninggalkan Proton Satria Neo dari pasukan Dream Chaser 2 minit 10 saat di belakang. Toyota Vios dari pasukan Wing Hin Motorsport yang di pandu oleh Boy Wong dan William Ho pula menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, namun ketinggalan tiga lap berbanding dua kereta teratas.

Walau bagaimanapun, rakan pasangan sepasukan yang juga juara S1K tahun lalu iaitu Admi Shahrul dan James Verrapan tidak bernasib baik kerana terpaksa menarik diri pada lap-lap terakhir kerana masalah teknikal pada Proton Saga R3 mereka walaupun ketika itu sedang bertarung dalam kedudukan podium.

Dengan kemenangan tersebut, ini bermakna satu lagi sejarah dilakar oleh Proton dalam sukan permotoran. Proton R3 bukan sahaja juara bertahan untuk musim 2017 dan 2018, malah pasukan tersebut sebenarnya telah merangkul gelaran juara S1K sebanyak empat kali (Satria Neo pada 2012, Preve pada 2014 dan Suprima S pada 2017), sekaligus dinobatkan sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah perlumbaan berkenaan. Syafiq Ali juga diiktiraf sebagai pelumba paling berjaya dalam S1K setelah telah tiga kali menjuari perlumbaan ini.

“S1K 2018 merupakan perlumbaan yang sukar dan mengujakan dalam cuaca yang panas pada kelajuan yang pantas. Pendahulu perlumbaan banyak bertukar dan safety car yang keluar berberapa kali juga menambahkan kesulitan dalam strategi perlumbaan kami. Kami berjaya mendahului dalam 40 lap terakhir dan syukur kami mampu untuk menjarakkan kelebihan kami lebih dari dua minit pada akhir perlumbaan,” kata prinsipal Pasukan R3, Gary Lee.

Jika anda mengikuti dunia perlumbaan tempatan, anda pasti tahu bahawa Sepang 1000KM ini adalah kesinambungan dari perlumbaan Merdeka Millenium Endurance (MME) iaitu perlumbaan 12-jam diadakan pada Ambang Merdeka setiap tahun bermula pada tahun 2000.

Edisi pertama perlumbaan tersebut itu sendiri telah dimenangi oleh pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) dengan jentera Proton Waja PERT (dijana enjin turbo 2.0 liter bersama sistem 4WD dari Mitsubihi Lancer Evo 5!) dipandu oleh tiga lagenda – Tommy Lee, Jimmy Low dan Karamjit Singh. Proton R3 yang dikemudi oleh Tengku Djan Ley kemudiannya pula berjaya memenangi perlumbaan yang sama untuk musim 2005 dan 2006 dengan jentera Lotus Exige 300RR.