Sebelum ini, Proton R3 telah menyiarkan teaser Proton Saga yang akan mempertahankan gelaran juara yang diraih mereka di perlumbaan Sepang 1000KM (S1K) tahun lalu. Hari ini, jentera perlumbaan tersebut telah didedahkan secara rasmi, dan ia akan berlumba bersama jentera yang di bawa dari musim sebelumnya, iaitu Proton Iriz.

Ini bermaksud, Proton Suprima S yang menjadi juara S1K 2017 akan direhatkan, bagi memberikan laluan kepada Saga beraksi semula sebagai jentera perlumbaan sebenar. Ia diharap akan mengekalkan kejuaraan kedua berturut-turut Proton, atau gelaran keempat mereka dalam siri perlumbaan ketahanan tersebut.

Dalam sejarah Proton, nama Saga bukan sahaja model sulung keluaran mereka, malah Saga generasi pertama merupakan model permulaan Proton menempa nama dalam sukan permotoran.

Proton mempunyai warisan sejarah perlumbaan yang agak membanggakan, termasuk menjadi juara dunia PWRC untuk musim 2002, juara empat kali di Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) serta penyertaan dalam British Touring Car Championship (BTCC) dengan Proton Waja pasukan Petronas Syntium Proton (PSP). Semua kejayaan ini bermula dengan Saga, yang telah dibina sebagai jentera lumba sebenar pada era 80’an, sama ada untuk perlumbaan litar mahupun rali.

Saga generasi pertama bukan sahaja gah dengan jentera-jentera ‘Super Saga’ seperti jentera dengan livery Castrol dan Elextrolux yang bertanding di litar Batu Tiga Shah Alam dahulu, malah dengan kelengkapan mekanikal yang ringkas, mampu milik, mudah diubahsuai dan tahan lasak, ia turut popular sebagai jentera perlumbaan clubman di litar tersebut dan Pasir Gudang, serta menjadi pilihan pasukan-pasukan persendirian yang berlumba dalam kejohanan rali Malaysia – faktor ini turut mahu ditonjolkan oleh Proton terhadap Saga generasi baharu ini.

Menurut Proton, badan asas Saga dengan ketegaran torsi lebih tinggi (12,000 Nm/deg) membuatkan ia pilihan ideal untuk dijadikan jentera perlumbaan. Sementara itu, keseimbangan pengendalian asas serta pakej mekanikal pada Saga ini sangat sesuai pada perlumbaan lasak seperti S1K ini – yang memerlukan jentera dan pelumba bertahan lebih 1000 km atau lebih dari 181 lap di Sepang.

“Proton Saga mempunyai sejarah perlumbaan yang lama dengan rekod kemenangan dalam pelbagai pertandingan sukan permotoran dan S1K merupakan platform yang sempurna bagi memperkenalkan semula peminat Proton kepada divisi perlumbaan R3 kami dalam masa yang sama mengenang semula warisan sejarah perlumbaan untuk model kami yang paling laris ini. Ini merupakan pertama kali Saga generasi terkini akan bertanding dan berlumba dengan sengit tetapi kami percaya kemampuan R3 bagi menghasilkan jentera yang kompetitif,” kata CEO Proton Edar, Abdul Rashid Musa.

Untuk pasukan tahun ini, Pasukan R3 akan dianggotai dari 21 kru dan juga 15 orang pelajar dari Universiti Automotif DRB-Hicom, Pekan, Pahang. Empat pelumba dari tahun lalu masih dikekalkan, di mana pasangan juara 2017, Admi Shahrul dan James Veerapan akan memandu Saga, manakala dua pelumba Johor, Fariqe Hairuman dan Syafiq Ali masih diberi kepercayaan memandu Iriz.

“Sebahagian pasukan lain mungkin mempunyai tiga pemandu untuk satu kereta, tetapi Proton R3 hanya memilih untuk menggunakan dua pemandu kerana kami mahu memaksima masa setiap pemandu untuk berlumba. Ini membolehkan mereka mendapat rentak pemanduan yang baik, kerana ia penting bagi mendapatkan catatan masa konsisten bagi setiap lap yang penting untuk perlumbaan lama seperti ini. Secara tipikal, perlumbaan seperti S1K ini memerlukan pasukan berlumba dengan kelajuan sepenuhnya pada berberapa lap permulaan selepas itu mengekalkan rentak bagi menjaga keadaan tayar dan brek, kata prinsipal Pasukan Proton R3, Gary Lee.

Gary berharap faktor konsisten dan ketahanan akan membawa kemenangan kepada pasukan tahun ini. Tahun lalu, setelah sembilan jam bertarung, Suprima S R3 akhirnya dinobatkan sebagai juara pada lap ke-181, meninggalkan Honda Jazz R Engineering bernombor 12 di tempat kedua dengan jarak 42.567 saat, manakala Iriz R3 pula 9-lap di belakang dan berjaya merangkul tempat kelima.