Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

“Jika Honda tidak berlumba, maka tiadalah Honda”. Ini bukan kata-kata poyo “idola-idola permotoran”, ini adalah kata-kata dari pengasas Honda sendiri iaitu Soichiro Honda. Mana tidaknya, perlumbaan merupakan antara dorongan utama Soichiro untuk terus berada dalam industri automotif sejak memulakan kariernya sebagai seorang mekanik pada umur 15-tahun.

Sebab itulah, apa sahaja yang keluar dari kilang Honda, ia seolah-olah dibekalkan sekali dengan “semangat perlumbaan”. Tengok sahajalah, bukan setakat motosikal kecil seperti Honda EX5 yang diubahsuai untuk menjadikan ia lebih laju, malah Honda juga kini memegang rekod dengan menghasilkan mesin rumput paling pantas di dunia menerusi Mean Mower Mk2.

Nah, seperti yang anda boleh lihat, ini adalah Honda City Hatchback 2022 yang baru sahaja dilancarkan di pasaran tempatan hujung tahun lalu, dan ia kini sudahpun dijelmakan jentera perlumbaan sebenar oleh rakyat Malaysia, dihasilkan oleh pasukan Monsil Lubricant Malaysia Racing Team!

Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

Menurut pasukan tersebut, City Hatchback dalam varian asas 1.5S ini memang dibeli untuk terus dijadikan kereta lumba – sebaik sahaja ia keluar dari bilik pameran, ia terus di bawa ke bengkel untuk diubahsuai. Proses transformasi dari kereta jalan raya kepada kereta lumba ini mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disiapkan.

Jentera ini dibangunkan dengan sasaran untuk menyertai pelbagai perlumbaan tempatan, terutamanya Malaysia Speed Festival untuk kategori Standard Production serta siri Malaysia Championship Series (MCS) dan perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) dalam kategori SP2.

Jadi bagi membolehkan City Hatchback ini bertanding dalam MSF Standard Production dan MCS/S1K SP2, kereta ini masih perlu menggunakan enjin dan kotak gear standard dari kilang Honda – ya, ia masih lagi mengharapkan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm bersama kotak gear CVT yang sama dengan kereta jalan raya yang lain tanpa sebarang ubahsuai!

Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

Menurut Monsil Lubricant Malaysia Racing Team, mereka juga tidak melakukan sebarang talaan semula tehadap pemetaan kotak komputer enjin kerana tidak mahu enjin tersebut terlalu stress dan boleh bertahan lama, terutamanya untuk perlumbaan S1K yang memerlukan ia mengelilingi litar Sepang dengan laju dalam jarak lebih 1,000 km. Namun ia masih diberikan set ekzos custom yang dihasilkan sepenuhnya oleh Schnitzer Exhaust, Seri Kembangan.

Untuk MCS dan S1K juga memerlukan mereka memastikan segala peralatan perlumbaan dalam kereta ini adalah memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh badan permotoran dunia, FIA. Oleh itu, ia mendapat rollcage penuh yang dihasilkan oleh firma kejuruteraan tempatan, T-Craft Fabrication, manakala kelengkapan lain seperti tempat duduk perlumbaan Recaro, tali pinggang keselamatan Beltenick, roda stereng OMP dan sebagainya adalah asli, bukan tiruan dari Thailand.

Kesemua karpet dan tempat duduk pada kabin City Hatchback ini juga telah dibuka, namun mengikut undang-undang perlumbaan Standard Production/SP2, papan pemuka asal, konsol gear dan juga panel-panel dalaman pintu perlu dikekalkan.

Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

Pemain audio juga telah dicabut keluar dan bahagian yang kosong tersebut dipenuhkan semula dengan panel yang menempat meter-meter seperti suhu dan tekanan pelincir, suhu cecair penyejuk dan sebagainya, serta kill switch untuk memutuskan bekalan kuasa elektrik sekiranya berlaku kecemasan.

Manakala untuk pengendalian, set penyerap hentak dan spring asal juga telah dicabut, dan ia kini menggunakan set suspensi boleh laras perlumbaan dari Traction Pro. Menurut Monsil Lubricant Malaysia Racing Team, set suspensi untuk City Hatchback ini sebenarnya masih boleh ditukar pakai dengan Honda Jazz GK5.

Set suspensi tersebut direndahkan dengan jarak sekitar satu jari antara fender dengan tayar perlumbaan Hankook RS4 bersaiz 195/50R15 yang dipadankan bersama dengan set rim Rays Volks Racing CE28 berdiameter 15-inci. Camber hadapan pula dilaras pada sudut sekitar -4.8 hingga -5 darjah bagi mendapatkan cengakaman optimum dari tayar ketika mengambil selekoh.

Untuk brek, set hadapan masih mengekalkan angkup asal dan menerima set cakera dan pad yang lebih boleh bertahan tanpa fade ketika berlumba dalam tempoh yang lama, manakala set brek dram belakang telah ditukar menggunakan set brek cakera yang diambil sekali lagi dari Jazz GK5.

Bahagian luaran Honda City Hatchback ini juga masih kelihatan hampir standard, dengan beberapa perubahan kecil. Antaranya gril krom asal telah digantikan dengan gril kemasan hitam berkilat ala-City RS dan pemadanan spoiler bawah bampar hadapan yang juga berwarna hitam berkilat.

Kemasan liang udara pada bampar hadapan masih kekal menggunakan komponen dari City 1.5S, malah warna badan Platinum White yang disembur oleh kilang Honda Malaysia Pegoh juga masih lagi kekal, cuma diberikan grafik perlumbaan yang disediakan oleh BA Stickers Design Studio Johor Bahru.

Kereta ini keluar berlumba buat kali pertama menerusi MSF SuperTurismo pusingan kedua untuk musim 2022 yang berlangsung pada hujung minggu lalu. Kerana sedikit kesilapan yang dibuat ketika pit stop, pasukan Monsil Lubricant Malaysia menghabiskan perlumbaan tersebut di kedudukan keenam – keputusan yang agak baik untuk sebuah kereta lumba yang baru sahaja ‘keluar dari kotak’.

Malah Honda City Hatchback dengan enjin standard dan kotak gear CVT tersebut berjaya mencatatkan masa lap terpantas 2 minit 55.936 saat di litar Sepang ketika perlumbaan itu – pasukan berkenaan turut yakin mampu menghasilkan masa satu saat lebih pantas dalam perlumbaan akan datang.

Penulis turut sempat bertanya kepada Monsil Lubricant Malaysia Racing Team, kenapa tak guna sahaja jentera-jentera yang telah terbukti tahan dan pantas untuk kategori Super Production dan SP2 ini seperti Suzuki Swift dan Honda Jazz GK5?

Honda City Hatchback 2022 Monsil Lubricant – dari bilik pameran terus ke litar lumba; 1.5L i-VTEC, CVT!

Jawapan yang diberi adalah: “Kami tak mahu jadi follower, City Hatchback ini masih baru dalam pasaran, jadi ini peluang kami untuk menjadi yang pertama. Lagi pun kereta ini memang akan menjadi perhatian ketika ia berlumba.”

Nak tengok macam mana jentera ini beraksi? Pastikan anda hadir ke litar Sepang untuk pusingan ketiga MSF SuperTurismo 2022 kerana Monsil Lubricant Malaysia Racing Team telah mengesahkan bahawa mereka akan berlumba dalam pusingan seterusnya!

GALERI: Gambar rasmi dari Monsil Lubricant Malaysia Racing Team ketika pembangunan jentera lumba City Hatchback

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required