Mercedes-AMG S63 E Performance 2023 – masih enjin V8, plug-in hybrid, 802 PS/1,430 Nm; 0-100 km/j 3.3s!

Mercedes-AMG S63 E Performance 2023 – masih enjin V8, plug-in hybrid, 802 PS/1,430 Nm; 0-100 km/j 3.3s!

Selepas model generasi baru Mercedes-Benz S-Class W223 diperkenalkan pada September 2020, kini sudah tiba masanya sedan mewah berkenaan muncul dalam versi prestasi tinggi – memperkenalkan Mercedes-AMG S63 E Performance 2023! Dengan “E Performance” di belakang nama model ini, sudah tentu ia turut menerima sistem plug-in hybrid (PHEV) berprestasi tinggi dari Mercedes-AMG. Namun tidak seperti C 63 S E Performance yang kini menggunakan enjin 2.0L empat-silinder, S63 E Performance ini nampaknya masih kekal menggunakan enjin V8!

Ini menjadikan AMG S 63 generasi baharu ini sebagai S-Class paling berkuasa pernah dihasilkan – menjana 802 PS (791 hp atau 590 kW) tork maksima 1,430 Nm secara keseluruhan, membolehkan sedan besar dengan berat 2,595 kg ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat, dan mencatatkan kelajuan 250 km/j atau 290 km/j sekiranya pembeli memilih ciri opsyen AMG Driver’s Package!

Sama seperti C 63 S, S 63 E Performance ini juga menggunakan sistem hibrid P3 Mercedes-AMG yang rumit bagi membolehkan sedan empat-pintu ini mengekstrak kuasa lebih besar dari sebuah kereta sport enjin tengah Lamborghini Huracan. Mari sini kami bentangkan bagaimana ia beroperasi.

Mercedes-AMG S63 E Performance 2023 – masih enjin V8, plug-in hybrid, 802 PS/1,430 Nm; 0-100 km/j 3.3s!

Ia bermula dengan enjin petrol V8 yang dipadankan, atau lebih spesifik enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo jenis twin scroll, berupaya menghasilkan kuasa 612 PS (603 hp atau 450 kW) bermula 5,500 hingga 6,500 rpm serta tork maksima 900 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Enjin ini dipadankan pada casis menerusi cagak-cagak aktif.

Enjin V8 tersebut turut menerima unit starter-generator yang dipacu dengan tali sawat (RSG) yang berfungsi untuk menghidupkan enjin dan mengecas semula bateri hibrid, dihubungkan kepada sistem elektrik 400-volt kereta ini. Manakala kuasa dari enjin dipindahkan ke semua roda menerusi kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G, dan juga sistem pacuan semua roda dengan agihan tork bervariasi penuh AMG Performance 4Matic+ yang menggunakan klac start-off basah pelbagai lapisan.

Selain menerima kuasa dari enjin petrol, sistem hibrid P3 ini juga menampilkan satu motor elektrik yang diletak pada gandar belakang. Motor berkenaan menghasilkan kuasa 95 PS (94 hp atau 70 kW) secara berterusan, tetapi mampu memberikan tujahan sebesar 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan tork maksima 320 Nm selama 10 saat apabila diperlukan.

Mercedes-AMG S63 E Performance 2023 – masih enjin V8, plug-in hybrid, 802 PS/1,430 Nm; 0-100 km/j 3.3s!

Motor tersebut bukan terus memacu roda, sebaliknya mempunyai kotak gear dua-kelajuan tersendiri. Kotak gear tersebut akan berfungsi secara automatik, atau secara spesifiknya gear kedua akan digunakan pada bila kelajuan mencecah 140 km/j setelah motor mencapai kelajuan maksima iaitu sekitar 13,500 rpm.

Walaupun enjin petrol dan motor elektrik ini terpisah, ia sebenarnya masih berhubung menerusi sistem pacuan semua roda menerusi syaf propeller dan klac tambahan yang terletak di belakang kotak gear automatik. Dengan konfigurasi ini, kuasa gabungan dari enjin dan juga motor elektrik turut boleh dialirkan sepenuhnya ke roda hadapan sekiranya diperlukan, contohnya ketika roda belakang langsung tiada cengkaman.

Motor elektrik pada sistem ini menerima kuasa elektrik dari bateri berprestasi tinggi (HPB) dari AMG yang digelar HPB 150. Bateri berkenaan terdiri dari 1,200 sel untuk membekalkan kuasa berkapasiti 13.1 kWj – lebih berkuasa dari bateri HPB 80 pada model-model E Performance lain yang dibekalkan dengan jumlah sel lebih sedikit serta hanya berkapasiti 6.1 kWj.

Sel-sel bateri tersebut turut disejukkan secara individu bagi memastikan ia sentiasa berada pada suhu operasi sekitar 45 darjah selsius. Bateri berkenaan boleh dicas semula dengan pengecas AC 3.7 kW (penghubung Type 2) dengan input maksimum 3.7 kW. Walau bagaimanapun, jarak gerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa menghidupkan enjin petrol hanyalah sejauh 33 km dengan satu cas penuh bateri.

Dengan sistem elektrikal dan mekanikal yang rumit membolehkan model ini menawarkan tujuh mod pemanduan berbeza yang boleh dipilih menerusi sistem AMG Dynamic Select. Ia termasuk mod Electric, Comfort, Battery Hold, Sport, Sport+, Slippery dan Individual. Tak cukup dengan tujuh mod pemanduan ini, anda turut boleh bermain dengan empat tahap pemulihan tenaga (Level 0 hingga 3) dan juga tiga pilihan mod sistem AMG Dynamics (Basic, Advanced dan Pro).

Dengan berat badan lebih dari 2.5 tan serta kuasa yang mencecah 800 PS, sedan ini diberikan sistem suspensi adaptif dengan penyerap hentak udara AMG Ride Control+, serta sistem stereng untuk gandar belakang bagi membolehkan ia bergerak lincah. Manakala untuk menghentikannnya, ia dibekalkan denam sistem brek komposit berprestasi tinggi AMG yang terdiri dari cakera berdiameter 400 mm bersama angkup enam omboh di hadapan, serta cakera 380 mm dengan angkup omboh tunggal di belakang.

Mercedes-AMG S63 E Performance 2023 – masih enjin V8, plug-in hybrid, 802 PS/1,430 Nm; 0-100 km/j 3.3s!

Secara standard, ia diberikan set rim berdiameter 20-inci dengan tayar 255/45R20 di hadapan dan 285/40R20 di belakang. Namun pembeli boleh memilih opsyen set rim 21-inci yang turut ditawarkan. Mercedes-AMG S63 ini juga menerima sistem stereng dengan nisbah geometeri bervariasi tiga peringkat serta sistem anti-oleng aktif AMG Active Control yang berfungsi menggunakan sub-jaringan sistem elektrik 48-volt.

Struktur badan S63 ini juga turut dihasilkan lebih tegar dari S-Class biasa menerusi penstabil aluminium di bawah enjin, dan juga pendakap silang pada poin-poin cagak suspensi. Satu topang pepenjuru yang diperbuat dari aluminium diletak pada bahagian bawah badan sebelah belakang yang didakwa mampu meningkatkan tahap kejituan pemanduan.

Bateri HPB untuk sistem hibrid pada S63 ini turut menyumbang kepada ketegaran badan keseluruhan kereta ini kerana ia diletakkan pada perumah di kedudukan beban tertentu dan diperbuat dari gentian diperkuat plastik (FRP) ringan.

Untuk rupa, sudah tentu S63 ini tampil dengan rupa lebih garang dari S-Class biasa. Ia diberikan gril hadapan AMG dengan jalur menegak serta logo bintang Mercedes di tengah yang besar. Emblem logo bintang pada hujung bonet digantikan dengan emblem AMG dalam kemasan krom perak dan hitam.

Rupa lebih agresif turut disumbang menerusi bampar hadapan dengan rekaan jet-wing menampilkan liang kemasukan udara sisi yang lebih besar bersama tirai udara yang benar-benar berfungsi. Manakala di belakang, S63 ini ini menerima empat tip ekzos bersama diffuser pada bampar yang lebih menonjol.

Seperti biasa, kabin model-model AMG akan menampilkan rupa asas yang sama seperti model biasa tetapi diberikan perincian-perincian yang lebih berciri perlumbaan. S63 ini menerima roda stereng AMG Performance, tempat duduk sports, serta paparan instrumen AMG dan juga sistem hibrid yang berfungsi sekali bersama sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Selain itu ia turut menerima paparan head-up serta menyokong format bunyi Dolby Atmos.

Manakala untuk keselamatan, Mercedes-AMG S63 E Performance ini diberikan sistem penuh bantuan pemanduan termasuk sistem Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist, Traffic Sign Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Lane Change Assist, Active Emergency Stop Assist, Attention Assist, Active Brake Assist dengan fungsi lintasan trafik, Active Blind Spot Assist, Evasive Steering Assist serta sistem Drive Pilot Level 3 untuk memberikan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 3.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required