Ford Escort Mk2 Pandem “Emotion” Retro Havoc – hasil karya pertama dari M’sia ke Tokyo Auto Salon!

Ford Escort Mk2 Pandem “Emotion” Retro Havoc – hasil karya pertama dari M’sia ke Tokyo Auto Salon!

Ingat lagi Ford Escort Mk2 milik pengasas Retro Havoc, Alie Kuoppa yang kami umumkan pada 2020 dulu? Projek Ford Escort dengan kit badan asli Pandem Rocket Bunny tersebut sudah pun siap dan hari ini dengan bangganya ia telah dipamerkan di dewan Makuhari Messe di Tokyo, sempena acara ulung budaya automotif Jepun iaitu Tokyo Auto Salon 2023!

Alie menamakan Ford Escort ini sebagai “Emotion” kerana pelbagai kesusahan membabitkan emosi ketika menyiapkan projek ini. Ia bermula dengan perbincangan dengan Hardcore Tokyo dan juga pengasas Pandem, Kei Miura pada awal tahun 2020 untuk menghasilkan sesuatu yang baru pada 2021.

Hasil perbincangan tersebut Alie mengambil keputusan untuk memilih Ford Escort Mk2 sebagai asas projek. Ini kerana
Alie sememangnya sangat meminati kereta rali jalan raya berkenaan dan pernah memilikinya sejak masih menuntut di universiti dulu. Namun, Escort Mk2 empat pintu tersebut telah dicuri pada tahun 2014. Selepas itu Alie membeli lagi sebuah Escort Mk2 dalam versi dua pintu yang sememangnya perlu direstorasi semula.

Ford Escort Mk2 Pandem “Emotion” Retro Havoc – hasil karya pertama dari M’sia ke Tokyo Auto Salon!

Idea Alie untuk menggunakan Ford Escort Mk2 dipersetujui oleh Kei Miura, dan projek koloborasi berkenaan pada asalnya dirancang untuk dibawa ke SEMA 2021 yang berlangsung di Las Vegas, USA. Ini kali kedua Miura menghasilkan kit badan lebar untuk Ford Escort Mk2, di mana Escort Mk2 pertama yang menerima sentuhannya adalah jentera milik mendiang Ken Block.

Namun kit yang dihasilkan untuk Emotion ini adalah berbeza dari kit yang dibuat untuk Ken Block, dan ia merupakan yang pertama seumpamanya di dunia. Selepas kit tersebut dibuat oleh Miura di Jepun, ia terus dihantar ke Baling, Kedah untuk disudahkan.

Pada peringkat awal, Alie bercadang untuk memnyumbat enjin Toyota V8 4.0 liter 1UZ-FE pada Escort tersebut, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan yang diambil dari enjin RB25 Nissan. Enjin berkenaan dirancang untuk diletakkan di atas crossmember yang diambil dari Nissan Silvia S14, lengkap dengan sistem suspensi dan juga hab roda juga dari kereta sport Nissan tersebut.

Manakala bagi menyalurkan kuasa ke roda belakang, sistem live axle asal Ford Escort berkenaan juga dirancang untuk digantikan dengan gandar dari Nissan Silvia yang menampilkan konfiguarsi suspensi gantungan jenis bebas yang lebih jitu.

Walau bagaimanapun, projek berkenaan “tersadai” di tengah jalan atas sebab-sebab tertentu. Walaupun kecewa, Alie bertekad untuk meneruskannya dengan game plan yang baru. Projek berkenaan bermula semula dari peringkat awal sepenuhnya, termasuk menyingkirkan kerangka asal, dan Alie membeli sebuah lagi Ford Escort Mk2 bagi menyudahkan projek ini.

Bagi episod baru ini, Alie melantik Shah Bandi dari Bandi Sprayworks bukan sahaja untuk menyiapkan proses restorasi badan, pemadanan kit badan Pandem dan juga kerja-kerja mengecat, malah turut bertindak sebagai pengurus bagi memantau keseluruhan projek ini sehingga siap.

Ford Escort Mk2 Pandem “Emotion” Retro Havoc – hasil karya pertama dari M’sia ke Tokyo Auto Salon!

Kereta ini disembur dengan warna merah jambu istimewa yang diadun oleh Aikka Paint. Ia kemudiannya diberikan pelekat-pelekat badan yang direka oleh Zokusha Stickers. Manakala badan yang kini lebih kembang dari standard menerima rim old-school yang jauh lebih lebar; Watanabe R Type 9.5j(-19) bersama tayar 205/50R15 dan Watanabe Gotti 11.5j(-44)) 15×11.5jj (-44) di belakang dengan tayar 245/45R15

Alie juga menyingkirkan idea untuk menggunakan enjin V8, dan memilih enjin yang ‘lebih patut’ untuk Escort tersebut iaitu enjin Toyota 4A-GE 1.6 liter Twin Cam 16 injap yang diambil dari Toyota Corolla AE86.

Enjin berkenaan menerima pelbagai tingkat taraf termasuk menggunakan aci sesondol HKS 256-264, sistem suntikan bahan api pelbagai titik asal ditukar kepada sistem throttle body individu SK-Sanyo untuk setiap silinder, menggunakan sistem pengurusan enjin Fueltech FT450 dan pemadanan header ekzos custom dari Tonkka. Semua kerja-kerja ini dibuat oleh AMN Motorsport, Kuala Lumpur.

Ubahsuai berkenaan membolehkan enjin 4A-GE tersebut menghasilkan 140 hp dan tork maksima 161 Nm. Ia dialirkan ke kotak gear T50 lima-kelajuan manual, bersama LSD TRD dengan nisbah akhir 4.3 pada gandar belakang kesemuanya diambil dari AE86.

Suspensi belakang Ford Escort ini juga telah diubahsuai sepenuhnya dari sistem live axle tradisional kepada sistem jenis 5 link ala-kereta rali, serta dipadankan dengan unit LSD pada gandar belakang. Dan bagi memastikan Ford Escort ini dapat ‘merayap’ seperti biawak, ia diberikan sistem suspensi udara Airdrop yang dibuat oleh SFS Garage.

Bahagian kabin Escort ini dibuat dengan begitu ringkas, menampilkan papan pemuka asal bersama paparan instrumen digital dari Fueltech, roda stereng Sparco, karpet kaki custom dari Trapo Malaysia, tombol gear custom dengan logo Retro Havoc serta tuil brek tangan hidraulik.

Walaupun kereta ini dipamerkan megah di TAS 2023, Alie masih lagi memadankan nombor pendaftaran spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia lengkap dengan pelekat cukai jalan di cermin depan. Tahniah buat Alie dan Retro Havoc yang bukan sahaja menunaikan impiannya, malah impian seluruh ‘kaki kereta’ dari Malaysia untuk melihat peserta tanah air berdiri sama tinggi dengan hasil kerja negara lain!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required