NATS RX-Cabriolet di TAS 2023 – Mazda MX-5 ND dengan rupa seperti RX-3 Kato Wataru Liberty Walk!

NATS RX-Cabriolet di TAS 2023 – Mazda MX-5 ND dengan rupa seperti RX-3 Kato Wataru Liberty Walk!

Melihat kereta ini pasti banyak perkara bermain dalam kepala – memang ada ke Mazda RX-3 Cabriolet? Atau ‘orang gila’ mana yang sanggup potong bumbung RX-3 yang semakin pupus atas muka bumi ni? Sebenarnya, ini bukannya Mazda RX-3 sebenar, tetapi ia adalah Mazda Miata MX-5!

Atau secara spesifiknya, ini adalah Miata MX-5 generasi ND terkini yang digelar RX-Cabriolet, diubahsuai oleh pelajar-pelajar Nihon Automotive College (NATS) untuk dipamerkan di Tokyo Auto Salon (TAS) 2023 yang berlangsung minggu lalu. Kereta ini dipamerkan sekali dengan satu lagi projek NATS iaitu Toyota Alphard Super Dually – sebuah Alphard yang ‘disumpah’ menjadi trak pikap ala-lowrider Amerika Syarikat.

Untuk NATS RX-Cabriolet ini, muka Roadster berkenaan diubahsuai bagi memuatkan muka coupe rotary klasik Mazda RX-3. Pelajar-pelajar NATS ini mendapatkan bahagian nosecut yang diperbuat dari bahan FRP merangkumi kerangka lampu, gril, bampar dan juga lower valance yang dihasilkan oleh EZO-ISM sebagai komponen gantian yang boleh dipadankan terus pada RX-3 sebenar.

NATS RX-Cabriolet di TAS 2023 – Mazda MX-5 ND dengan rupa seperti RX-3 Kato Wataru Liberty Walk!

Bagi memadankan muka tersebut, fender dan penutup bonet MX-5 ini turut diubahsuai dengan komponen custom. Bahagian belakang juga dibentuk semula agar lebih lebar dan ‘petak’ seakan RX-3 sebenar, serta diberikan lampu belakang dari kembar RX-3 versi bukan rotary iaitu Mazda 808.

Tidak cukup dengan itu, RX-Cabriolet ini juga dihasilkan dengan inspirasi dari Mazda RX-3 milik pengasas Liberty Walk, Kato Wataru. Jadi ia diberikan fender hadapan dan belakang yang lebih lebar ala-kaido racer serta spoiler ‘sodok’ besaiz besar di hadapan.

Pengaruh RX-3 Kato Wataru turut diserlahkan dengan warna badan kuning bersama jalur hijau serta pemadanan set rim ‘pisang’ yang lebar dari RS-Watanabe.

Pada sebelah dalam, papan pemuka Miata ND masih dikekalkan. Namun pelajar-pelajar berkenaan memberikan serlahan hijau pada bahagian atas papan pemuka dan juga pada konsol terowong, tempat duduk asal digantikan dengan tempat duduk bucket dari Bride, serta menukar roda stereng asal kepada roda stereng tiga jejari dari Nardi.

NATS RX-Cabriolet di TAS 2023 – Mazda MX-5 ND dengan rupa seperti RX-3 Kato Wataru Liberty Walk!

Walau bagaimanapun, Roadster ini tidak disumbatkan dengan enjin rotary dari mana-mana kereta sport RX Mazda, dan ia masih dijana oleh enjin empat-silinder asal Mazda Miata ND. Setiap kenderaan yang dibawa oleh pelajar NATS ke Tokyo Auto Salon ini merupakan projek akhir bagi mereka yang mengambil jurusan Customize di kolej berkenaan.

Untuk pengetahuan anda, NATS mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus pada satu-satu masa. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun.

Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun). Bagi projek jurusan Customize seperti RX-Cabriolet ini, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required