Mazda MX-5 2022 terima Kinematic Posture Control, varian dengan rim RAYS, brek Brembo empat piston

Mazda MX-5 2022 terima Kinematic Posture Control, varian dengan rim RAYS, brek Brembo empat piston

Selepas enam tahun berada dalam pasaran, Mazda MX-5 diberikan sedikit pembaharuan untuk model tahun 2022. Secara visualnya ia masih kelihatan sama, tetapi di sebalik badan dengan bumbung boleh buka itu terdapat naik taraf yang menjadikan pemanduannya lebih mantap.

Apa yang dimaksudkan adalah Kinematic Posture Control (KPC), iaitu satu teknologi seperti G-Vectoring syarikat itu, tetapi telah diubah suai dan berfungsi sedikit berbeza. Ia boleh membrek sedikit roda bahagian dalam (roda sebelah kiri apabila membelok ke kiri dan roda kanan apabila membelok ke kanan) apabila membelok, dan bukannya roda bahagian luar seperti G-Vectoring.

Apabila ini dilakukan, suspensi pada roda bahagian dalam itu juga akan tertekan lebih ke dalam, sekaligus mengurangkan olengan badan dan meningkatkan stabiliti di selekoh – pemilik tidak perlu memasang spring atau penyerap lebih keras yang boleh menjadikan kereta kurang selesa.

Mazda MX-5 2022 terima Kinematic Posture Control, varian dengan rim RAYS, brek Brembo empat piston

Selain daripada itu, perubahan lain cumalah penawaran warna baru Platinum Quartz Metallic, seperti Mazda 2 yang diperkenalkan di Jepun awal tahun lalu. Di negara itu juga, MX-5 yang dikenali sebagai Roadster ini turut ditawarkan dalam tiga varian baru.

Yang pertama adalah 990S (dinamakan mengikut beratnya iaitu 990 kg), di mana ia menggunakan model S sebagai asas, tetapi ditambah dengan rim RAYS ZE40 RS 16 inci yang lebih ringan 3.2 kg. Walaupun begitu, berat keseluruhannya masih sama kerana varian ini turut mendapat brek Brembo yang lebih besar, dengan angkup empat piston di hadapan.

Penyerap hentak, spring, stereng serta ECU varian ini juga telah ditala semula khas untuknya. Perubahan visual lain yang dibuat adalah bumbung kain warna biru gelap, kemasan biru pada corong pendingin hawa dan lapik kaki dengan jahitan biru.

Tema biru ini juga digunakan pada satu lagi varian baru Navy Top. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, varian ini turut mendapat bumbung kain berwarna biru gelap, serta cermin sisi sama warna dengan badan, rim 16 inci dan balutan kulit hitam di dalam. Mereka yang mahukan sesuatu yang berbeza boleh mendapatkan varian Terracotta Selection, yang menggunakan asas daripada model RF dengan bumbung keras yang boleh dilipat, dan bahagian dalam yang dibalut kulit Terracotta Nappa.

Bahagian lain pada model ini tidak diubah, yang bermakna ia masih dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter NA Skyactiv-G berkuasa 184 PS/205 PS dan 1.5 liter 132 PS/152 Nm. Transmisi datang dalam pilihan automatik atau manual enam kelajuan dan ia menghantar kuasa ke roda belakang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required