Seperti yang kami laporkan tempoh hari, produksi untuk Perodua Axia generasi pertama telah ditamatkan pada penghujung Januari, dan pemasangan model generasi kedua hatchback segmen-A tersebut telah pun bermula awal bulan ini sebelum pelancaran rasminya minggu hadapan.
Namun apa jadi dengan pelanggan yang menempah model generasi pertama kerana harga untuk model generasi kedua ini adalah lebih tinggi? Dalam kenyataan yang dikeluarkan ketika sesi prebiu Axia D74A kepada media pagi ini, Perodua mendakwa bahawa hampir kesemua pelanggan yang menempah Axia lama berkenaan berjaya ‘dipujuk’ untuk menukar tempahan mereka kepada model generasi baharu.
“Penasihat-penasihat jualan kami telah menghubungi pelanggan kami untuk mengubah tempahan kepada Perodua Axia serba baharu, dan hampir semua pelanggan kami bersetuju untuk bertukar,” kata presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataan tersebut.
Perodua Axia D74A ini diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA), menampilkan saiz yang lebih besar serta diberikan perincian-perincian yang jauh lebih canggih termasuk kotak gear D-CVT, menyebabkan ia perlu dijual lebih mahal iaitu bermula RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 bagi Axia AV.
Ia jauh dengan julat harga Axia generasi pertama di mana model facelift 2019 Axia GXtra dengan VSC dijual pada harga RM34,990, manakala varian tertinggi Axia AV dijual pada harga RM43,190.
Tempahan untuk Perodua Axia 2023 ini sudahpun dibuka bermula 1 Februari lalu, dan pelancaran rasminya akan dibuat pada 14 Februari nanti. Axia generasi baharu ini masih lagi kembar kepada Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia, namun kali ini Axia yang akan membuat pendedahan global terlebih dahulu, menunjukkan sumbangan besar Perodua dalam proses pembangunannya.
Kami telahpun melihat depan mata model genarasi baharu ini, dan perincian penuh berkenaan spesifikasinya boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.