Jaguar Land Rover Malaysia hari ini melancarkan Range Rover serba baru, yang tiba dalam versi Standard Wheelbase dan enjin V8. Model generasi kelima ini – menggunakan nama kod L460 – pertama kali ditunjuk kepada dunia pada Oktober 2021, dan menggantikan model L405 generasi keempat yang sudah berada di pasaran sejak tahun 2012.
Dibina atas platform Flexible Modular Longitudinal Architecture (MLA-Flex), Range Rover baru ini mempunyai ketegaran torsional 50% lebih kuat berbanding model sebelumnya, dengan ketegaran statik 30,000 Nm setiap darjah. Casis baru ini juga menampilkan bulkhead hadapan besi dengan susunan bahagian tertutup yang mengurangkan tahap kebisingan transmisi serta gegaran frekuensi rendah dari jalan ke dalam kabin sehingga 24%.
Dalam versi SWB ini, Range Rover baru mencatat jarak roda 2,997 mm, dengan panjang 5,052 mm, lebar 2,047 mm dan tinggi 1,870 mm. Model L405 adalah lebih kecil dengan catatan panjang 4,999 mm, lebar 1,984 mm, tinggi 1,835 mm dan jarak roda 2,922 mm.
Berkenaan penggayaan, model generasi kelima ini tidak melibatkan perubahan yang radikal dan masih lagi mengekalkan identitinya. Antara yang baru adalah lampu belakang menegak yang seakan tersembunyi dan hanya akan terlihat jelas apabila menyala, serta kemasan hitam di tengah yang turut menempatkan lampu penunjuk arah di bahagian tepinya. Satu lagi yang unik adalah antena berbentuk sirip berkembar.
Pada bahagian hadapan, terdapat lampu utama Digital LED baru serta lampu DRL yang diperkemas semula, yang mengapit gril dengan kemasan baru di bahagian tengah. Pintu pula menggunakan pembuka yang sama rata dengan badan dan mempunyai kemasan yang lebih ringkas (hadapan).
Bahagian dalam juga menggunakan rekaan yang lebih ringkas, sebagai contoh corong pendingin hawa yang kelihatan bersepadu dengan kemasan berjalur melintang di sepanjang papan pemuka. Di hadapan pemandu terdapat skrin Interactive Driver Display 13.7 inci.
Jika sebelum ini model L405 menggunakan tetapan dua skrin di tengah, model baru ini pula mendapat satu skrin sesentuh melengkung 13.1 inci yang diletakkan seakan terapung. Ia disambung kepada sistem infotainmen Pivi Pro dan di bawahnya terdapat panel kawalan khas untuk sistem pendingin hawa.
Pada konsol tengah pula terdapat tombol gear pendek, butang pemula enjin, tombol kawalan suara media dan butang kawalan Terrain Response untuk mod offroad. Dalam versi SWB, Range Rover baru ini datang dengan tetapan lima tempat duduk, dengan bahagian belakang boleh disandarkan sehingga 12 darjah dan diberikan dengan fungsi pemanas dan penyejuk.
JLRM telah mengesahkan bahawa Range Rover baru ini akan ditawarkan dengan pakej kuasa P530, yang menggabungkan enjin petrol V8 turbo 4.4 liter berkuasa 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan tork 750 Nm, bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF dan sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.
Penyerap udara diberikan standard pada model ini, dan ia disambungkan kepada tetapan suspensi double wishbone di hadapan dan five-link di belakang. Model L460 ini juga menjadi Range Rover pertama yang mendapat sistem rear-wheel steering yang membolehkan roda belakang membelok sehingga 7.3 darjah pada kelajuan bawah 50 km/j dan mengurangkan radius pusingan kepada 10.95 meter.
Sekiranya anda bercadang membawa Range Rover baru ini meredah offroad, ia sentiasa bersedia dengan menyediakan jarak dari tanah 295 mm, sudut bampar hadapan 34.7 darjah, sudut bampar belakang 29 darjah dan breakover angle 27.7 darjah. Perincian penting lain adalah seperti kemampuan meredah air sehingga 900 mm, sudut condong 45 darjah, kapasiti menarik 3,500 kg dan kemampuan membawa beban di bumbung 100 kg.
Untuk pasaran Malaysia, SUV ini datang dengan spesifikasi HSE (High Specification Equipment), yang memberikan Interactive Driver Display 13.7 inci, sementara sistem infotainmen Pivi Pro disambung kepada skrin sesentuh tengah 13.1 inci serta sistem bunyi Meridian dengan amplifier 1,600 watt.
Kelengkapan lain yang diberikan adalah termasuk rim 22 inci, balutan tempat duduk kulit semi-aniline, kawalan pendingin hawa tiga zon, lampu suasana 30 warna, differential aktif boleh kunci secara elektronik, head-up display serta tempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan liang udara dan fungsi pemanas.
Turut disediakan adalah Active Noise Cancellation yang menggunakan sensor untuk mengesan tahap gegaran tayar, bunyi tayar serta bunyi enjin yang memasuki kabin, seterusnya mengeluarkan bunyi yang berlawanan (untuk menjadikan lebih senyap) melalui sistem audio. Sistem keselamatan aktif yang ada pada model ini adalah termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control dengan Steering Assist, Driver Attention Warning, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Assisted Parking dan Traffic Sign Recognition.
Sudah tentu, dengan status mewah ini, Range Rover baru menawarkan pelbagai ubah suai khas untuk pelanggan, termasuk pakej hiburan tempat duduk belakang, balutan tempat duduk, kemasan serta warna badan. Rim juga boleh dipilih sehingga saiz 23 inci – paling besar untuk untuk Range Rover.
Harga yang ditetapkan untuk Range Rover 2023 adalah RM1.268 juta, tidak termasuk pilihan tambahan dan duti. Apabila dikira sekali dengan duti, harganya boleh mencecah RM2.488 juta tidak termasuk insurans. Setiap pembelian datang dengan jaminan serta servis percuma lima tahun, dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.