Seperti yang diketahui, Perodua Axia 2023 sudah pun dilancarkan secara rasmi hari ini, menampilkan perincian yang jauh lebih moden membuatkan model paling asas Axia G dijual pada harga RM38,600. Model paling ‘kosong’ E dengan kotak gear manual masih belum dilancarkan, malah model G baharu ini jauh lebih mahal dari G Xtra facelift 2019 yang dijual pada harga RM34,990 sebelum ini.
Namun berita gembira untuk anda yang mahukan kereta harga dengan harga lebih mampu milik, Perodua mengumumkan bahawa ia akan meneruskan kembali produksi Axia generasi pertama dan dijual bersama model 2023, tetapi hanya dalam varian E dengan kotak gear manual!
Menurut Perodua, dengan langkah ini membolehkan syarikat berkenaan terus memainkan peranannya bagi menyediakan kereta paling murah dalam pasaran. Perodua turut menyatakan bahawa spesifikasi bagi Axia E manual berkenaan akan dikemaskini dan harga baharunya turut akan diumumkan kemudian.
Sebelum ini Perodua Axia E facelift 2019 dijual pada harga RM24,090. Harga baharu kelak bukan hanya akan mengambilkira kemaskini perincian yang diberikan, malah turut akan disertakan dengan harga bersama cukai SST.
Seperti yang diumumkan oleh Perodua sebelum ini, model E dengan kotak gear manual bagi model generasi baharu hanya akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri. Model tersebut akan dihasilkan dalam spesifikasi lebih baik dari Axia manual generasi pertama, dan selain untuk kegunaan sekolah memandu, model tersebut turut akan dijual kepada orang awam.
“Kami masih akan terus hasilkan kereta [dengan kotak gear] manual khasnya untuk sekolah-sekolah memandu. Ini akan kami umumkan kemudian dan kami rasa sekolah-sekolah memandu akan suka sebab keretanya sama (Axia), spesifikasi [yang ditawarkan] bagus,” kata Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.