Bangkok 2023: Hyundai Stargazer dilancar – bermula RM100k, pencabar Xpander & Veloz; M’sia selepas ini?

Bangkok 2023: Hyundai Stargazer dilancar – bermula RM100k, pencabar Xpander & Veloz; M’sia selepas ini?

MPV tiga baris tempat duduk segmen-B Hyundai Stargazer baru sahaja didedahkan untuk peringkat global di Indonesia Julai tahun lalu. Dan kini sempena berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) ia dilancarkan pula secara rasmi untuk pasaran Thailand.

“Baby Staria” ini sudahpun dilihat di Malaysia sebelum ini, tetapi Hyundai Malaysia masih belum mengesahkan adakah ia akan dilancarkan di sini atau tidak. Namun jika anda berminat, teruskan membaca artikel ini dan teliti gambar-gambar yang kami sempat rakam sebagai panduan bayangan apa spesifikasi yang bakal ditawarkan sekiranya ia benar-benar mendarat di Malaysia kelak.

Stargazer ditawarkan dalam versi enam- dan tujuh- tempat duduk di Thailand. Ia dijual pada harga bermula 769,000 baht (RM100,476) untuk varian asas Trend, diikuti varian pertengahan Style berharga 829,000 baht (RM108,315). Kedua-dua varian ini datang hanya dengan versi tujuh-tempat duduk.

Bangkok 2023: Hyundai Stargazer dilancar – bermula RM100k, pencabar Xpander & Veloz; M’sia selepas ini?

Varian tertinggi Smart pula ditawarkan dalam dua konfigurasi – model Smart 7 dengan tujuh-tempat duduk dijual pada harga 869,000 baht (RM113,541), manakala model Smart 6 dengan hanya enam-tempat duduk yang lebih ‘mewah’ dijual pada harga 889,000 baht (RM116,149) dan ia turut ditawarkan dengan pilihan bumbung hitam dengan tambahan 20,000 baht (RM2,613).

Stargazer dihasilkan dengan dimensi 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm. Di Thailand dan juga Indonesia, MPV jenama Korea ini perlu bersaing dengan lawan-lawannya dengan lencana jenama Jepun termasuk Toyota Veloz, Honda BR-V generasi kedua dan juga Mitsubishi Xpander.

Bagi varian Smart 6, tempat duduk baris kedua hanya boleh menempatkan dua orang penumpang dengan kerusi kapten yang lebih selesa berbanding kerusi jenis bench yang boleh diduduki tiga orang penumpang pada varian-varian tujuh-tempat duduk.

Bangkok 2023: Hyundai Stargazer dilancar – bermula RM100k, pencabar Xpander & Veloz; M’sia selepas ini?

Dari segi kit kelengkapan, model asas Trend menerima perincian seperti lampu hadapan halogen, lampu belakang LED, cermin sisi elektrik, rim aloi 16-inci, upholsteri fabrik, pendingin hawa manual dengan liang udara kabin belakang, radio asas dengan hubungan Bluetooth dan empat pembesar suara.

Sistem keselamatan standard untuk model ini adalah termasuk sistem kestabilan elektronik, brek ABS dan BA, bantuan mula mendaki, dua beg-udara, kunci automatik berdasarkan kelajuan dan juga cagak tempat duduk ISOFIX.

Varian Style pula ditambah dengan rim aloi yang lebih sporty, gril hadapan kemasan hitam krom, lampu nyalaan siang LED, lampu hadapan halogen dengan fungsi automatik, lampu kabus hadapan, paparan pelbagai info dengan skrin TFT LCD Supervision 4.2-inci, sistem tanpa kunci dengan butang penghidup enjin serta fungsi kawalan jauh, upholsteri kulit, perehat tangan pada tempat duduk baris kedua serta meja tray.

Fungsi tambahan lain yang turut diberi pada varian Style ini termasuk cruise control, empat mod pemanduan (Normal, Eco, Sport dan Smart), skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, tambahan dua lagi pembesar suara (enam secara keseluruhan), kamera undur, sistem pemantau tekanan tayar, amaran penumpang belakang dan juga bantuan had laju manual.

Bagi varian Smart, ia menerima hampir kesemua perincian yang sama seperti Style, tetapi ditambah dengan ciri seperti lampu hadapan reflektor LED, lampu suasana kabin, pengecas tanpa wayar dan pendingin hawa automatik.

Model varian tertinggi ini juga diberikan pakej bantuan pemanduan Hyundai SmartSense dengan fungsi seperti Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Pengelak Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Pengelak Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Keluar Selamat dan Amaran Tumpuan Pemandu.

Dengan senarai kelengkapan yang dibekalkan pada Stargazer ini, ia ternyata lebih canggih berbanding Veloz, BR-V dan juga Xpander. Namun dalam saingan segmen ini, hanya Honda BR-V generasi kedua yang datang dengan sistem cruise control adaptif.

Kesemua varian Hyundai Stargazer pasaran Thailand ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin petrol NA 1.5 liter MPi SmartStream berkuasa 115 PS dan tork maksima 144 Nm, dengan kelulusan piawaian emisi Euro-4. Ia digandingkan dengan kotak gear IVT Hyundai (CVT yang berfungsi dengan rantai) bagi memacu hanya roda hadapan.

Enam warna badan ditawarkan untuk Stargazer pasaran Thailand ini termasuk Titan Grey Metallic, Magnetic Silver Metallic, Creamy White Pearl dan Midnight Black Pearl. Manakala pembeli varian Smart 6 yang mahukan bumbung hitam, ia hanya ditawarkan dalam warna badan perak atau putih sahaja.

Honda sebelum ini sudah mengesahkan bahawa BR-V generasi kedua tidak akan dibawa ke pasaran Malaysia. Adakah anda rasa Stargazer ini merupakan pilihan alternatif yang baik jika mahukan MPV tujuh-tempat duduk yang berbeza dari Veloz, Alza dan juga Xpander sekiranya ia dilancarkan di Malaysia kelak?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required