MPV segmen-B tujuh tempat duduk dari Hyundai iaitu Stargazer telah dilihat berada di Malaysia baru-baru ini. Unit tanpa nombor pendaftaran berkenaan dilihat di bawa menggunakan trak pengangkut dan imejnya berjaya dirakam oleh pembaca paultan.org Faiz Fadil.

Stargazer merupakan MPV dalam liga yang sama dengan Mitsubishi Xpander, Honda BR-V dan juga kembar Perodua Alza/Toyota Veloz. Kehadiran unit ini berkemungkinan petanda bahawa ia akan dilancarkan di sini tidak lama lagi, namun Stargazer tidak tersenarai dalam teaser model baharu 2023 yang dikeluarkan oleh Hyundai Malaysia tempoh hari, terdiri dari Santa Fe, Palisade dan Creta facelift serta sedan EV Ioniq 6.

Stargazer diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global oleh PT Hyundai Motors Indonesia (HMID) Julai lalu. Di sana, ia ditawarkan dalam empat varian bermula dengan varian asas Active yang boleh dipilih dengan kotak gear manual pada harga 243.3 juta rupiah (RM72,203) atau automatik pada harga IDR255.9 juta (RM75,942).

Ini diikuti oleh varian Trend, yang turut ditawarkan dengan kedua-dua transmisi — MT pada harga IDR263.3 juta (RM78,076), automatik pada IDR275.9 juta (RM81,812).

Manakala varian Style dan varian tertinggi Prime hanya datang dengan kotak gear automatik, dijual pada harga masing-masing IDR296.3 juta (RM87,870) dan 307.1 juta rupiah (RM91,073). Bagi varian Prime, ia turut boleh dipilih dengar tema dalaman dua-tona warna dengan kos tambahan IDR1.5 juta (RM445).

Dari segi rekaan, Stargazer kelihatan seperti Staria tetapi dengan saiz lebih kecil terutamanya pada jalur lampu nyalaan siang LED yang merentangi sepenuhnya bahagian muka. Ia juga tampil dengan dimensi 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm.

Bukan semua Stargazer menerima konfigurasi tujuh-tempat duduk kerana ada juga pilihan untuk enam-tempat duduk yang lebih ‘mewah’ menampilkan kerusi kapten di barisan tengah.

Untuk kelengkapan pula, Active datang standard dengan lampu utama reflektor halogen, kluster instrumen 3.5-inci LCD, skrin sentuh lapan-inci untuk infotainmen, empat pembesar suara, kerusi balutan fabrik, dua beg udara dan rim 15-inci. Trend pula menerima pertambahan telematik Bluelink, sensor parkir serta roda 16-inci.

Style pula turut menerima kelengkapan seperti Trend, seperti lampu utama reflektor LED, kawalan melayar, kluster instrumen lebih besar, larasan stereng tilt dan teleskopik, dua lagi pembesar suara, ESC, bantuan mula mendaki, sistem peninjau tekanan tayar, kamera undur, sistem tanpa kunci dan beberapa lagi.

Untuk Prime, ia menerima kelengkapan paling penuh, sesuai dengan harganya. Sebagai tambahan, ia menerima kerusi balutan kulit, lampu suasana, empat lagi beg udara, dan paling penting sistem keselamatan aktif. Ini termasuklah AEB, amaran perhatian pemandu, bantuan mengekalkan lorong, bantuan mengikuti lorong, bantuan titik buta dan bantuan penghindaran perlanggaran trafik di belakang.

Kesemua varian Stargazer di Indonesia ini dipadankan dengan Smartstream G 1.5 liter NA empat-silinder yang sama dengan Creta, menghasilkan 115 PS dan tork maksima 144 Nm. Model dengan transmisi manual diberikan kotak gear enam-kelajuan, manakala versi automatik pula diberikan kotak gear IVT Hyundai.

Sekiranya ia dilancarkan di sini, Stagazer sudah tentu tidak dapat menyaingi harga yang ditawarkan Perodua Alza. Namun ia mungkin akan dijual dengan harga yang kompetitif dengan pesaing-pesaing bukan nasional lain; buat masa sekarang Toyota Veloz dijual pada harga RM95,000 dan Mitsubishi Xpander dijual pada harga RM99,980.

GALERI: Hyundai Stargazer pasaran Indonesia