Honda Malaysia telah mengumumkan pengenalan dua warna baharu bagi model BR-V 2022, iaitu Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic. Kedua-dua warna tersebut adalah bagi menggantikan warna yang ditawarkan sebelum ini iaitu Passion Red Pearl dan Modern Steel Metallic.
Pengarah Urusan dan CEO Honda Malysia, Hironobu Yoshimura berkata, “Sebelum ini, warna Ignite Red Metallic dan Meteoroid Gray Metallic telah diperkenalkan untuk barisan model sedan dan hatchback termasuk City Hatchback, City sedan dan Civic serba baharu. Malahan Accord juga telah ditawarkan dengan warna Meteoroid Gray Metallic.
“Warna tersebut telah menerima sambutan yang menggalakkan, mendorong kami membuat keputusan untuk memberikan warna yang sama pada BR-V. Kami yakin dengan pengenalan pilihan warna baharu ini dapat menambah keterujaan para pelanggan yang mahu membeli BR-V.”
Selain penawaran warna baharu itu, ciri lain masih dikekalkan termasuk enjin 1.5L SOHC i-VTEC empat-silinder (120 PS dan 145 Nm) dengan padanan CVT yang memacu roda hadapan.
Harganya juga tiada perubahan, ia masih menerima 100% pengecualian cukai jualan (SST) dan berharga RM86,726 untuk varian asas E, dan RM93,420.27 untuk varian tertinggi V – pilihan warna Platinum White Pearl dikenakan kos tambahan RM272.73.
Honda Malaysia turut berkata, sejak dilancarkan pada Jun 2020, BR-V facelift ini telah terjual lebih 5,700 unit setakat April 2022.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.